.

.

Wednesday, 1 March 2017

Review Cabaran Pertama Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi oleh Saiful Anuar

Tugasan pertama dalam cabaran 32 buku dalam masa setahun ialah membaca buku rakan baik peserta. Untuk cabaran ini, saya membaca sebuah buku direkomendasi oleh kawan saya, Nur Zahidah Asri. Bukunya ialah buku Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi yang ditulis oleh Musa Nuwayri terbitan Dubook Press.

 

 Buku ini berkisahkan tentang travelog seorang pemuda yang mengharungi pelbagai ranjau dari usia remaja sehinggalah berada di sebuah negara Timur Tengah, iaitu Jordan. Penulis telah membina sebuah NGO di sana yang diberi nama Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSBDJ).
                                                      
                                                         **
Untuk pengetahuan semua, Syria terletak di Timur Tengah. Malaysia pula terletak di Asia Tenggara. Mereka bertemu di sebuah negara bernama Jordan.

Isu Syria ini berat dan diperdebat hebat oleh mereka yang memahami isu Geopolitik negara ini. Apa yang pasti, saya tidak akan bercakap tentang Geopolitik sebab itu bukan kemahiran saya.

Akan tetapi, isu kemanusiaan, keberanian, tanggungjawab sesama agama menjadikan buku ini begitu penting dibaca oleh anak-anak muda di Malaysia. Perkara ini perlu dijadikan pedoman untuk semua anak muda yang ingin menyertai apa-apa NGO dalam negara mahupun luar negara.

Apa yang saya dapat dari buku ini, untuk membantu sesama saudara seagama ini, tidak kisahlah apa yang kita ada, kita kena terus membantu. Bermula dengan tangan kosong, sehingga Musa Berjaya membina sebuah sekolah bernama sekolah KITA itu, bagi saya tidak mustahil untuk kita juga. Alasan kononnya, banyak hal, tak cukup peralatan, tak cukup dana itu bukanlah alasan yang munasabah dalam membantu sesiapa di dunia ini.

Di Malaysia terlampau banyak NGO yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, akan tetapi, hanya beberapa sahaja yang konsisten dalam mengadakan kerja-kerja sukarelawan ini. Itu belum lagi, sukarelawan-sukarelawan Universiti, Kolej Universiti, Politeknik mahupun apa-apa pasukan sukarelawan yang hadir. Tetapi, mencari yang konsisten itu payah. Ada yang hadir sekadar menambah poin-poin penting bagi mendapatkan kolej kediaman.

Perbezaan review saya dan kawan saya, kawan saya lebih berminat lebih detail dalam mengetahui tentang apa yang terjadi di Syria. Saya pula, sudah mengetahui lebih lanjut mengenai Syria ini, melalui team TSDBJ di facebook sebelum buku ini terbit. Tapi, kami amat bersetuju dalam penyampaian penulis ini tentang bagaimana ia bermula dan siapakah sebenarnya dia ketika zaman sekolah itu.

Jarang sebenarnya kita tahu seorang yang nakal itu mampu wujudkan sebuah sekolah untuk anak pelarian. Bukan tak ada, tapi jarang.

Dari segi penulisan semuanya bagus, mungkin kerana editornya ialah Faisal Tehrani. Bacalah buku ini, kerana buku ini cukup bagus untuk semua belia di Malaysia. Salam satu review!

No comments: