.

.

Tuesday, 1 March 2016

Review Buku Pertama: Karbala oleh Asmidar Alias


Tidak susah untuk menghukum haram buku Karbala bagi negara Malaysia yang mengamalkan akidah ASWJ, dalam e-fatwa 5 Mei 1996  memansuhkan penerimaan Mazhab Syiah. Ini adalah kerana buku yang ditulis Faisal Tehrani (FT) dan diterbitkan Arberdeen pada tahun 2008 secara jelas menceritakan dalam bentuk drama kebudayaan ta'ziyah penganut Syiah yang diamalkan di kebanyakkan negara di dunia seperti Pakistan, Iraq, Yaman, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan Iran.

Ta'ziyah berkonsepkan drama penjelmaan semula (resurrection) peristiwa bersejarah dan berdarah yang berlaku di tanah Karbala Iraq pada 10 Muharram 61 Hijrah, yang melibatkan cucu Rasulullah iaitu Hussein bin Ali, anak kepada Saiditina Fatimah ra dan suami Ali bin Abi Talib karamallahu wajhah (kw). Selang masa diantara kewafatan baginda Rasulullah dan peristiwa Karbala hanyalah kurang lebih 50 tahun sahaja.

Dalam novel ini, FT menyorot keseluruhan peristiwa ini dalam bentuk drama, di mana pembaca perlu melihatnya dalam banyak sudut. Watak-watak yang dimainkan, props, dialog, peranan chorus, alat muzik yang bersesuaian serta perubahan set dan scene. Oleh kerana Karbala dalam bentuk drama, maka banyak dialog yang terlibat dan juga peranan tukang cerita amat penting untuk membayangkan mood dan emosi pemain.

Secara keseluruhan, cerita Karbala adalah detik genting peristiwa pertembungan kem Yazid bin Muawiyah yang diwakili oleh Umar bin Sa'ad dan Hussein bin Ali di tanah Karbala. Detik-detik penderitaan keluarga Rasulullah diasak sehingga ke titisan darah terakhir, dinafikan segala bentuk bantuan kemanusiaan seperti sumber bekalan air dan makanan diceritakan dengan dramatik dan berkesan.

Pengepungan berlaku untuk mendesak Saidina Hussein memberi baiah kepada Yazid yang memusatkan kerajaannya di Damsyik, Syria. Soalan yang berputar di kepala, kenapa Saidina Hussein bergerak ke Karbala tanah padang pasir yang gersang dan tiada orang? FT menjelaskan, perjalanan Imam Hussein adalah untuk menyahut panggilan baiah penduduk Kufah bagi tujuan reformasi kerana apa yang dilakukan oleh Yazid yang mewarisi pemerintahan dari bapanya Muawiyah bin Abu Sufyan sudah banyak terpesong. Islam yang diletakkan batu asasnya oleh Rasulullah telah dijungkar balik.

Setelah membaca dalam makalah lain, banyak perbincangan mengatakan Karbala bukan pertembungan agama, tapi boleh dilihat dari sudut pertembungan politik, pemerintahan dan kelas.

Ketika membaca, saya merasakan Karbala bukanlah isu akidah yang perlu dibincangkan dengan menelaah mazhab aqidah seperti Asya'irah, Jabariyah, Qadariah atau Syiah, tetapi isu kebudayaan/sejarah yang sentral kepada peristiwa yang berlaku kepada cucu Nabi Muhammad saw, iaitu Imam Hussein, keluarga dan pengikutnya dengan pelaku zalim Yazid bin Muawiyah dan tentera suruhan yang diketuai oleh Umar bin Saad.

Walaubagaimana pun, peristiwa ini selalu menjadi penanda aras atau garis pembeza antara dua mazhab, ASWJ dan Syiah. Kepercayaan mengenai peristiwa, keraian yang bersangkutan, penghayatan tentang Karbala nyata berbeza malah kadangkala menjadi alat untuk saling menjatuhkan. Di rantau nusantara, keraian 10 Muharram berbeza sambutannya. Ada yang menyambut dengan keraian memasak bubur Asyura. Keraian yang melambangkan kegembiraan peristiwa kenabian yang lain, seperti selamatnya Nabi Nuh dari bah besar. Tetapi ada juga yang menyambut Tasua dan Asyura dengan menghayati peristiwa Saidina Hussein yang dizalimi.

Tapi secara peribadi, sukar untuk membayangkan Karbala tiada motif agama kerana agak payah menjustifikasikan cucu Rasulullah saw dan 72 ahli keluarga dan sahabat sanggup menggadaikan harta benda, kesenangan malah nyawa untuk tujuan yang bersifat keduniaan, melainkan ianya mempunyai kepentingan agama, maslahat manusia secara umum dan hal bersangkutan akhirat.

Buku ini adalah perbicaraan dialog genting yang berlangsung di khemah Imam Hussein. Bagaimana keluarga dan sahabat satu persatu menyanggupkan diri mereka untuk bertembung dengan tentera Yazid. Perbualan antara Imam dan pengikut selalu mengundang kesayuan dan keperitan yang menusuk jiwa. Detik-detik akhir sebelum mereka terbunuh itu jelas, tetapi tidak menyebabkan mereka goyang dan berpaling.

Watak-watak seperti dari kem orang saleh, Imam Hussein, Zainab, Ali Zainal Abidin, Ali Akhbar, Ali Asghar, Aswajah, Habib bin Mazaher, Muslim bin 'Ausajah, 'Amir bin Qarthah Al-Anshari.

Yang dipamerkan dari kem fasik, Umar bin Saad, Syimir bin Dzil Jausyan dan lain-lain.

Juga ada cerita aneh, dalam saat genting masih ada orang sanggup melompat kem, dari kem fasik ke kem orang soleh seperti Hurr bin Yazid apabila tersedar dari kesilapan yang nyata. Maaf Hurr diterima dengan lapang dada oleh Imam Hussein.

Awal-awal lagi FT telah memberi garis pemisah yang jelas, mereka yang berada di kem Imam Hussein adalah kelompok orang saleh. Mereka yang menentang adalah orang fasik, termasuk mereka yang tidak memberi dokongan dalam terang atau tersembunyi.

Sejarah, sekurang-kurangnya di Malaysia tidak mengenal peristiwa Muharram yang ini. Kes kecil yang kami bertanya kepada ibu dan orang-orang tua, soalan mudah, "pernahkah mendengar Karbala?" atau "tahukan anda cucu Nabi dibunuh?" akan dijawab dengan gelengan tidak tahu. Paling tidak akan menjawab, "Hussein, cucu yang selalu memanjat belakang Nabi itu?". Di Malaysia, Hussein tidak pernah dewasa.

Buku ini secara peribadi membuka dimensi lain tentang sejarah Muharram bagaimana orang Islam meraikannya dengan cara berbeza. Juga memberitahu tentang sebuah nama tempat Karbala, pembela kebenaran Imam Hussein, pengkhiatan dari kem fasik dan penduduk Kufah.

Buku ini juga membuka sudut pandang, bahawa pertembungan dan peperangan itu boleh sahaja berlaku dalam sesama agama. Apabila kebatilan itu jelas, maka perlu ada kelompok yang bangun berjuang secara jelas.

Buku ini dalam bentuknya yang khusus, membuat kita termenung panjang, apakah gerangan manusia sesama Islam sanggup membunuh cucu Rasulullah saw, yang setiap kali solat namanya disebut, dan setiap kerinduan, kehadirannyalah yang kita dambakan.

Lebih adil ulasan ini dibuat dengan menyelidik silang dengan fakta sejarah. Tetapi masa yang ada untuk cabaran 32 buku ini begitu terhad.

Kami melihat anak buah kecil kami, yang senyumnya tidak lekang, yang nakal mengundang girang. Seperti Hussein kecil yang disayangi Nabi. Alangkah sayu hati Nabi, bila telah melihat masa depannya yang berdarah dan dianiaya.

Masa depan bagi cucu Nabi, tidak seindah yang kita bayangkan kepada pewaris risalah agama.

Karbala berjaya membuka satu lipatan sejarah dalam gaya dan cara tersendiri, yang dibungkam/terbungkam oleh si pemenang. Kerana hanya yang menang perang menulis sejarah, tetapi kebenaran selalu menjumpai jalan untuk menzahirkan dirinya, dari jalan yang tidak disangka-sangka.

Soalnya, beranikah kita untuk mengetahui kebenaran tentangnya.

No comments: