ULASAN TRAVELOG
ADVANTURA PULANG KE MALAYA vs IBU MELAYU MENGELILINGI DUNIA: DARI
RUMAH KE LONDON
Tik tok tik tok tik tok… Jarum jam hampir menunjukkan nombor 12.
Bererti tinggal beberapa detik saja lagi untuk saya siapkan ‘ulasan yang
tertinggal’ iaitu ulasan travelog antara dua penulis berlainan jantina. Sedang
jiwa muda yang lain bergembira menyambut tahun baru yang bakal tiba, saya
sebaliknya bertarung mati-matian menghabiskan bacaan dua buku travelog yang
bermula pada jam 7:30 malam, tanggal 31 Disember 2016. Ulasan ini perlu saya
siapkan dan hantar sebelum jam 12 malam. Itulah, siapa suruh lupa! Segala
rencana sempena malam tahun baru saya ketepikan. Semua sms dan panggilan saya
abaikan. Semua tumpuan dan keringat saya curahkan pada saat-saat akhir demi
menamatkan cabaran 32 bacaan 2016 yang dianjurkan oleh Buku Jalanan Titi. Namun,
malang tidak berbau, saya harapkan panas hingga ke petang rupanya hujan di
tengahari. Jam 11:10 malam laptop saya menghembuskan ‘nafas’nya yang terakhir
di hari terakhir 2016. Dan saya sekarang menulis secara manual. Mujur ada pen
dan kertas. Jadi, mari kita teruskan kepada isi perbincangan.
Advantura Pulang
ke Malaya dan Ibu Melayu Mengelilingi Dunia Dari Rumah ke London keduanya dari
satu genre yang sama iaitu genre travelog tetapi dari dimensi yang berbeza.
Dimensi jantina, dimensi umur, dimensi zaman, dimensi pola fikir, dimensi corak
sosial dan juga dimensi penulisan. Setiap penulis mempunyai identiti mereka
tersendiri dan matlamat sendiri dalam penulisan karya mereka. Untuk apa pada
awalnya mereka menulis juga menjadi tanda tanya. Semua itu saya kira boleh
dilihat dengan menumpukan pada content dan cara penyampaiannya.
Titik utama yang
saya lihat dari dua buku dimensi berbeza ini ialah keduanya menghasilkan sebuah
karya manifestasi cinta. Aishah Ghani (nama pena: Aishah Aziz)
memanifestasikan cintanya terhadap sebuah cita-cita afung dalam mencari ilmu di
bumi asing yang beliau sebut sebagai cinta pertamanya. Cinta yang perlu
dijejaki dan dikejar. Hanya setelah beliau puas bercumbu dan bermesra, barulah
beliau pulang ke tanah air yang beliau tinggalkan bersama seorang suami dan
tiga orang anak. Begitu juga Badrul dengan nafsu yang bergejolak memenuhi
kehendak yang beliau namakan sebagai impian seornag pengembara yang tidak punya
banyak wang tetapi tetap mahu buktikan pada dunia, pada kita anak melayu yang
acapkali sayu dan layu apabila dikata orang akan sesuatu yang kita mahu lakukan
sebagai mustahil. Maka kita percaya ia mustahil. Tidak bagi Badrul. Beliau
buktikan bahawa tidak ada apa yang mustahil selagi kita percaya pada diri kita
dan percaya Tuhan sentiasa ada. Tidak juga bagi Aishah. Keduanya menongkah
cabaran dan halangan atas nama cinta dan impian.
Bezanya, pada gaya
bahasa, lenggok cerita, isi-nya dan tujuan penulisan mereka. Aishah sudah pasti
menawan saya pada pandangan pertama. Seolah saya yang sedang bercumbu mesra
dengan cita-cita yang beliau perjuangkan. Jiwa saya direntap hebat tatkala
perjalanan beliau bukan untuk beliau semata. Ini bukan karya peribadi saya
kira. Ia karya membuka mata dan jiwa pembaca demi anak bangsa melayu kita.
Tentang peri pentingnya mengembara mencari ilmu dan pulang dengan minda baharu,
semangat baharu untuk meningkatkan mutu hidup dan memajukan fikiran bangsa
melayu kita yang beliau kira ‘jumud’ (sempit) pada waktu itu. Satu perkara
hebat pada penulis ini ialah JIWA-nya. Jiwa merdeka. Jiwa Nasionalis yang
Islamis. Hal ini yang tidak ada pada Badrul. Ya, Badrul menulis karya juga
mungkin bukan untuk dirinya semata tetapi perjuangan kembaranya untuk apa?
Selain membuktikan dirinya dan menjadi tauladan buat sang pengembara yang lain.
Saat saya membaca karya Badrul, saya tidak mampu untuk membawa jiwa saya lemas
dalam asmara pengalamannya. Kerana itu saya persoalkan tujuan penulisan
seseorang penulis. Untuk apa dan apakah mereka mampu untuk menyuntik sebuah
suntikan yang mampu menginjak paradigma pembaca. Membuat punggung pembaca
hangat lalu melompat mengejar cita-cita dan impian.
Dimensi-dimensi
yang saya sebut sebelum ini-lah saya kira yang membezakan kedua penulis ini.
Aishah menulis dengan jiwa. Badrul menulis dengan ‘kata-kata’. Aishah menulis
tanpa memasukkan apa-apa gambar sekalipun tetapi segalanya tergambar dalam
minda pembaca seperti saya. Badrul, ya, memasukkan gambar-gambar yang menarik
dan petikan-petikan yang catchy tetapi saya tidak mampu untuk berpelukan
bersama memorinya.
Walaubagaimanapun,
keduanya mempunyai kelebihan tersendiri dalam zaman mereka yang sendiri. Dan
keduanya mempunyai pembaca-pembaca yang sendiri-sendiri juga. Semuanya (dalam
hal ini) bersifat subjektif mengikut definisi dan interpretasi kita.
Semoga bermanfaat
buat semua!
No comments:
Post a Comment