.

.

Wednesday, 5 July 2017

Review Ketiga Antara Hadis dan Quran Oleh Iman Danial



Dilema Umat Islam : Antara Hadis Dan Quran
Kassim Ahmad

Sewaktu diumumkan tentang tema cabaran bacaan 32 buku yang terbaru, iaitu buku haram, hanya ada 2 nama yang terlintas dalam fikiran saya: Kassim Ahmad dan Faisal Tehrani. 2 tokoh yang pernah mencetuskan kontroversi dengan pegangan yang bertentangan dengan status quo di tanah air. Seorang dengan label “anti-hadis”, seorang lagi terpalit dengan kecaman sebagai syiah. Kebanyakan karya Faisal Tehrani yang diharamkan sudah saya baca sebelum cabaran, jadi apa lagi pilihan yang ada selain mencari tulisan Kassim Ahmad?

Saya bertuah kerana buku ini dibeli secara kebetulan di Publika sekitar awal tahun ini. Pada asalnya saya sekadar berjalan-jalan mengambil angin di kawasan orang-orang kaya itu, tiba-tiba saya ternampak Kassim Ahmad sedang membaca puisi di salah satu art space di sana. Ramai juga yang memenuhi ruangan itu. Buku ini dijual dengan harga rm 5 senaskhah. Langka. Tiada di pasaran biasa.

Buku ini merupakan lanjutan daripada Hadis - Satu Penilaian Semula. Kassim Ahmad sekali lagi menegaskan pendirian beliau dengan menagmbil sikap kritikal terhadap hadis. Bukannya anti secara total seperti yang dilemparkan umum.

Kassim Ahmad telah memilih sebilangan hadis-hadis daripada Sahih Bukhari dan Muslim sebagai rujukan kepada argumen-argumen beliau . Bagi Kassim, sikap jumud dan taklid umat Islam adalah punca terbesar kepada ketumpulan daya kreatif dan kemajuan mereka.

Secara ringkas, saya sertakan serba sedikit argumen-argumen Kassim Ahmad:

1. Terdapat 3 kategori hadis menurut pendapat beliau:
1) Hadis yang bercanggah dengan ajaran Al-Quran
2) Hadis yang selaras dengan ajaran Al-Quran
3) Hadis yang neutral, tidak jelas bercanggah atau selari dengan ajaran Al-Quran

2. Bagi Kassim, kedudukan hadis sebagai autoriti utama umat Islam perlu dinilai kerana hadis sebagai satu sumber hukum hanya muncul kira-kira 250 tahun selepas kewafatan Nabi. Pengiktirafan autoriti hadis yang dimulakan oleh Imam Syafie ini berjaya membuat umat Islam menerima hadis sebagai sumber hukum setaraf dengan Al-Quran.

3. Isu pendewaan terhadap Nabi Muhammad
Umum mengetahui doktrin asas Kristian yang mendewakan Nabi Isa sehingga diangkat sebagai anak Tuhan. Menurut Kassim, secara tidak sedar, unsur pendewaan terhadap nabi Muhammad ini berlaku dalam kalangan umat Islam, bermula dengan pendewaan status baginda sebagai “kekasih Allah”, “penghulu segala nabi”, “maksum” dan sebagainya. Contoh jelas berlakunya pendewaan ini dapat dilihat di kebanyakan masjid atau rumah di mana nama Nabi Muhammad diletak sama paras di samping Allah dengan tulisan sama besar.

4. Isu Kalimah Syahadah
Kalimah syahadah diberi dalam Al-Quran dalam ayat berikut - 3: 18 - di mana baris syahadah kedua yang mengakui Nabi Muhammad sebagai pesuruhNya tidak didapati di sana. Menurut Kassim, syahadah kedua ini seperti mengisytiharkan baginda sahaja rasul Allah sekaligus membeza-bezakan rasul-rasulNya dan melebihkan seseorang rasul daripada yang lain.

5. Isu sembahyang tiang agama
Sembahyang diketahui umum sebagai ibadah penting tergolong dalam 5 rukun Islam. Namun, menurut Kassim, sembahyang bukanlah tiang agam seperti yang sering kita dengar di ceramah-ceramah agama. Kassim menjelaskan bahawa tiang agama Islam adalah tauhid, keimanan kepada yang Maha Esa. Sembahyang hanyalah satu kaedah yang ditetapkan kepada umat Islam untuk membersihkan jiwa. Ia bukan matlamat.

6. Isu perpuakan dalam Islam
Di dalam isu ini pula, Kassim terang menonjolkan sikap kritikal beliau terhadap hadis-hadis yang meramalkan umat Islam akan berpecah kepada 73 golongan. Perpecahan dan perpuakan ini amat ditentang oleh Al-Quran yang menyuruh kita bersatu-padu berpegang pada tali Allah.

7. Isu ulama’ pewaris nabi
Kassim menyanggah status ulama sebagai pewaris nabi seperti yang dinyatakan dalam beberapa hadis. Ia bertentangan dengan ajaran Al-Quran bahawa Al-Quran hanya diwariskan kepada hamba-hambaNya yang terpilih tanpa menyebut golongan tertentu.

Kesemua isu yang saya senaraikan di atas merupakan antara persoalan-persoalan utama yang dibangkitkan oleh Kassim Ahmad dalam buku beliau. Di pengakhiran buku, Kassim Ahmad menyimpulkan bahawa ternyata terdapat banyak hadis-hadis dari Sahih Bukhari dan Muslim yang bercanggah dengan ajaran Al-Quran. Kassim Ahmad menyarankan agar umat Islam, khususnya cerdik pandai agar berani mengakui kesilapan ini. Hanya dengan kembali kepada ajaran sebenar Al-Quran akan membebaskan manusia dari segala bentuk penghambaan, kecuali penghambaan kepada Allah.

Pada saya yang cetek ilmu ini, segala hujah-hujah Kassim Ahmad kedengaran logik. Ia seperti mengalihkan batu-bata yang menyebabkan saluran fikiran kita yang tersumbat dengan sikap taklid. Tetapi awas, hujah aqli sahaja tidak cukup untuk dijadikan asas keimanan. Pendapat-pendapat Kassim Ahmad ini harus dirujuk kepada ahli ilmu untuk disahkan kebenarannya. Segalanya berbalik kepada diri sendiri. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut digugat keimanan, jangan baca karya-karya anti-conformism. Berfikir itu memerlukan keberanian bak kata Kassim Ahmad.

No comments: