.

.

Sunday, 20 November 2016

CABARAN AKHIR - Advencer Yaya dan Fufu: Jangan Cakap Begitu Penulis: Faisal Tehrani / Amin Landak Oleh Asmidar Alias

Cabaran 32 Buku 2016 (Cabaran ke 5 – Bagaimana Komik Menerapkan Ilmu Pengetahuan)



Advencer Yaya dan Fufu (AYdF) adalah perjalanan dua beradik ke seluruh dunia. Dua watak kanak-kanak ini diberikan karakter suka menolong kanak-kanak yang susah dan menderita kerana perbuatan jahat. Berbanding komik-komik lain, AYdF mengangkat tema utamanya iaitu hak asasi manusia.

Bagaimana mereka boleh mengembara ke seluruh dunia? Yaya mempunyai sebuah buku yang mempunyai kata-kata hikmah. Fufu pula mempunyai topi yang boleh membuka jendela dunia yang lain. Dengan menggunakan kedua alat ini, buku dan topi dimensi, mereka menjelajah dunia untuk membantu kanak-kanak yang dalam kesusahan.

Bagaimana tema besar seperti hak asasi manusia diajarkan kepada kanak-kanak melalui buku ini? Saya ringkaskan seperti berikut:
1.      Kartun atau ilustrasi berwarna dapat mensederhanakan tema besar
2.      Bahasa mudah, jelas dan tepat
3.      Kandungan yang tidak begitu tebal
4.      Rencah yang baik dengan ada magis, aksi dan pengajaran
5.      Watak utama kanak-kanak yang membuatkan kanak-kanak dekat dengan gambaran yang disediakan

Secara ringkas bagaimana AYdF memberi maklumat yang bertepatan tentang hak asasi manusia, dengan dialog diringkaskan seperti berikut:

“Yaya dan Fufu adalah perwira hak asasi manusia. Apakah itu hak asasi manusia? Setiap kanak-kanak di dunia ini dilahirkan setara. Kita berhak untuk pergi ke sekolah. Kita semua mesti hormat-menghormati. Jadi kita hormat orang lain walaupun mereka berbeza agama, bangsa, warna, jantina, tak kira miskin atau kaya kan, kak?”

Dalam komik pertama AYdF ini, kisah seorang budak perempuan berkulit hitam bernama Nia diselamatkan Yaya dan Fufu. Nia adalah mangsa buli disebabkan oleh warna kulit yang berbeza. Pembuli Nia, Zee menggunakan kata-kata kesat yang merendahkan Nia, mengejek ibu bapa, dan perbuatan fizikal yang lain seperti menolak Nia sehingga jatuh dan luka di lutut. Yaya menggunakan buku kata-kata hikmah memberi pengajaran kepada kanak-kanak pembuli. Selain mendapat hukuman, pembuli Nia mendapat pengajaran bagaimana mereka perlu bersikap. 

Ini adalah dialog Yaya menerangkan tentang tatacara hidup bermasyarakat kepada kumpulan pembuli Nia, 

“Datuk Adam kita berpesan, setiap cucu di dunia bagai air dengan tebing. Aur atau pokok buluh menumpang pada tebing untuk mendapat air, sementara tebing pula memerlukan aur ini supaya tidak mudah terhakis. Ini bermaksud kita hendaklah tolong-menolong. Kita di dunia ada berbagai-bagai bangsa dan warna kulit. Tak baik mengejek Nia. Tuhan mencipta kita manusia tidak sama supaya kita dapat berkawan.”

Komik AYdF ini juga indah. Disebalik mengalami perkara buruk dari pembuli, Nia adalah seorang pemaaf. Ketika kumpulan pembuli meminta maaf kepada Nia, Nia memaafkan kerana jiwanya besar. Zee juga mendapat pengajaran dan akhirnya mengubah perangainya yang buruk kepada lebih baik dengan menghargai Nia kerana bakat Nia yang pandai menyanyi. 

Komik ini sangat sesuai dibaca oleh kanak-kanak, dan lebih berkesan dengan adanya bantuan dari ibu bapa. Kesan khas dari pembacaan dan penerangan akan memberi impak kepada kanak-kanak sebagai pengajaran berguna untuk mereka memahami struktur masyarakat dengan Bahasa dan ilustrasi mudah serta menarik. 

Ada mesej luar sedar disampaikan seperti mengekalkan tradisi budaya, iaitu kata-kata hikmah yang ditinggalkan oleh generasi nenek moyang bernilai sepanjang zaman. Peranan orang dewasa seperti watak Tok Adam juga dimasukkan untuk memberi impak bahawa pengajaran juga boleh diperolehi dari orang-orang dewasa yang berpengelaman dan berhikmah.

Ilustasi 2D (2 dimensi) yang dilukis oleh Amin Landak ini sangat indah dan menenangkan. Buku-buku begini sekiranya ada banyak di pasaran, akan berupaya membentuk generasi muda yang sensitif kepada persekitaran dan cakna kepada hak asasi manusia. Isi kandungan yang ditulis oleh Faisal Tehrani seperti biasa berjaya meninggalkan kesan pengajaran dan solusi kepada masalah sekaligus. 

**** 

Reviu Buku: 

No comments: