Tugasan pertama untuk Cabaran Membaca Buku Jalanan Titi 2017 memerlukan saya membaca buku kegemaran seorang rakan baik, Adib Nasaruddin. Buku yang dicadangkan adalah Hungry in Ipoh terbitan Fixi di bawah label Novo (2015). Adib berasal daripada Ipoh dan katanya dia ‘approved’ buku ini sebagai buku pengenalan Ipoh buat sesiapa yang tak pernah ke sana. Ini kira pengubat ‘homesick’ dia jugalah.
Mari kita bertafakur seketika bagi menghargai kecantikan kulit buku Hungry in Ipoh (sila Google search untuk lihat gambar buku). Lukisan Gan Chin Lee bertajuk ‘I’m in Mamak Stall’ (2008) telah digunakan sebagai penghias kulit buku. Saya mudah tertarik dengan kulit buku cantik. Lukisan tersebut adalah pilihan yang paling sesuai kerana ia mengambarkan suasana Ipoh yang terkenal sebagai bandaraya negeri Perak yang mempunyai banyak tempat makan/kafe menarik.
Okay, terus ke isi kandungan. Buku ini mengandungi 15 buah cerita pendek 15 orang penulis dan disunting oleh Hadi M. Nor. Berikut adalah ringkasan/pandangan saya untuk setiap satu cerpen berdasarkan pengalaman sekali baca:
1. Terence Toh/ No Kick
Ah Pa dan Ah Ma memilih anak lelaki mereka, Jin untuk mengambil alih urusan perniagaan keluarga iaitu kedai makan Yoong Jin Hor Fun sementara bercuti ke luar negara. Bahan “secret family recipe” yang digunakan untuk kasi rasa ummph! atau ‘kick’ kepada Hor Fun mereka mungkin akan buat anda mual dan elak sebarang jenis ‘noodle dishes’ untuk seketika. Kebetulan semasa membaca saya sedang sakit perut. Kacau perasaan betul! Cerpen pembuka yang berjaya tarik mood membaca.
2. Cassandra Khaw/ Ipoh Girls™
Ini merupakan cerita paling pendek dalam Hungry in Ipoh (9 muka surat sahaja). Saya tidak dapat memahami jalan cerita kerana ia disampaikan melalui perspektif ‘you’ (sudut pandang orang kedua). Sukar untuk cantumkan butir-butir penerangan bersama sehingga habis. Mood membaca ‘turn off’ di sini atas sebab kegagalan memahami. Perlu baca semula.
3. Ted Mahsun/ Mastura’s Air Lengkong Adventure
Cerpen ini pasal Ariff ‘mengenang kembali’ memori Air Lengkong bersama Mastura dan si penjaja Air Lengkong. Saya agak terganggu dengan babak menghempas batang paip yang berlaku agak kerap sehingga sendiri pening kepala. Tapi kesan pening tu rupanya ‘make sense’ bila dikaitkan dengan apa yang dirasai oleh watak Ariff menuju akhir cerita. Seakan pengalaman 3D gitu. Naik rasa suspen dan gayat juga ketika membaca. Rupa-rupanyanya Air Tebu juga dipanggil Air Lengkong, ya?. Tak pernah dengar langsung sebelum ini.
4. Atikah Abdul Wahid/ Beloved
Awal-awal dah bikin terliur dan perut berbunyi gara-gara Pavlova. Comel dan manis cerpen ni. Pasal seorang pewaris kafe ‘Mama Cakes’ suka salah seorang pelanggan tetap. Suka cara penulis kaitkan emosi dengan makanan. Mungkin penulis seorang yang minat makanan dan baking.
5. Marc de Faoite/ Joget Girl
Kisah seorang pemain piano bernama Johnny Chong yang cuba mendekati salah seorang ‘Joget Girl’ bernama Ruby. Mereka bekerja di kelab yang sama. Rakan-rakan Johnny yang menyedari pandangan semacam si Johnny terhadap Ruby, mencadangkan supaya Johnny ‘get up close and personal’. Akhirnya, memang ada suatu ‘perkara peribadi’ antara mereka berdua.
6. William Tham Wai Liang/ Night in a Garden in Ipoh
Kisah seorang ‘ghostwriter’ membantu Hector Chia, anak seorang ahli perniagaan terkenal untuk menulis buku kisah hidup keluarganya. Ada dua situasi dalam cerpen ini. Pertama, antara ghostwriter dengan Hector dan kedua, ghostwriter dengan individu bernama Arif. Setting berjaya naik mood Ipoh. Ada unsur historical sikit. Plot twist towards the ending is jaw dropping.
7. Eileen Lian/ The Art of Food Plating
Kisah Cecelia, wanita Singapura yang cuba menyesuaikan diri di Ipoh. Cecelia ni contoh ‘Typical Asian Mom’. Dia juga taksub dengan Facebook sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada anak tunggalnya, Rachel dan suaminya, Philip. Rasa tekanan darah naik sampai nak sesak nafas bila baca cara Cecelia layan anaknya. Ada elemen ‘flashback’ pengalaman lampau Cecelia yang memberi gambaran punca sikap tegas/peliknya itu.
8. Wong Hon Kit/ The Ipoh Food Court
Watak Ah Boy dihantui oleh kematian ibunya yang ‘perfectionist’. Beberapa hidangan dan tempat mencetuskan trauma kepada Ah Boy. Rasa simpati dengan Ah Boy.
9. Tina Isaacs/ The Ultimate Indulgence
Kisah ‘Raja Bersiong’ ada hati terhadap seorang gadis bernama, Amelia. Seram cara dia stalking gadis bernama Amelia dari jauh dan ikut senyap-senyap. Suka gaya penulisan cuma jalan cerita predictable mulai pertengahan hingga akhir.
10. Leroy Luar/ More Than Enough
Seorang isteri dan ibu yang menghadapi kematian suami yang disayangi. Terusik betul semasa momen antara ibu dan anak perempuan imbas kembali kenangan lama. Perasaan rindu watak si isteri dan kesunyiannya rasa sangat real.
11. Julya Oui/ An Epi-curious Affair
Kisah sebuah keluarga yang teruja buat persediaan menyambut kepulangan anak lelaki dan pasangannya dari Amerika Syarikat. Suasana huru-hara boleh dirasai melalui perbualan mereka. Kelakar sangat. Iri hati dengan perwatakan si ibu terhadap bakal menantunya dan sikap toleransi menangani perubahan anak sulungnya.
12. Angeline Woon/ Mother’s Manifesto
Pasangan ibu bapa muda (anak satu) yang pulang ke ‘kampung’ ibu si isteri. Cerpen ini keseluruhannya berlaku sekitar sebuah rumah agam di Ipoh. Si isteri tak ngam dengan ibu kandungnya sendiri dan dalam senyap dia juga tidak suka akan anak kecilnya. Macam ada unsur psikologi sikit.
13. Benjamin Tham/ Finding the Way Home
Babak awal bermula dengan pertengkaran antara si ayah dan anak perempuan. Sewaktu keluar malam meredakan kemarahan, si ayah yang bekerja memandu teksi menerima ‘penumpang’ yang meminta tolong membawa ke suatu tempat yang penumpang tu sendiri tak ingat. Perjalanan ke destinasi yang tak pasti itu penuh misteri dan memberi kesedaran.
14. Ivy Ngeow/ Funny Mountain
Kisah kepulangan seorang anak lelaki bernama Yew Tee ke Ipoh selepas beberapa tahun lama di luar negara. Sebab utama kepulangannya adalah kerana ibu tirinya tidak sihat. Sepanjang berada di Ipoh, banyak imbasan memori lama zaman kanak-kanak sewaktu ibu kandungnya masih hidup dan ibu tirinya masih sihat. Cerpen ini ‘very Ipoh one’.
15. Tilon Sagulu/ Pau Babi
Cerpen terakhir ini mengisahkan tentang seorang wanita muallaf yang mengidam ‘char siu bao’. Maha dahsyat juga mengidamnya. *Geleng kepala sambil rasa nak tampar watak wanita tu*
Cabaran yang saya lalui semasa membaca adalah kesukaran menghadapi peralihan gaya penulisan daripada seorang penulis kepada penulis yang lain. Mood naik turun sebab ada gaya penulisan yang meh!-to-skip-or-not-to-skip? dan ada yang wow!-awat-ringkas-sangat-nak-lagilah begitu! Buku yang simple tapi liat semacam nak teruskan bacaan. Selain itu ada perbendaharaan kata asing yang terhadkan pemahaman beberapa buah cerpen. Makan masa juga merujuk kamus.
Cerpen-cerpen terkandung dipilih dengan baik kerana kebanyakkan ada elemen yang menghidupkan ‘feel’ Ipoh buat mereka yang biasa ke sana. Feel melalui tempat-tempat dinyatakan atau makanan. Buku ini sesuai sebagai pemberian (selain peta/risalah pelancongan) untuk mereka yang mahu pengenalan ringkas suasana bandar Ipoh (walaupun tak detail dan sempurna).
Sekali lagi saya ingin ingatkan bahawa apa yang saya tulis ni adalah berdasarkan bacaan pertama. Kemungkinan ada terlepas pandang dan kurang jelas akan beberapa bahagian.
No comments:
Post a Comment