Cabaran 32 Buku 2016 (Buku ke #17, cabaran
ke 2,3 – Penulis Perempuan luar negara dan cabaran Travelog yang ditulis oleh
penulis perempuan)
Saya mengambil masa untuk menghabiskan
catatan perjalanan spiritual Oki Setiana Dewi. Pada mulanya untuk cabaran ke 2
(atau 3), membaca buku tulisan dari penulis wanita luar negara. Kemudian
mendapat cabaran membaca travelog dari penulis wanita. Saya kira rezeki saya,
boleh dihimpunkan dua cabaran untuk satu buku.
Oki Setiana Dewi adalah figur terkenal di
Indonesia, seorang pelakon yang membintangi filem Ketika Cinta Bertasbih.
Menulis buku Cahaya di Atas Cahaya, sebuah travelog pengembaraannya ke Makkah
untuk melaksanakan ibadah Umrah dan kemudian berkesempatan belajar di kampus
Ummul Qura.
Oki menulis dan berbicara dengan hatinya.
Menuliskan setiap langkah perjalanan yang magis (dari pandangan saya). Pada
mulanya tidak mempunyai mahram (waris lelaki) yang boleh menemannya Oki dan
Ibunya ke Makkah. Kemudian memohon pertolongan Uwak Bandi, seorang tetangga
yang mengasuh Oki ketika kecil. Hasrat Oki dan Ibu ke Makkah, akhirnya memberi
peluang emas kepada Uwak Bandi yang tidak pernah menjejak kaki ke Makkah tetapi
selalu menyimpan impian ke sana.
Oki menulis tentang Cahaya dalam satu
fragmen di buku ini seperti ini,
Di Makkah, burung-burung cahaya beterbangan
di atas Ka’bah, mengiringi ribuan manusia berthawaf sepanjang waktu, yang tiap
kicauannya adalah tasbih dan tiap kepakan sayapnya adalah tauhid. Di sinilah
cahaya Allah menaunginya. Ada Cahaya di Atas Cahaya.
Selain dari cerita perjalanan umrah dan
bagaimana belajar Bahasa Arab di Ummul Qura, dalam buku ini juga diceritakan
tentang beberapa pengalaman rakan-rakan Oki sebagai seorang wanita. Antaranya
kisah Azizah, seorang wanita yang terpersona dengan cinta dari lelaki yang
tampan dan romantis. Sehingga dijodohkan berkahwin tetapi tidak lama kemudian
bercerai.
Azizah berpesan kepada Oki, “Pedih Ki.
Makanya jangan menikah tanpa restu orangtuamu. Tidak akan berkah. Sekarang
cinta abadiku hanya untuk-Nya. Aku mencintai anakku karenaNya…dan aku mencintai
suamiku nanti pun…untuk-Nya.”
Buku ini ditulis dengan Bahasa yang indah.
Sekiranya masih belum ke Makkah dan Madinah, buku ini melukiskan pengembaraan
yang terperinci. Sekiranya sudah pernah ziarah, akan mengembalikan
kenangan-kenangan beribadah dan kemanisan berada di rumah Allah.
Saya menyalin doa di hujung buku,
Ya Allah,
Karuniakanlah cahaya dalam hatiku,
Cahaya dalam pendengaranku
Cahaya dalam penglihatanku
Cahaya dalam ucapan lisanku
Cahaya pada sisi kananku
Cahaya pada sisi atasku
Cahaya pada diri dan keperibadianku
Dan perbesarlah karuna cahaya-cahaya itu
bagiku….
No comments:
Post a Comment