The Pursuit of Happiness
Penulis : Douglas Kennedy
Penerbit: Arrow Books
Halaman: 508
Tahun diterbitkan: 2002
Nombor ISBN: 983-124-273-4
Genre: Fiksyen
Cabaran ketiga Buku Jalanan Titi.
Buku yang difilemkan@ serius.
Mengintai-intai rak buku, masa tu terlintas Filem Budak Setan, Ombak Rindu.
Saya terpandang buku ini. Pernah menonton filem ini beberapa tahun lalu. Sangat menginspirasikan. Terbayang- terbayang di mata kegigihan watak utamanya. Kemudian, saya temui buku ini ketika jualan gudang di Ampang Park. Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskannya walaupun mengambil masa sepurnama lamanya. Namun, impian saya tersasar. Tajuk buku sama namun penulisnya berbeda. Ceritanya ternyata berlainan. Namun, buku ini tetap istimewa. Tetap memberi inspirasi.
Ada dua watak utama dalam cerita ini. Ia mengenai Kate Malone berlatarkan tahun 1990-an di negeri pakcik Sam. Kate yang bersedih dengan pemergian bonda tercinta namun dikejutkan dengan kehadiran sebuah manuskrip. Apa kandungan manuskrip tersebut?
Watak kedua, Sara Smythe, saya kira ini watak utama. Ia berlatarkan tahun 1940-an di Amerika. Kisah bagaimana Sara bertemu dengan Jack seorang penulis dalam angkatan tentera Amerika di malam Krismas lantas menjalin hubungan. Apa yang mengejutkan keesokan harinya Jack terpaksa meninggalkan tanahair untuk bertugas di seberang laut. Mereka berjanji untuk terus berhubungan namun janji tinggal janji. Jack hilang begitu sahaja tanpa dapat dikesan. Sara yang merupakan penolong editor sebuah majalah larut dalam kesedihan yang berpanjangan. Beliau akhirnya direhatkan sementara dan dan bercuti di sebuah pulau. Di sana, beliau cuba meluahkan kesedihannya menerusi cerpen kisah cinta yang tidak kesampaian dan itulah titik tolak kerja beliau sebagai kolumnis majalah tersebut.
Kemudian, Sara berkenalan, jatuh cinta dengan George Grey. Nasib tidak menyebelahinya, Sara mengandung sebelum khawin dan terpaksa berkhawin dengan lelaki tersebut. Pada tahun 1940-an di Amerika, kehamilan di luar nikah bukanlah sesuatu yang dapat diterima oleh masyarakat di sana. Lantas, ia menimbulkan ketegangan hubungan antara beliau dan mertuanya. Nasib tidak menyebelahi Sara, Sara keguguran dan itu dijadikan alasan untuk mengakhiri perkhawinan yang tidak menggembirakannya.
Suatu pagi di tahun baru, Sara dipertemukan kembali dengan Jack. Namun dalam suasana berbeza. Jack bersama isteri dan seorang anak lelaki yang berumur 3 tahun. Kemudian, mereka menjalin hubungan dan lebih tepat lagi, mereka bersekedudukan. Ia berjalan seberapa lama hinggalah suatu tragedi berlaku. Apakah tragedi tersebut. Apa yang menyebabkan Sara nekad melupakan Jack. Apa hubungan Sara dan kate. Apa kandungan manuskrip yang diterima oleh Sara. Semuanya terjawab dalam buku ini.
Dua perkara yang saya belajar. Pertama, ikatan perkhawinan adalah sesuatu yang sentiasa suci dan dipandang tinggi. Begitu juga di Barat pada tahun-tahun selepas perang Dunia Kedua. Buktinya, mereka memandang rendah wanita yang mengandung tanpa nikah dan mereka yang bersekedudukan atau menjalin hubungan sulit. Juga bila bercakap tentang soal hati, sesuatu yang sulit untuk diperkatakan. Cinta ini umpama cerpen Irisan-Irisan Hati dalam Kumpulan cerpen Kekasih Sam Bo Po. Ada yang hanya mampu menyentuh fizikalnya namun tidak hatinya dan ada yang dapat memiliki hati seseorang namun tidak fizikalnya. Ia dikira bonus sekiranya mampu memiliki keduanya sekaligus.
Kedua, kebahagian itu tercipta dari dalam diri. Pastinya dengan berpandukan Quran dan Sunnah. Hidup ini pilhan. Saya suka bagaimana Sara bangkit melawan kesedihan dan ujian yang melanda dirinya. Dengan caranya yang tersendiri namun sebagai pembaca ia mengesankan. Beliau yang dikurniakan bakat dan kemahiran menulis menjadikan penulisan sebagai terapi untuk keluar dari kesedihan tersebut. Mungkin buat saya yang baru belajar bertatih menulis ini boleh menceduk idea tersebut. Tulis apa saja yang terlintas di minda dan kemudian lakukan proses suntingan. Juga pesanan penulis agar belajarlah memaafkan, kerana ia antara syarat utama untuk meraih kebahagian. Seperti tajuk lagu nyanyian Nora, Kemaafan Dendam Terindah.
Saya cadangkan buku ini buat mereka yang mencari kelainan dalam novel. Ia bukanlan kisah cinta yang pengakhirannya sentiasa bahagia selamanya namun ia berpaksikan realiti hidup kita. Ada suka, duka, tawa dan air mata. Ya, hidup ini tak selamanya indah namun tetap ada keindahannya dalam setiap ujian yang kita tempuhi.
Sekian,
Haryati
No comments:
Post a Comment