.

.

Sunday, 15 May 2016

Pantun dan isi tersirat dalam sajak Guru Oh Guru - Usman Awang, 1979

SAJAK “GURU O GURU” – USMAN AWANG (1979)



BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun yang sama 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council ) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee ) sebagai dasar pelajaran negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak, telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.

1. Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
2. Menarik perhatian ibu bapa , murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
3. Memupuk semangat perpaduan ikhtisas dan muhibbah di antara guru.
4. Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
5. Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar, persidangan, melanjutkan pelajaran dan sebagainya.
6. Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Saya terpanggil untuk menulis perihal sajak Usman ini kerana ada yang bertanya jika guru mengajar salah itu bagaimana? Jika ini yang berlaku bagaimana?

“Jika hari ini seorang Perdana Menteri hilang kuasa
Jika hari ini seorang Raja dirampas takhta
Jika hari ini seorang Presiden bukan pada sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang hina
Jika hari ini seorang peguam kalah bicara
Jika hari ini seorang penulis tidak terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja yang tidak menjadi dewasa;”

Bagaimana? Bagaimana? Bagaimana?

Itulah kita perlu baca dengan sebenar baca, anda faham pantun lama yang Usman selitkan bersekali dengan peribahasa

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Pembayang dan makna pantun:

Pembayang
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki

Ramai dari kita tidak faham dan mengambil mudah pantun klasik ini. Bagi yang tidak kenal dan tahu maka akan abaikan, jika tahu akan tertarik dengan pantun ini.

Rusa belang kaki bukanlah rusa yang kita tahu, tapi ianya adalah belalang rusa. Klunya adalah padang datar, rusa tidak akan muncul di kawasan padang kerana tempatnya di rimba. Lain pula belakang rusa yang tempatnya di padang datar. Diburu untuk apa? Bunyinya yang merdu, dipertandingkan oleh peminat belalang. Dan pembayang ini juga menyatakan apa yang kita buru, itulah yang kita akan dapat.

Makna
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Ini adalah peribahasa lama,yang membawa maksud apabila suatu ilmu atau pelajaran yang tidak sempurna dipelajari, maka tidak akan mendatangkan suatu manfaat atau faedah. Maka kembali kepada persoalan atas yang membawa kepada individu merosakkan, tertewas, dan perkara-perkara negatif. Adakah salah seorang guru?
Akhir kata dari kami



SELAMAT HARI GURU!


sumber: 

1.http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm

2. http://www.kamusperibahasa.com/arti-peribahasa-indonesia/berguru-kepalang-ajar-bagai-bunga-kembang-tak-jadi/


2 comments:

Anonymous said...

Saya datang dari tahun 2024. Saya baru terbaca sajak ini awal tahun ini, sangaf bermakna. Menginsafkan diri saya juga sebagai guru yang masih belum layak bergelar guru.

Laxmana Bentan said...

Terima kasih blogger..terima kasih Usman Awang..puisi penuh makna..doakan anak saya untuk mendeklamasikan puisi ini pagi ini..