Riuh-rendah
sekejap ahli-ahli grup Whatsapp Cabaran 32 Buku apabila Admin mengumumkan
cabaran ketiga; pilih satu buku dan
habiskan bacaan dalam tempoh 24 jam.
24
jam? Buku apa yang boleh habis dalam tempoh 24 jam? Gila.
Pada
mulanya, saya terfikir hendak mencari buku nipis-nipis sahaja. Ataupun buku
kanak-kanak dengan bahasa yang mudah untuk menyudahkan cabaran. Tetapi, hasrat itu
kemudiannya saya batalkan. Inikan cabaran. Apa yang mencabarnya kalau saya
pilih jalan mudah? Jika ada orang mampu habiskan buku beratus muka surat dalam
tempoh 24 jam, masakan saya tidak?
Okay,
saya mulakan langkah pertama saya dengan membuat carian terlebih dahulu tentang
teknik membaca secara pantas. Carian saya menemukan beberapa artikel yang agak
menarik. Rupa-rupanya memang ada teknik untuk menghabiskan bacaan buku dengan
pantas. Walaubagaimanapun, bukan semua buku sesuai dengan teknik ini.
Ah,
padanlah memang ada orang mampu membaca beratus buku setahun – selain sebab
orang itu ‘bernafas’ menggunakan oksigen dan bukannya internet serta tidak
menonton drama bersiri Korea (oops!)
Selepas
memahami teknik bacaan pantas, saya merancang pula hari yang sesuai untuk
cabaran ini. Wah, walaupun cabaran kali ini berlangsung hanya 24 jam tetapi
persediaan saya memakan masa berhari-hari juga nampaknya. Iyalah, 24 jam kan.
Saya mestilah kena uruskan cabaran ini dengan baik. Adalah tidak bijak jika
saya memilih hari yang mana saya sibuk dengan urusan atau pada hari saya perlu
keluar ke mana-mana.
Oleh
itu, pada hari yang telah saya tetapkan, saya mengumumkan buku pilihan saya, Menumpang Teduh Pohon Akasia; Somaliland
Bukan Somalia ditulis oleh Muhammad Suhail Bin Ahmad. Saya memulakan bacaan
buku travelog setebal 251 muka surat ini pada tarikh 11 Julai 2016 jam 7.07
petang dan menamatkannya pada tarikh 12 Julai 2016 jam 9.45 pagi. Alhamdulillah.
Selesai dengan jayanya.
Untuk
cabaran kali ini ini ada beberapa perkara yang mahu saya kongsikan.
1. Sebelum
memulakan cabaran, saya membuat sedikit kajian (dalam bentuk bacaan) terlebih
dahulu. Ini penting, supaya saya melakukan cabaran dengan teknik yang betul.
2.
Saya juga
merancang hari yang sesuai. Perancangan yang baik memudahkan saya untuk fokus
dalam menyudahkan cabaran ini.
3.
Saya memilih
buku travelog yang mana penulisnya adalah sahabat saya sendiri. Selain buku
travelog ada banyak gambar berwarna, proses penghadaman tidak begitu meletihkan
otak. Lagipun, tulisan-tulisan Suhail saya sudah biasa baca sejak zaman blogging.
Saya juga telah sekali imbas pernah membaca buku ini ketika masih dalam bentuk
manuskrip. Jadi serba-sedikit saya tahu arah tuju buku ini.
Apakah
yang saya peroleh daripada cabaran ini?
Untuk
saya, secara peribadi saya merasa lebih yakin untuk terus membaca. Selama ini,
saya juga antara yang menggunakan alasan ‘masa’ untuk melayan sikap liat
membaca. Sedangkan dengan teknik yang
betul, fokus dan berdisiplin, masa sebenarnya bukanlah halangan untuk membaca.
Memandangkan
saya sudah menghabiskan cabaran ini, teknik yang sama saya gunakan untuk beberapa
buku lain. Ya benar, ada sesetengah buku, kita sebenarnya tidak perlu pun membaca
setiap baris ayat, tetapi kita masih tidak terlepas poin-poin penting.
Kecualilah jika penulisnya kita maklum memang punya bakat mengarang yang besar
sehingga membuat kita mahu menekuni setiap baris ayatnya. Siap baca guna
pembaris lagi.
Ini
saja perkongsian saya bagi cabaran kali ini. Untuk ulasan buku ini, saya
sediakan dalam tulisan yang lain. Kerana saya menggunakan buku yang sama untuk
cabaran keempat; buku travelog penulis lelaki dan buku travelog penulis
perempuan.
No comments:
Post a Comment