.

.

Thursday, 7 January 2016

Pelancaran Mini Buku Jalanan TITI 15 Februari 2015


Assalamua'laikum dan salam sejahtera,


Sejak awal penubuhan Buku Jalanan TITI beberapa tahun lalu, kami berpegang teguh kepada semangat untuk mengurangkan sebanyak mungkin jurang antara buku dan masyarakat. Kami percaya buku tidak sepatutnya terpenjara secara eksklusif di dalam gedung-gedung besar atau rak-rak peribadi di rumah. Dari situ terlahirlah gerakan Buku Jalanan TITI yang sentiasa membuka 'perpustakaan jalanannya' setiap dua minggu. Gerakan Buku Jalanan TITI diusahakan oleh sekumpulan pencinta buku secara sukarela tanpa menerima sebarang habuan material melainkan kepuasan untuk berkongsi kecintaan mereka kepada masyarakat.



Hadirin yang saya kasihi,
Hari ini, kita akan melancarkan satu lagi usaha kecil Buku Jalanan TITI untuk mengurangkan jurang antara buku dan masyarakat, iaitu MINI BUKU JALANAN TITI. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yayasan CIMB dan DBKL kerana membantu menjadikan idea kami satu kenyataan. MINI BUKU JALANAN TITI adalah sebuah rak kecil buku diletakkan di tengah-tengah ruang awam. Bukan milik kami, bukan milik DBKL, bukan milik Yayasan CIMB, tetapi milik kita semua. Kita semua yang akan menikmati buku-buku di dalam rak ini dan kita juga yang akan memastikan kandungannya terus melimpah ruah.



Ada yang bertanya, bagaimana kalau rak ini dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab? Saudara dan saudari, ketahuilah tidak ada apa yang dapat terlepas dari kerosakkan sekiranya ada yang berusaha merosakkan. Sudah masanya kita berani keluar dari ketakutan pada perosak-perosak dan percaya pada saudara-saudari kita yang rata-ratanya baik belaka. MINI BUKU JALANAN TITI meraikan majoriti warga Kuala Lumpur yang baik dan budiman. Rak ini rak kita dan kita akan bersama-sama menjaganya. MINI BUKU JALANAN TITI ia akan terus menjadi cermin sikap kita terhadap ilmu, buku dan sesuatu yang kita semua miliki secara bersama.

No comments: