.

.

Sunday, 27 March 2016

Review Buku Pertama: Tiga Kali Seminggu oleh Naziatul Azrin

TIGA KALI SEMINGGU~ Faisal Tehrani


Saya tidak banyak membaca karya Faisal Tehrani. Tiga Kali Seminggu (selepas ini disebut “TKS”) yang menjadi buku tugasan saya dalam Cabaran 32 Buku 2016 ini adalah buku ketiga, selepas Tunggu Teduh Dulu (dibaca tahun 2010) dan Manikam Kalbu (dibaca tahun 2015), atau buku keempat sebenarnya, jika Kumpulan Puisi Mek Bah dikira sekali. Selainnya, saya hanya baca tulisan-tulisan beliau dalam bentuk artikel-artikel di internet atau sebagai prakata dalam buku-buku penulis lain.

TKS adalah buku kategori nipis-nipis saja. Tetapi dalam nipis-nipis itu agak lama tempoh masa saya ambil untuk menghabiskannya. Tidak ada isu kekangan masa di sini. Tetapi alasan lain, yang akan saya nyatakan kemudian. Seperti yang tertera di kulit buku, TKS mengandungi 15 cerita mencabar minda; (1) Rindu Ini Luar Biasa, (2) Abuya Tokoh Dongeng Yang Memakan Babi, (3) Antiplot, (4) Bulan Penuh di Saigon, (5) Cinta Medeni, (6) Dangai, Pau dan Maruku, (7) Hajah Abidah, (8) Latar, (9) Manifesto Mergastua, (10) Muhammad Ulul Albab (11) Muthupalaniappan, (12) Perlak Emak, (13) Tiga Kali Seminggu, (14) Setelah Diciptakan Adam dan yang terakhir (15) Kegawatan. Berjumlah 196 halaman kesemuanya, TKS diterbitan Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd. pada tahun 2010. Diwartakan sebagai haram oleh KDN pada 01.04.2015 [No. Warta: P.U (A) 67].

Mengapakah TKS diwartakan sebagai haram? Itu saya tidak tahu. Pihak berautoriti telah mengiytiharkannya sebagai haram. Maka haramlah. Adakah TKS patut diharamkan? Itu bergantung.

Setelah saya habiskan kesemua 15 cerpen yang terkandung dalam TKS, saya dapati kesemuanya isi kandungannya adalah pahit-pahit rasanya. Itulah punca mengapa saya terpaksa habiskan dalam tempoh yang agak lama walaupun bukunya tidak tebal mana. Paling manis di antara semua yang pahit-pahit itu mungkin adalah cerpen (5), cerpen (6) dan cerpen (10).

Jikalau kepahitan yang menjadi sebab untuk dijadikan haram, maka pengharaman ke atas TKS itu adalah jauh lebih pahit sebenarnya. Tetapi jikalau isu Syiah yang menjadi punca ia diharamkan makanya TKS sepatutnya adalah produk halal. Tidak ada pada penelitian saya isi kandungan yang bercirikan jarum-jarum Syiah dan saya yang tidak asing dengan bacaan-bacaan rumit, cermat dalam bacaan saya. Jikalau cerpen (8) yang ada menyebut lawatan ke Iran itu dianggap bacaan yang patut dikhuatirkan pihak kerajaan, maka amat malang sekali hak rakyat jelata untuk membaca TKS ini dihalang. Atau jikalau cerpen (15) yang terakhir itu dianggap tulisan-tulisan yang berbahaya kepada negara (sedangkan kita seronok saja melihat filem-filem Hollywood menayangkan kisah kehancuran ibu kota yang lebih kurang sama) maka pengharaman TKS ini memenjarakan minda rakyat dalam tempurung kelapa.

Ringkasnya, selepas saya tamatkan bacaan, dan selepas lima minggu saya membelek-beleknya ke hadapan ke belakang dan kembali ke hadapan, TKS tidak patut diharamkan. TKS pada saya adalah tulisan yang selamat untuk dibaca (kecualilah bagi si paranoid yang semua perkara pun adalah ancaman baginya tetapi gelojoh pula menghukum buku tanpa membacanya dan itu, Tuhan saja yang berkuasa membolak-balikkan hatinya~ jangan terasa, jika ini bukan sikap anda). Saya katakan buku TKS ini selamat untuk dibaca dalam keadaan saya sendiri bukanlah peminat tegar Faisal Tehrani. Atau (boleh jadi) belum lagi.





No comments: