.

.

Sunday 15 July 2018

Cabaran Ketiga Review - Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Ummi Abibah



JUDUL : TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK
PENULIS : HAMKA
PENERBIT : P.T BULAN BINTANG
ULASAN OLEH : UMMI ABIBAH BINTI MOHAMAD ADI

“bahawa banyak orang besar-besar yang kalah dalam percintaan, lantaran kekalahan itu dia ambil jalan lain, maju dalam politik, dalam mengarang syair, mengarang buku dalam perjuangan hidup, sehingga dia naik ke atas puncak yang tinggi, yang perempuan itu wajib menengadah dari bawah. Dengan itu; biar hatinya sendiri hancur dalam kekecewaan yang pertama, maka orang banyaklah yang mengambil hasilnya”.

Siapa sangka seorang ulama mampu menulis kisah cinta antara dua insan bersandarkan erti cinta, darjat serta keturunan. Kisah cinta yang tidak kesampaian sekitar latar masa 1930an dikarang dengan laras bahasa tinggi dan penuh kelembutan.
Mengisahkan kegagalan percintaan Zainuddin dan Hayati yang terhalang dek kerana perbezaan adat dan suku kaum. Latar tempat bermain sekitar Sumatera, Padang Panjang, Surabaya dan beberapa tempat lain turut membawa pembaca menyelami perjalanan kehidupan Zainuddin sebagai anak kacukan serta kehidupan Hayati seorang wanita Minang tulen.
Menjadi anak kacukan ibarat satu sumpahan yang terpaksa dihadapi oleh Zainuddin. Pelbagai diskriminasi daripada konservatif Minang terpaksa dihadapi sehingga akhirnya beliau menghadapi kekecewaan yang terlampau. Lantaran kekecewaan membawa Zainuddin dan Muluk membina kehidupan baru di rantau orang. Klimaks penceritaan apabila Zainuddin kembali menghadapi konflik dengan perasaan rindu dan dendam di puncak kejayaan dalam kehidupan beliau.
Secara umum ramai yang mengenali Hamka selaku penulis karya ini sebagai ulama Islam. Beliau bijak mengetengahkan kritikan terhadap diskriminasi yang berlaku kepada orang bercampur bangsa (baca: kacukan) di dalam masyarakat  pada masa itu dalam bentuk kisah cinta epik. Naskah ini turut mengangkat isu kerosakan sistem feudalisme & keturunan adat bersuku di alam melayu. Jika kebanyakan masyarakat umumnya lebih kepada adat patrilineal, berbeza dengan masyarakat Minang yang mengangkat adat matrilineal.
Selain kritikan terhadap konsep sub-eknisiti yang diamalkan dalam sesetengah masyarakat, Hamka turut menyelitkan nasihat serta kritikan sosial dalam hal-hal percintaan. Cinta merupakan antara ujian terbesar manusia. Dengan cinta boleh menjadi kekuatan, serta waktu yang sama menjadi kelemahan. Hal ini dapat dilihat dengan perkembangan karakter Zainuddin melalui garis masa dalam menempuhi fasa kedewasaan. Bermula dengan keperibadian lelaki yang berilmu tetapi lemah kerana lemas dalam permainan jiwa namun terus bangkit menjadi orang besar serta penulis yang dikenali. Beruntungnya beliau juga kerana didampingi sahabat yang turut membantu mengemudi dan menguasai pergolakan yang berlaku dalam diri sehingga akhirnya beliau mampu berdiri teguh.

Keterbukaan dan kebijaksaan Hamka dalam mengusulkan kritikan yang rasional, logik serta terkandung falsafah digarap menjadi karya “masterpiece” amat sesuai untuk dibaca melangkaui zaman.

No comments: