Ibu Melayu Mengelilingi Dunia: Dari Rumah Ke London
Tan Sri Aishah Ghani
Buku ini merupakan himpunan catatan peribadi Aishah Ghani sewaktu melanjutkan pelajaran di London pada tahun 1955. Bermula daripada detik perpisahan di pelabuhan Tanjung Pagar sehingga tiba di pelabuhan Tilbury, London, beliau merakamkan setiap peristiwa dan tempat dengan ringkas tetapi bernas. Saya dapat merasai hangat semangat nasionalisme dan patriotisme dalam setiap tulisan penulis. Keberanian Aishah Ghani mengeluarkan pandangan kritis dan tajam dilihat sebagai sesuatu yang mengkagumkan, lantaran rata-rata kaum wanita pada zaman itu masih dilihat sebagai terkongkong, pasrah, mudah mengalah dan kurang jiwa melawan.
Keputusan untuk meninggalkan suami dan anak-anak demi mengejar cita-cita melanjutkan pelajaran di luar negara bukan sesuatu yang mudah. Di antara yang tinggal dan bakal pergi terentang sebuah pertanyaan agung, “Bilakah kita akan berjumpa lagi?”. Pembaca akan menjiwai gelodak rasa sedih dan pilu yang dihadapi oleh penulis pada bab-bab awal buku. Atas dasar kasih akan tanah air supaya kehidupan masyarakat, khususnya golongan wanita dapat ditingkatkan martabatnya maka keazaman dan kecekalan hati dikuatkan jua. Buku ini amat penting sebagai khazanah catatan kembara yang tidak ternilai. Jarang sekali, malah boleh dikatakan tiada langsung catatan kembara yang ditulis oleh wanita tempatan pada tahun-tahun sebelum merdeka. Pada waktu itu, kehidupan seorang wanita sudah dianggap lengkap apabila bersuami dan mempunyai anak-anak, hidup mereka diabadikan sekitar hal ehwal rumah tangga. Maka sudah pasti perbuatan meninggalkan kehidupan yang “lengkap” tersebut amat sukar diterima oleh masyarakat. Walaubagaimanapun, pengorbanan Aishah Ghani berbaloi apabila catatan beliau telah meninggalkan sebuah legasi berharga tentang kaedah memajukan pemikiran bangsa dan cara membina masyarakat yang bejiwa besar.
Bukan sahaja catatan ini berfungsi sebagai khazanah ilmu bahkan Aishah Ghani pada zaman itu berniat untuk menjadikan sebahagian hasil daripada jualan buku ini sebagai dana untuk membantu pemuda dan pemudi yang berkebolehan melanjutkan pelajaran mereka. Tidak dapat disangkal lagi, buku yang beliau tulis ini adalah anugerah yang hebat buat Ibu Pertiwi. Buku ini dibahagikan kepada empat bahagian: Sepanjang Pelayaran Singapura ke London, Bandar London Bandar Cita-Cita, Kolej Malaya Kirkby College dan Sosiobudaya England. Ada beberapa bahagian yang ditulis telah menarik perhatian saya. Pertama Aishah Ghani tidak gentar untuk mengemukan hujah kritis sebagai jawapan balas kepada orang putih di negara mereka sendiri (fahami situasi di mana Inggeris masih menjajah Tanah Melayu tatkala itu). Ketika di Aden, beliau berhujah dengan seorang warga Irish, Gabriel P. Oholohan tentang Pelabuhan Aden. Olohan mengatakan bahawa orang-orang Inggeris berjasa besar atas pembinaan pelabuhan ini, jika tidak tentu masyarakat Aden akan mati kebuluran kerana mereka tiada hasil bumi sendiri. Aishah dengan lantang menjawab, “Orang-orang engkau tiada mahu rugi kalau tak ada untung, bukankah di Aden ini ada mengeluarkan minyak petrol yang akan dipunggah oleh Inggeris ke luar negeri.” Hanya orang yang berpendidikan dan berhati waja seperti beliau mampu memberi komentar sesinis itu.
Seperkara lagi, saya mempelajari maklumat baru bahawa Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu pernah membuka kolej bagi melatih guru-guru sebelum menjadi guru di bumi Inggeris! Kolej yang diberi nama Kirkby College ini ialah hak Tanah Melayu di England, segala perbelanjaan yang bersangkutan dengan kolej ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Tanah Melayu. Seramai 300 orang murid belajar di sana. Tiap-tiap murid akan menjalani dua tahun kursus. Murid-murid yang dihantar adalah atas pilihan Pejabat Pelajaran Tanah Melayu. Pada pandangan Aishah, inisiatif ini bagus untuk meluaskan pengaalaman anak tempatan memerhatikan kemajuan peradaban barat untuk diusahakan di tanah air kelak. Namun, penulis juga menyatakan beberapa kritikan terhadap usaha ini, antara yang lain berkenaan kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan Tanah Melayu dan pergaulan pelajar Tanah Melayu yang tidak berkembang kepada masyarakat Inggeris tempatan. Aishah juga telah menyampaikan beberapa pandangan bernas berkaitan seni, sastera, pembangunan dan budaya setelah melakukan perbandingan antara masyarakat di England dan rakyat di tanah air. Saranan-saranan yang beliau kemukan masih relevan dengan situasi yang kita hadapi kini. Saya teringat kepada sebuah travelog kembara yang menyerupai naskhah ini sewaktu membacanya. Buya Hamka beberapa tahun sebelum kembara Aishah Ghani sudah melakukan perjalanan ilmiah ke Amerika selama empat bulan. Catatan ini dirakamkan oleh Buya Hamka menerusi buku beliau, 4 Bulan di Amerika. Dan Aishah Ghani ada menyebut perihal kembara Hamka di dalam bukunya. Satu kebetulan yang indah. Jika disebut Melayu pertama mengelilingi dunia, sudah pasti kepala kita segera membayangkan sosok gagah Panglima Awang@Magellan. Maka, Aishah Ghani adalah wakil kaum wanita, sebagai wanita Melayu pertama mengelilingi dunia.
No comments:
Post a Comment