.

.

Sunday, 10 July 2016

REVIEW BUKU PERTAMA: ORANG NGOMONG ANJING GONGGONG (ONAGG) oleh Nuraina Kamal




           “Ini adalah buku paling KURANG AJAR yang orang Melayu pernah hasilkan semenjak Tanah Melayu Merdeka”. Begitulah yang tertulis di belakang kulit buku ini. Buku yang menimbulkan kontroversi ini ditulis oleh orang yang juga banyak menimbulkan kontroversi di alam maya sendiri dengan status-statusnya di laman Facebook. Kulit depan buku ini memaparkan gambar penulis duduk sambil memegang seekor anjing (yang saya kira sengaja dibuat bagi mencetuskan kontroversi).
                             
            ONAGG adalah lebih kurang himpunan status Mutalib Uthman di Facebook dan disertakan dengan karikatur bagi memberi gambaran yang jelas kepada pembaca. Ada 60 jumlah status kesemuanya. Masa yang diperlukan untuk menghabiskan buku ini adalah kurang dari sejam kerana ianya tulisan yang bersifat direct dan kita tidak perlu pun untuk mengintepretasi apa sebenarnya yang mahu Mutalib sampaikan.

            Dalam buku ini, segala kritikan adalah jelas. Sebagai contoh kritikan kepada ahli politik yang bernombor 12, “Sebenarnya keputusan SPM tak penting, yang penting bapak kau siapa? ”. Di sebelahnya terdapat karikatur menunjukkan Tun Dr Mahathir dan anaknya, Mukhriz Mahathir. Ini menunjukkan kritikan yang jelas bahawa Mukhriz mampu menaikkan dirinya dalam bidang politik bukan kerana kepandaian atau kecemerlangannya sendiri tetapi kerana ayahnya merupakan orang kuat politik. Sebahagian petikan bernombor 59, “Dulu time kecik, punyalah susah, Kalau dapat makan lauk ayam, habiskan nasi dulu, ayam last sekali.Kau apa tahu, lahir-lahir bapak kau dah jadi menteri.” Ini pula kritikan yang diberikan kepada Dato’ Hishamuddin Tun Hussein kerana karikatur memaparkan wajah beliau sambil menggigit peha ayam goreng. Adalah beza orang yang dilahirkan susah dan dilahirkan sebagai anak menteri.

            Ahli agama juga tidak terkecuali daripada mendapat kritikan. “Ustaz yang gemuk-gemuk ni jenis makan tak ikut sunnah ke ? Bukan nabi pesan berhenti sebelum kenyang ke ?”. Di sebelahnya ada gambar ustaz Haslin Bollywood yang kita ketahui, gemuk! Ini pula kritikan-kritikan kepada agamawan yang gemuk yang hanya tahu menasihati orang lain tanpa melihat cermin. Kritikan turut diberikan kepada netizen. “Mujur aku tak pakai tudung, kalau maki orang pun, tak ada orang pandang serong.” Disebelahnya gambar wanita bertudung sambil menunjukkan simbol jari tengah. Ini kritikan terhadap masyarakat yang merasakan wanita bertudung itu sepatutnya baik seperti malaikat dan wanita tidak bertudung itu jahat seperti syaitan.

            Ada satu gambar yang sangat sinikal, menunjukkan gambar kubur tetapi ada tangan yang keluar dari kubur itu dan memegang mikrofon. Ayatnya memberi kritikan bahawa kita sangat suka dan terpengaruh dengan rancangan nyanyian bermula dari umur kanak-kanak (Idola Kecil) sehingga usia tua (Kilauan Emas)     . Beberapa kritikan pula memaparkan sesetengah perkataan dan gambaran yang lucah yang saya rasakan tidak sesuai untuk dicetak didalam buku, seperti menyebut perkataan anggota kemaluan.

            Pada pandangan saya, kritikan kritikan seperti dalam buku ini sangat bagus kerana boleh mencelikkan mata dan minda rakyat, tetapi, kerana kandungannya mengandungi sedikit bahan yang saya kira lucah, maka saya menyokong agar buku ini diharamkan. Sekiranya dibuang bahagian bernombor 53, 54 dan 55, saya akan mengubah pendirian saya.

No comments: