Saya sebenarnya seperti sudah menjangka buku apa yang akan dicadangkan oleh ibu saya, Ku Meriam binti Ku Hussain apabila ditanyakan jenis buku kegemarannya buat cabaran kedua Buku Jalanan Titi. Agama. Subjek bacaan yang secara peribadinya sudah jarang saya baca dan telaah. Ibu saya mencadangkan Al-Quran Rahsia Terunggul, oleh Ali Ahmad Maleya yang diterbitkan oleh Kharisma Network Sdn. Bhd.
Buku ini bermula dengan penafian daripada penulis sendiri bahawa beliau bukanlah seorang yang arif dalam agama (ketika itu), tetapi sebagai seorang murid yang selalu ingin belajar. Malah, sepanjang pembacaan, saya rasakan buku ini serta tema-tema penjelasannya lebih menjurus kepada bahan motivasi yang disandarkan kepada tafsiran ayat-ayat suci Al-Quran secara umum dan ringkas, dan bukannya dakwah-dakwah keagamaan yang saya jangka pada awalnya.
Bab awal, membincangkan perihal Law of Attraction melalui pandangan yang dibawa oleh Thomas Bryne dalam karyanya, The Secret. Saya belum pernah baca buku tersebut, tetapi melalui apa yang tertulis dalam buku Al-Quran Rahsia terunggul, berbicara tentang bagaimana tenaga buah-buah fikiran seseorang individu itu yang sebenarnya banyak mempengaruhi kehidupannya. Seperti, jika seseorang itu sentiasa berfikir tentang hal-hal yang baik, maka pengaruh yang baik juga akan datang dalam hidupnya. Begitulah pula sebaliknya.
Bab selebihnya berkisar tentang bagaimana kita sebagai umat Islam harus meyakini setiap ketentuan Tuhan tanpa ada perasaan ragu, dan bagaimana manusia yang walaupun diangkat sebagai khalifah masih lagi sangat kerdil di sisi Yang Maha Esa.
Saya agak tertarik dengan isi penulisannya yang sedaya mungkin mahu menjelaskan penemuan-penemuan sains dan formula matematik melalui tafsiran agama Islam, secara ringan, walaupun ada ketika penulis cuba-cuba bermanja dengan falsafah-falsafah zaman sebelum kelahiran Nabi Muhamad S.A.W, yang kemudiannya akan disandarkan semula kepada keagungan dan kekuasaan Allah yang Maha Besar.
Dapat saya simpulkan bahawa buku ini padat dengan panduan motivasi dan bagaimana mengawal fikiran supaya menjadi insan yang cemerlang mengikut panduan yang telah ditetapkan dalam kitab suci Al-Quran dan Sunnah Rasulullah.
No comments:
Post a Comment