.

.

Thursday, 6 October 2016

REVIEW BUKU KEDUA - RECLAIM YOUR HEART oleh Wan Khairiah





Reclaim your Heart (Renggut kembali Hati-mu) mengajar satu sisi penting dalam hidup iaitu sisi attachment dan detachment. Bukan sekadar mengajar, penulisnya Yasmin Mogahed dengan bakat kurniaan Ilahi dan usahanya sendiri dalam mencari makna diri dalam diri, makna Tuhan dalam ciptaan, makna tujuan dalam kehidupan, membuahkan hasil yang cukup berkesan tatkala bait kata dan titis tintanya mampu merenggut kembali hati-hati yang telah hilang. Jelas terpancar kedalaman dan ketajaman fikirannya tatkala dia memilih untuk meletakkan abjad ‘h’ dalam huruf besar pada perkataan Heart di muka depan bukunya. Ya. Heart itu jika kita renung dalam-dalam bukan sekadar merenggut hati kita sendiri bahkan merujuk kepada pencipta hati itu sendiri, Allah S.W.T. Renggut kembali Tuhan yang kita lupakan! Walau Tuhan tak pernah melupakan. Itu lah sebenarnya hala tuju buku ini.

Ada petikan Saidina Ali R.A yang Yasmin muatkan dalam buku ini, “detachment is not that you should own nothing, but nothing should own you.” Kemudian Yasmin nyatakan bahawa, “the means of detachment as shown by the prophet is much deeper, not only about physical, but is the detachment of the heart.” Soal pemilikan hati. Jangan biar hati ini memiliki apa pun kecuali DIA. Jangan biar selain DIA, memiliki hati kita. Itulahsecara ringkasnya, konsep attachment dan detachment yang dikupas oleh Yasmin. Kronologi yang digunakan begitu hebat dan teratur. Setiap yang membaca pasti akan mengiyakan. Kerana setiap satu tajuk menunjukkan titik bermula sebuah kejatuhan insan kepada bagaimana mahu kembali, mengubati, memperbaiki diri, lalu Jannah menjadi destinasi. Ia sebuah buku yang mengubah fokus kita dari human-centric kepada Allah-centric. Subhanallah.

Menurut pengalaman peribadi saya, buku ini lebih praktikal dibaca ketika jiwa dan hati diterajang luka, menelanjangkan semua yang terpendam, dan tatkala diri membungkam kaku dihadapan Tuhan. Gejolak itu terlalu keliru untuk diungkap lalu dikatup rapat biar diri dan Tuhan bersoal jawab – dalam diam. Semuanya terluahkan melalui air mata yang tidak mungkin difahami oleh manusia sekeliling tetapi cukup difahami oleh Rabbul ‘Izzati. Maka buku ini menjadi panduan. Panduan kepada setiap persoalan seperti apa yang terjadi, bagaimana ini semua boleh terjadi kepada saya, kenapa saya, apa yang perlu saya lakukan dan sebagainya.

Tertulis dikulit depan buku ini, “personal insights on breaking free from life’s shackles”. Nah, itulah tujuan Yasmin menulis buku ini. Melalui pengalaman dan pandangan peribadinya sendiri dalam membebaskan diri dari belenggu hidup. Begitu hebat penulisannya sehingga sampai ke dalam jiwa ramai umat manusia termasuk saya. Kerana apa? Kerana Yasmin telah mendapatkan apa yang ramai tidak dapat iaitu ‘Ain Basirah – pandangan hikmah. Maka terlimpahlah pandangan hikmah itu dalam penulisannya. Allah nyatakan dalam al-Baqarah, ayat 269: “Allah memberikan hikmah kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang diberikan hikmah, sesungguhnyaa telah diberi kebajikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang berakal.” Semoga kita juga tergolong dikalangan hambaNya yang diberi hikmah melalui ketajaman pemerhatian dan akal.

Buku ini sesuai dibaca oleh semua orang yang mencari Tuhan dan mahu merenggut hatinya kembali yang sedang lemas dalam lautan dunia yang ombaknya tak pernah menenangkan. Harganya juga dikira murah jika dibandingkan dengan hikmah yang tak ternilai di dalamnya dan bagaimana ia mampu membantu banyak jiwa untuk kembali ke siratul mustaqim. Semoga ulasan ini bermanfaat.
                                                                      

No comments: