.

.

Sunday, 10 September 2017

Review Keempat - SUMPAHAN PUAKA oleh Nasra





REVIEW SUMPAHAN PUAKA SOICHI OLEH JUNJI ITO

Sumpahan Puaka Soichi merupakan komik yang menjadi pilihan untuk cabaran kali ini. Komik ini merupakan karya Junji Ito iaitu seorang doktor gigi yang diiktiraf sebagai mangaka genre seram terbaik di negara asalnya. Beliau merupakan antara penulis yang menjadi pilihan saya.

Komik Sumpahan Puaka Soichi ini merupakan terjemahan dalam bahasa melayu. Komik ini mengandungi 5 bab utama dan sebanyak 415 muka surat. Komik ini mengisahkan tentang seorang budak lelaki pelik yang suka mengemam paku. Soichi merupakan anak bongsu sebuah keluarga dan sangat obses dengan sumpahan-sumpahan misteri dan yang menariknya sumpahan tersebut kadang-kadang menjadi walaupun sebenarnya Soichi tidak memiliki apa-apa kuasa unik. 

Setiap bab menceritakan tentang kisah berbeza mengenai Soichi dan sumpahannya. Komik ini berjaya membawa saya berhalunisasi sambil membayangkan gelagat Soichi yang pelik dan misteri. Tabiat mengemam paku saja cukup membuatkan saya berasa sangat misteri dengan personaliti Soichi. Pelbagai peristiwa misteri dan menakutkan yang terjadi angkara Soichi yang melibatkan rakan-rakannya dan orang sekeliling sehingga menyebabkan Soichi tidak disukai oleh orang sekelilingnya.

Semestinya komik ini mempunyai unsur saspen dan membuat pembaca tertanya-tanya siapakah sebenarnya Soichi dan mengapa dia berkelakuan seperti itu.

Pada bab pertama, iaitu bab Percutian Panas Menyeronokkan keanehan Soichi membuatkan saya tertanya-tanya apakah Soichi benar-benar memiliki kuasa kerana dalam bab ni, Soichi seperti tukang sihir yang mengenakan saudaranya yang datang dari bandar. Bab ini juga menjelaskan sebab Soichi mengemam paku dan meninggalkan kesan pada pengakhiran bab kepada pembaca untuk terus membaca untuk merungkai perkara sebenar mengenai Soichi.

Bab-bab seterusnya, Soichi semakin galak mengenakan orang lain dengan sumpahannya itu. Sumpahan itu dikatakan berpuaka kerana hampir semua sumpahan tersebut menjadi! Soichi sebenarnya mempunyai seorang nenek yang memiliki perwatakan sama seperti dia dan ibu bapa Soichi menganggap Soichi mewarisi personaliti neneknya. Saya berpendapat Sochi mengenakan orang lain untuk menarik perhatian orang lain terhadap dirinya. Ini kerana dalam kebanyakan peristiwa yang terjadi adalah disebabkan dia diabaikan oleh orang-orang sekelilingnya.

Komik ini tidaklah seseram kisah seram yang lain seperti karya Ramlee Awang Mursyid dan penulis hebat lain, tetapi komik ini menampilkan kelainan dengan meletakkan watak seorang budak yang pelik sebagai watak utama dalam komik ini. Selain terdapat unsur ‘pelik’, misteri,seram dan sedikit komedi, unsur kekeluargaan juga dapat diterapkan didalam komik ini.

Pada bab terakhir, muncul satu watak yang lebih menakutkan daripada Soichi. Soichi terkena dengan helahnya sendiri. Pengakhiran komik ini cukup menimbulkan tanda tanya. Bagi saya, komik ini saya rate 3.5/5. Sesuai dijadikan bacaan santai untuk mereka yang tidak seberapa gemarkan cerita seram kerana jalan cerita yang langsung tidak memunculkan sebarang watak hantu cuma pada pengakhiran bab sahaja. 

Selamat membaca!


No comments: