“Ini adalah buku
paling KURANG AJAR yang orang Melayu pernah hasilkan semenjak Tanah Melayu
Merdeka”. Begitulah yang tertulis di belakang kulit buku ini. Buku yang
menimbulkan kontroversi ini ditulis oleh orang yang juga banyak menimbulkan
kontroversi di alam maya sendiri dengan status-statusnya di laman Facebook. Kulit
depan buku ini memaparkan gambar penulis duduk sambil memegang seekor anjing
(yang saya kira sengaja dibuat bagi mencetuskan kontroversi).
ONAGG adalah lebih kurang himpunan
status Mutalib Uthman di Facebook dan disertakan dengan karikatur bagi memberi
gambaran yang jelas kepada pembaca. Ada 60 jumlah status kesemuanya. Masa yang
diperlukan untuk menghabiskan buku ini adalah kurang dari sejam kerana ianya
tulisan yang bersifat direct dan kita
tidak perlu pun untuk mengintepretasi apa sebenarnya yang mahu Mutalib
sampaikan.
Dalam buku ini, segala kritikan
adalah jelas. Sebagai contoh kritikan kepada ahli politik yang bernombor 12, “Sebenarnya keputusan SPM tak penting, yang
penting bapak kau siapa? ”. Di sebelahnya terdapat karikatur menunjukkan
Tun Dr Mahathir dan anaknya, Mukhriz Mahathir. Ini menunjukkan kritikan yang
jelas bahawa Mukhriz mampu menaikkan dirinya dalam bidang politik bukan kerana
kepandaian atau kecemerlangannya sendiri tetapi kerana ayahnya merupakan orang
kuat politik. Sebahagian petikan bernombor 59, “Dulu time kecik, punyalah susah, Kalau dapat makan lauk ayam, habiskan
nasi dulu, ayam last sekali.Kau apa tahu, lahir-lahir bapak kau dah jadi
menteri.” Ini pula kritikan yang diberikan kepada Dato’ Hishamuddin Tun
Hussein kerana karikatur memaparkan wajah beliau sambil menggigit peha ayam
goreng. Adalah beza orang yang dilahirkan susah dan dilahirkan sebagai anak
menteri.
Ahli agama juga tidak terkecuali
daripada mendapat kritikan. “Ustaz yang
gemuk-gemuk ni jenis makan tak ikut sunnah ke ? Bukan nabi pesan berhenti
sebelum kenyang ke ?”. Di sebelahnya ada gambar ustaz Haslin Bollywood yang
kita ketahui, gemuk! Ini pula kritikan-kritikan kepada agamawan yang gemuk yang
hanya tahu menasihati orang lain tanpa melihat cermin. Kritikan turut diberikan
kepada netizen. “Mujur aku tak pakai
tudung, kalau maki orang pun, tak ada orang pandang serong.” Disebelahnya
gambar wanita bertudung sambil menunjukkan simbol jari tengah. Ini kritikan
terhadap masyarakat yang merasakan wanita bertudung itu sepatutnya baik seperti
malaikat dan wanita tidak bertudung itu jahat seperti syaitan.
Ada satu gambar yang sangat sinikal,
menunjukkan gambar kubur tetapi ada tangan yang keluar dari kubur itu dan
memegang mikrofon. Ayatnya memberi kritikan bahawa kita sangat suka dan
terpengaruh dengan rancangan nyanyian bermula dari umur kanak-kanak (Idola
Kecil) sehingga usia tua (Kilauan Emas) .
Beberapa kritikan pula memaparkan sesetengah perkataan dan gambaran yang lucah
yang saya rasakan tidak sesuai untuk dicetak didalam buku, seperti menyebut
perkataan anggota kemaluan.
Pada pandangan saya, kritikan
kritikan seperti dalam buku ini sangat bagus kerana boleh mencelikkan mata dan
minda rakyat, tetapi, kerana kandungannya mengandungi sedikit bahan yang saya
kira lucah, maka saya menyokong agar buku ini diharamkan. Sekiranya dibuang
bahagian bernombor 53, 54 dan 55, saya akan mengubah
pendirian saya.
No comments:
Post a Comment