.

.
Showing posts with label buku kedua. Show all posts
Showing posts with label buku kedua. Show all posts

Wednesday, 10 May 2017


Cabaran kedua ini kami disajikan dengan cabaran membaca buku yang diminati oleh ahli keluarga. Saya membaca buku yang diminati oleh adik saya, iaitu Siti NorAziah yang berumur 12 tahun.

Bukunya bertajuk, Sumpahan Mahsorry berwarna pink. Tulisan Ain Maisarah dan Izanor Sharif, yang diterbitkan oleh blink book.


Pada mulanya, saya agak skeptikal dengan buku berwarna pink yang nampak jelas "kebudak perempuanannya".  Saya bertanya dekat adik saya, dia memberitahu dia suka buku bercoverkan warna pink.

Tuhan saja tahu, betapa luluhnya hati saya. Hampir sepuluh buku saya ambil gambar dan bertanyakan, buku mana yang dia minati. Dia menunjukkan naskhah itu.

Setelah saya beli, saya berikan dia baca. Adalah jugak selama 7 hari dia habiskan bacaan itu. 

Dia kata, buku itu okay dan seronok malah dia suruh membeli sambungan bukunya yang baru. Sambil berseloroh, saya berkata,

"Tunggu aku dapat gaji dik, duit takdak ni." begitulah.

Apa yang menariknya tentang buku ini, Buku ini mengisahkan dua adik beradik, Fizz dan Tizz yang selalu mengutuk cerita dongeng. Last sekali, mereka terkena sumpahan dan mereka perlu menyelesaikan 10 kes tentang cerita dongeng.

Dan ya, ini merupakan siri ke-5. Fizz dan Tizz perlu selesaikan masalah Mahsuri, berkaitan dengan sumpahan yang pernah dia lakukan di Langkawi mengikut cerita rakyat.

Buku ini banyak pengajaran yang saya dapat, dan sesuai dengan bacaan kanak-kanak berumur 9 hingga 12 tahun. Dan paling penting, buku ini memang sesuai diletakkan di rak-rak perpustakaan sekolah. Orang cakap "Dont judge a book by its cover."

Pertama, buku ini bagi saya dianggap fiksyen fantasi, mitos dan lagenda. Penambahan watak watak seperti mahsuri dan menceritakan sejarahnya, mampu membuatkan adik adik sekolah, lebih cakna tentang sejarah ini.

Ia memberikan sesuatu yang positif dalam pengetahuan mereka.

Kedua, buku ini juga mampu memberi pengetahuan kepada adik adik, bahawasanya sekiranya kita menganggu perjalanan seperti Milo yang terlampau membebel dan mulut laser, ianya memberikan satu kerugian. Sikap negatif ini perlu dielakkan. 

Sikap suka menasihati dan suka membaca mampu dipelajari oleh adik-adik yang membacanya. Sebagai contoh, sikap Tizz yang suka membaca dan menasihati abangnya dan milo dalam perjalanan cerita.

Ketiga, buku ini cukup santai dan seronok di baca. Tatabahasanya semua sesuai dengan murid sekolah rendah.

Akhir sekali, permulaan ceritanya agak slow bagi saya tetapi rancak di tengah sampai habis membuatkan buku ini cukup unik.

Saya melihat, buku buku terbitan blink books mampu memberikan impak positif. Teringat saya, melihat posting CEO blink books di FB melalui respons murid sekolah yang menghantar surat kepada Ain Maisarah tentang betapa bagusnya buku buku ini.

Terima kasih.

Yang benar, 

Wednesday, 3 May 2017


Untuk cabaran kedua ini, saya memilih untuk baca buku Harry Potter dan Bilik Rahsia terbitan Pelangi berdasarkan minat abang saya yang suka akan buku-buku di dalam siri ini. Sebab saya memilih untuk baca bukunya di dalam terjemahan bahasa Melayu adalah kerana abang saya juga mula membacanya di dalam bahasa Melayu. Waktu itu dia lagi di sekolah rendah.

Abang saya membaca kesemua novel Harry Potter dan untuk saya baca saya semua memang tak larat. Maka saya baca satu novel sahaja.
Sebelum saya memasukkan pandangan-pandangan saya, kita akan meneliti pandangan abang saya terlebih dahulu. Menurut abang saya, kesukaan dia terhadap Harry Potter adalah dengan cerita magisnya yang belum pernah dia lihat sebelum ini. Sebagai kanak-kanak, (pada waktu dia mula mengenal Harry Potter) cerita ini memberikan dimensi baru kepadanya. Apa yang dia suka sekali dengan buku ini adalah dunianya yang diceritakan. Hogwarts, stesen keretapi yang pintu masuknya di tiang, makhluk-makhluk pelik, kuasa-kuasa dan bermacam lagi. Dia mula minat untuk membeli buku Harry Potter selepas menonton filem terlebih dahulu. Kemudian barulah dia berminat dengan buku-bukunya.

Baik itu apa yang abang saya kata.

Bagi saya, novel Harry Potter adalah sebuah fantasi yang berjaya. Fantasi menurut pendirian saya ada dua. Pertama, fantasi yang menghadirkan benda-benda yang tidak wujud misalnya kota khayalan, kuasa magis, haiwan-haiwan mitos. Kedua, fantasi adalah keinginan seseorang untuk sesuatu yang dia belum atau tidak akan dapat. Senang kata fantasi jenis kedua ini adalah angan-angan.

Buku Harry Potter ada kedua-dua bentuk fantasi ini. Rowling mencipta Hogwarts dengan berbagai-bagai kepelikan. Contohnya, gambar yang boleh bercakap, tangga yang berubah-ubah arahnya, ahli-ahli magis, haiwan-haiwan mitos seperti naga.

Saya kagum betul. Bayangkan, saya seorang dewasa pun boleh kagum apatah lagi jika seorang kanak-kanak membaca Harry Potter yang ada segala macam kemungkinan. Kanak-kanak biasanya disuruh untuk baca buku yang pendek-pendek. Harry Potter novelnya panjang, tulisannya pula kecil. Ruang imaginasi dikerah habis-habisan. Rowling tidak seperti orang lain yang memandang rendah kepada keupayaan otak kanak-kanak.

Saya tak tahu dari manakah Rowling mendapat idea untuk mencipta sesuatu yang baru seperti tangga yang berubah arah itu. Mungkin boleh anggap bahawa itu adalah cerminan kepada escalator yang kita ada sekarang tetapi untuk memikirkannya bukanlah sesuatu yang mudah. Memberi sifat magis kepada sebuah kemodenan adalah cara Rowling menulis cerita. Contoh lainnya adalah, kereta terbang keluarga Ron.

Saya sebenarnya benci kepada Dobby kerana sifatnya yang suka batu api tetapi kasihan juga kerana dia adalah hak milik keluarga Malfoy. Harry Potter pula melayannya dengan baik dan saya rasa itu adalah disengajakan oleh Rowling kerana Harry Potter memang seorang yang baik.

Perkara ini adalah perkara yang ramai terlepas pandang. Selalunya pembaca akan menyoal penulis, “Eh kenapa si polan itu buat macam tu? Kenapa tak macam ni?”
Percayalah, penulis hebat seperti Rowling mewujudkan konsekwen cerita adalah berdasarkan personaliti watak. Watak melakukan sesuatu benda adalah atas kehendaknya, bukan atas kehendak penulis. Penulis cuma memikirkan kehendak itu.

Di dalam novel ini, Rowling membuat saya mempunyai keinginan untuk mempunyai benda-benda yang mustahil. Saya inginkan kereta terbang, lidah yang boleh bercakap dengan ular, mempunyai burung penghantar surat.

Sebagai penutup, Harry Potter bagi saya adalah sebuah naskhah fantasi kanak-kanak yang kita sebagai dewasa dapat juga rasakan magisnya.



Saya sebenarnya seperti sudah menjangka buku apa yang akan dicadangkan oleh ibu saya, Ku Meriam binti Ku Hussain apabila ditanyakan jenis buku kegemarannya buat cabaran kedua Buku Jalanan Titi. Agama. Subjek bacaan yang secara peribadinya sudah jarang saya baca dan telaah. Ibu saya mencadangkan Al-Quran Rahsia Terunggul, oleh Ali Ahmad Maleya yang diterbitkan oleh Kharisma Network Sdn. Bhd.

Buku ini bermula dengan penafian daripada penulis sendiri bahawa beliau bukanlah seorang yang arif dalam agama (ketika itu), tetapi sebagai seorang murid yang selalu ingin belajar. Malah, sepanjang pembacaan, saya rasakan buku ini serta tema-tema penjelasannya lebih menjurus kepada bahan motivasi yang disandarkan kepada tafsiran ayat-ayat suci Al-Quran secara umum dan ringkas, dan bukannya dakwah-dakwah keagamaan yang saya jangka pada awalnya.

Bab awal, membincangkan perihal Law of Attraction melalui pandangan yang dibawa oleh Thomas Bryne dalam karyanya, The Secret. Saya belum pernah baca buku tersebut, tetapi melalui apa yang tertulis dalam buku Al-Quran Rahsia terunggul, berbicara tentang bagaimana tenaga buah-buah fikiran seseorang individu itu yang sebenarnya banyak mempengaruhi kehidupannya. Seperti, jika seseorang itu sentiasa berfikir tentang hal-hal yang baik, maka pengaruh yang baik juga akan datang dalam hidupnya. Begitulah pula sebaliknya.

Bab selebihnya berkisar tentang bagaimana kita sebagai umat Islam harus meyakini setiap ketentuan Tuhan tanpa ada perasaan ragu, dan bagaimana manusia yang walaupun diangkat sebagai khalifah masih lagi sangat kerdil di sisi Yang Maha Esa.

Saya agak tertarik dengan isi penulisannya yang sedaya mungkin mahu menjelaskan penemuan-penemuan sains dan formula matematik melalui tafsiran agama Islam, secara ringan, walaupun ada ketika penulis cuba-cuba bermanja dengan falsafah-falsafah zaman sebelum kelahiran Nabi Muhamad S.A.W, yang kemudiannya akan disandarkan semula kepada keagungan dan kekuasaan Allah yang Maha Besar.

Dapat saya simpulkan bahawa buku ini padat dengan panduan motivasi dan bagaimana mengawal fikiran supaya menjadi insan yang cemerlang mengikut panduan yang telah ditetapkan dalam kitab suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

Ulasan Seorang Tua Di Kaki Gunung

Buku yang saya pilih untuk cabaran 32 Buku anjuran Buku Jalanan Titi pada kali ini berjudul Seorang Tua Di Kaki Gunung, karya penulis mapan, Allahyarham Azizi Haji Abdullah. Buku ini dicadangkan oleh adik saya, dengan alasan bahawa karya ini merupakan sebuah karya yang mengangkat prinsip dan pegangan yang teguh dipegang. Hidup di dalam era di mana identiti kita sudah berbaur dengan pelbagai pengaruh dan gaya, sudah pasti naskhah yang menjunjung tinggi harga sebuah jati diri amat diperlukan.

Sedikit latar belakang tentang buku ini (diambil dari deskripsi di Goodreads), Novel Seorang Tua di Kaki Gunung ini, telah mendapat tempat kedua dalam Sayembara Hadiah Novel GAPENA - Yayasan Sabah II (1981). Kita dibawa untuk mengikuti kehidupan Tukya yang tinggal di kaki Gunung Bongsu. Watak Tukya digambarkan sebagai seorang tua yang keras dalam mempertahankan pendiriannya terhadap corak kehidupan secara tradisi dikelilingi alam semulajadi. Sebagai orang yang hidup berpegang pada adat, Tukya memiliki senarai pantang larang yang diamalkannya dalam segenap aspek kehidupan. Melanggar adat bererti mencalarkan maruah nenek moyang. Dan ada kebanggaan yang terselit pada setiap adat yang dijunjung.

Azizi tidak pernah gagal untuk melukiskan kehijauan alam dalam rangkaian kata-kata penuh seni. Saya pernah membaca novel beliau, Mandala Dunia Terakhir, yang memerihalkan pertentangan antara modenisasi dan tradisi. Juga berbicara tentang hutan dan alam semulajadi. Seperti mana saya merasai sendiri bunyi-bunyian unggas, jeritan mawas, deruan air terjun, kedinginan embun pada Mandala Dunia Terakhir, keasyikan yang sama juga saya nikmati menerusi Seorang Tua Di Kaki Gunung.

Kita akan segera kagum dengan perhubungan erat antara Tukya dan alam semulajadi di sekelilingnya. Alam semulajadi sentiasa menjanjikan sebuah kehidupan bagi mereka yang menghargai keindahannya. Tetapi awas, alam semulajadi juga menghadirkan seribu macam kecekalaan bagi mereka yang cuai. Kita dapat membaca kisah kegigihan Tukya menentang serangan kawanan lebah di hutan sebagai bukti kepada bahaya yang terkandung di sebalik barisan pokok dan gugusan daun.

Keteguhan Tukya dapat dilihat juga pada penolakan beliau terhadapa tawaran anaknya untuk hidup bersama di bandar. Hutan adalah tanah tumpah darahnya. Berpisah dengan hutan seolah berpisah dengan belahan separuh jiwa. Jurang antara generasi adalah antara perosalan yang dibangkitkan dalam naskhah ini. Antara bandar dan hutan. Antara tua dan muda.

Kisah Tukya berakhir dengan kesimpulan yang menginsafkan. Fikri sebagai anak, gagal untuk menyeimbangkan antara kepentingan peribadi dan tanggungjawab terhadap ibu bapa, menatijahkan penyesalan yang menggunung.

Kesimpulannya, mungkin saya boleh katakan Seorang Tua Di Kaki Gunung adalah sebuah naskhah yang melankolik, tetapi menaikkan rasa melawan dalam diri.

Cabaran kedua bagi saya lebih mencabar dari yang pertama. Sesekali buat saya termenung juga, kenapalah saya turut serta dalam cabaran Buku Jalanan Titi ini. Mencabar sungguh permintaan kali ini. Buku yang menjadi pilihan ahli keluarga.

Apa yang bikin sukarnya? Kerana ahli keluarga saya, saya lupa bila kali terakhir saya melihat mereka ada membeli buku, pegang buku dan membacanya. Rata-rata mereka hanya sibuk dengan buku pelajaran. Buku selain dari buku pelajaran, jauh sekali mahu disentuh. 

Adapun hanya seorang adik saya, yang suatu masa dahulu pernahlah membaca barang seketul dua novel dek pengaruh rakan-rakan. Maka dengan itu, buku cabaran saya seterusnya ialah Andai Itu TakdirNya karya Siti Rosmizah.

Waduh! Belum pernah seumur hidup saya baca novel melayu terbitan KarangKraf. Bukan sombong tidak mahu membaca novel cinta melayu, cuma tidak pernah lah mampu menghabiskannya atas sebab,

1) disangka novel melayu semua jalan cerita sudah boleh diagak.
2) ayat yang terlalu meleret.
3) rasa buang masa.

Ya, rasa buang masa. Oleh kerana saya penggemar buku non-fiction, dirasakan baca buku-buku yang sebegini adalah membuang masa. Oh eksyen sungguh saya. Cuba lihat apa yang jadi seterusnya?

Pada mula awal bacaan novel ini, di mukasurat pertama dan bab-bab awal, pergerakan pembacaan adalah sangat perlahan dan membimbangkan. Sungguh kuat rasa mahu tarik diri ini. Terasa malas betul mahu baca. Rasa mau tukar buku dan main tipu pun ada. Nasib baiklah saya ni jujur juga mulia hati orangnya. Maka saya gagahkanlah jua membacanya.

Nama watak yang terlalu panjang dan sedap (seperti kebanyakkkan nama watak dalam novel cinta melayu), background watak juga cliche, Syed Aizril anak orang kaya serta heroinnya seorang gadis miskin bla bla bla.. Oh ini cliche, saya sedang menyiksa jiwa membaca apa yang sudah boleh saya agak.

Tapi masuk saja part Aleya minta kerja di syarikat Syed Aizril, permainan cerita makin menarik. Lebih-lebih lagi bila part Aleya dengan Zril kena framed dengan Faizal, terus saya tak boleh lepas buku. Serius. 

Syed Aizril dengan perangai kadang tak munasabah dia tu aiii geramnya saya. Dah dapat bini elok macam Aleya tu pun sibuk nak korbankan rumah tangga sebab ego dia, ape tak reti nak slow talk dulu ke? Dah la membabi buta je buat keputusan. Ishk geram saya geram! 

Ok. Sabar. 

Bagi saya penulis pandai bermain emosi pembaca. Contoh karakter gedik Lin, sepupunya si Syed Aizril yang sangatlah terhegeh-hegeh dengan dia. Geram betul saya, setiap kali nampak nama dia rasa nak skip page. Sampai begitu sekali benci saya kepada dia. Tapi itulah, tak boleh skip.. Kena baca semua.

Part sedih anak itu pun saya sampai menitik air mata. Waktu-waktu klimaks, waktu Aleya dah kecewa habis dengan Zril, saya menangis tersedu-sedu. Wah bukan main lagi saya feeling baca novel ni. Hahahaha. Part pujuk memujuk tu pun haih laa...

Apa lagi saya perlu kupas ya? Rasanya sampai sini sajalah. Bimbang terberi spoiler.

Akhirul kalam, buku ni saya baca 2 hari saja. Sangat menakjubkanlah kiranya untuk sebuah buku yang saya sangka saya takkan mampu baca itu habis dengan kadar yang cepat dan tak disangka-sangka. Jadi, janganlah takut untuk keluar dari zon selesa kita. Cuba baca apa yang family kita baca ni seronok juga bila boleh sembang balik buku ni sama-sama. Emo kemain masing-masing.

Sekian. Wassalam..