.

.

Monday, 5 September 2016


BACAAN PANTAS 24 JAM

Ada dua buku yang dihabiskan selama 24 jam. Lupa untuk mencatat tarikh mula baca dan akhir. Dua buku tersebut adalah:

1. Hikayat Panji Semirang

2. Bagaimana Anyss Naik ke Langit - Faisal Tehrani



Hikayat Panji Semirang

Kisah mengenai Ghaloh Chendana yang malang kematian ibu diracun oleh Permaisuri Liku. Menjadi pengembara memakai pakaian laki-laki dan memakai nama Panji Semirang. Menjadi kelana sehingga bertapa di gunung Wilis. Kemudian menjadi gamboh. Akhirnya bertemu dengan tunangan dan berkahwin dengan Raden Inu.

Bagaimana Anyss Naik ke Langit
Dubook Publication 2014.

Kisah Profesor Anyss kehadapan memperjuangkan nasib orang asal Penan Sarawak. Bagaimana pembalakan bukan sekadar merobek tanah hutan milik Pribumi Sarawak, tetapi turut memperkosa gadis dan perempuan kaum orang asal. Cerita Profesor Anyss ke Beijing, tujuan untuk memberi rehat dan cuti akibat ada tangan-tangan jahat yang mengeledah pejabatnya di Seremban. Profesor Anyss bercuti, tetapi minda dan hatinya tidak. Cerita mengisahkan Profesor Anyss imbas semula apa yang terjadi kepada perempuan Penan. Bagaimana maruah diri, kerperempuanan mereka dirobek rakus dan diperlakukan lebih rendah dari binatang. Tujuan perkosaan adalah untuk mewujudkan rasa takut kepada penduduk pribumi supaya tidak menghalang pembalak yang telah diberi lesen. Perjuangan pribumi adalah untuk mengambil semula hak, tetapi dipandang sepi orang di Petrajaya dan Putrajaya. Yang menang adalah pemegang duit yang boleh membeli lesen-lesen pembalakan. Yang merana pribumi asal yang hasil hutan kurang, makanan pupus, air bersih tercemar disebabkan oleh mendakan. Profesor Anyss adalah seorang profesional yang membantu suara mereka di dengar di Geneva. Tetapi ada harga yang perlu dibayar. Pertualang di Beijing mempercepatkan jalannya naik ke langit.

Bagaimana saya boleh membaca keduanya dalam masa 24 jam? Setiap buku berbeza motivasinya.

Hikayat Panji Semirang
Buku hikayat adalah paling sukar sekali untuk saya hadam dari dulu hingga sekarang. Mungkin saya tidak begitu menyukai fantasi dan bayangan bombastik tidak masuk akal. Satu lagi ialah cara menggunakan bahasa klasik yang sangat asing. Masa sekolah dahulu kalau ada pilihan, saya tetap akan memilih puisi untuk jawab soalan Bahasa Malaysia SPM. Hampir tidak pernah saya mencuba jawab Hikayat, seingat memori yang saya simpan.

Motivasinya mudah. Saya mencapai buku Hikayat Panji Semirang selepas pulang dari kelas Raiha Bahaudin. Cabarannya ialah untuk cuba baca hikayat. Motivasinya ialah menyahut cabaran.

Tips bagaimana membaca cepat buku ini
1. Motivasi luaran dari Raiha Bahaudin dan cabaran Perewa

2. Rupanya buku hikayat mudah untuk dibaca. Semuanya cerita dan berbentuk peristiwa. Yang diperlukan pembaca ialah imaginasi. Hikayat kalau sesiapa yang tidak mahu membaca secara serius, boleh dibaca dalam bentuk visual. Semua yang berlaku dalam hikayat boleh divisualkan diminda. Tidak perlu berfikir banyak, jadinya baca boleh jadi cepat dan lancar.

3. Buku ini agak nipis berbanding novel biasa

Bagaimana Anyss Naik ke Langit

Tulisan FT tidak asing untuk saya. Bermaksud, saya sudah biasa dengan apa yang boleh/akan ditawarkan oleh FT. Maksudnya, dari mula saya sudah sediakan mental yang akan diasak dengan fakta, emosi, ujaan, tragis menghiris, dan pelbagai yang boleh FT tawarkan. Kecuali humor seperti dalam Ketupat Cinta, novel BANKL hampir tiada unsur komedi.

Tips membaca:

1. Buka FT yang ada dalam simpanan tetapi masih belum habis baca - sebagai peminat yang agak tegar juga, memang rasa perlu baca juga

2. Sudah biasa dengan FT, persediaan mental itu sudah disiapkan dulu sebelum buka mukasurat pertama

3. Ini kisah orang kecil dan marginal, secocok dengan jiwa

4. Saya mungkin lebih suka bahan bacaan berbentuk asakan untuk berfikir jauh dari teks yang ditawarkan. FT selalu berjaya menawarkan ini untuk pembaca seperti saya.


5. Buku ini nipis, temanya satu sahaja. Tidak seperti Perempuan Nan Bercinta yang memerlukan bulan untuk dihadamkan dan lebih dari sekali bacaan.

Tambahan: Hampir tiada motivasi luaran untuk bacaan kedua dalam masa 24 jam. Tetapi lebih kepada motivasi dalaman. Motivasi tersebut adalah lebih kepada perasaan berbaloi untuk baca dan untuk tahu pengakhiran dari ujaan tajuknya, Bagaimana Anyss Naik ke Langit?

Bagaimana.

Pengakhiran yang mistik dan misterius sekali, sekaligus mengesankan