Genre buku ini dicadangkan oleh ibu saya, Puan Fatimah Abd Rahman. Ibu saya yang ditanya ketika memasak, menjawab dia sukakan buku motivasi. Jadi saya terus meluru ke perpustakaan mini rumah kami dan pilih buku secara rawak dari seksyen ‘Motivasi’. Kebetulan, buku yang saya pilih ditulis oleh penulis kegemaran Ibu saya dari buku terkenal ‘La Tahzan’ (Don’t Be Sad).
Semasa membaca buku ini, saya mengalami perkembangan plot yang mendadak dalam hidup saya. Jadi lebih adil jika saya rekodkan reviu saya kepada dua bahagian:-
Reviu Yang Ditulis Sebelum Ditimpa Musibah
Kesilapan terbesar buku-buku motivasi adalah meletakkan sasaran yang terlalu tinggi untuk dicapai oleh kita, manusia-manusia yang secara umumnya sederhana. Ia menghasilkan jurang yang terlalu tinggi dalam milestone perubahan seseorang.
Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni memulakan buku ini dengan memberi gambaran tentang wanita-wanita mulia dalam sejarah Islam. Kerana latar masa dan masyarakat yang terlalu jauh daripada wanita-wanita zaman sekarang, wanita-wanita mulia ini boleh terlihat hanya sebagai satu ‘idea’ atau ‘gagasan’.
Dr. ‘Aidh menyusun tajuk-tajuk dalam buku ini dengan gelaran yang indah untuk wanita seperti permata, dll, tetapi sususannya nampak terlalu rawak, tidak bergabung atau meningkat. Jadi ketika membaca buku ini, saya seperti terlimpahkan dengan terlalu banyak saranan dengan sedikit ruang praktikaliti.
Audiens untuk buku ini juga terhad kepada perempuan Islam dan kadang kala gaya bahasanya mengandaikan semua perempuan Islam yang membaca buku ini sudah ‘faham’ semua aspek agama. Ia seolah-olah bercakap pada audiens yang agak spesifik.
Reviu Yang Ditulis Selepas Ditimpa Musibah
Buku ini memujuk-mujuk hati saya yang rawan dan beberapa tajuk berjaya buat saya menangis. Kerana kini kadar kerelevanan buku ini kepada saya sangat tinggi. Jelaslah bahawa pembaca buku ini perlu tujuan yang jelas sebelum membacanya. Dan semua tujuan-tujuan ini takkan semuanya berjaya dicapai. Saya sangat bertuah kerana sedang membaca buku ini ketika hati saya perlu dipujuk, ketika saya ingin membaiki hubungan saya dengan Tuhan. Buku ini sangat sesuai dengan saya, dengan prior-knowledge saya, dan keadaan saya. Terima kasih Dr. ‘Aidh.
No comments:
Post a Comment