Tarikh bacaan : 6 Januari 2017 hingga 16 Januari 2017
Kawan saya, Mohd Firdaus bin Rosli berasal dari Gombak yang dikenali lewat Twitter dan kelab buku menyarankan saya agar membaca buku dari penulis Jepun, Haruki Murakami yang paling digemarinya, Colourless Tsukuru Tazaki and His Year of Primilage. Beliau sangat suka dengan buku-buku orang tua itu. Tetapi dalam banyak-banyak buku orang tua itu, dia paling menggemari buku yang ketigabelas dihasilkan oleh penulis tersebut. Dengan jumlah tiga kali ulang baca dan mungkin bakal diulang baca lagi dan lagi dari kedua-dua terjemahan Melayu dan Inggeris, maka wajarlah saya mencuba buku tersebut untuk saya kaji juga apa yang sedap sangatnya buku itu sampai obses sebegitu sekali.
Saya tidaklah meletakkan diri saya sebagai pembaca atau penggemar tegar buku Pakcik Murakami. Baru baca pun lima dari bukunya sebelum ini, yang berjudul Sputnik Sweetheart, Norwegian Wood, Dance Dance Dance dan The Strange Library. Di antara ketiga-tiganya bagi saya yang paling mengesankan, membingungkan lagi menggeramkan adalah buku pertama yang saya baca iaitu Sputnik Sweetheart, diterbitkan pada tahun 1999.
Membaca karya Murakami ini bukan seperti membaca novel-novel biasa. Sepertinya kita tidak perlu kisah akan plot atau jalan cerita apa yang hendak disampaikan dan kemana hala tuju cerita (yang selalunya seperti tiada pengakhiran), tetapi kita perlu lebih memfokuskan dengan apa yang ingin disampaikan lewat cerita tersebut melalui sub-plot, karakter dan misteri-misteri yang ada dalam tulisan itu. Setiap apa yang diceritakan Murakami didalam novel Tsukuru ini, contohnya mungkin Haida, music yang didengar- terutamanya Le Mal du Pays, jari keenam, token kematian, seperti ada clue yang sengaja ditinggalkan penulis tetapi dalam keadaan yang tidak jelas dan membutuhkan kebijaksanaan pembaca sendiri untuk merungkai semua misteri dan persoalan yang terdapat di dalam ceritanya.
Setelah ditanya kepada kawan saya, Mohd Firdaus itu, apa yang bestnya cerita Tsukuru ni? Apa yang buat buku ni berbeza dari buku Murakami yang lain? Dia menjawab, “Apa susah sangat soalan ni?” Kemudian saya meminta dia menjawab semudah yang boleh.
“I macam memang dah suka je dengan buku tu. Susah nak digambarkan dengan kata-kata.”
Ya, begitulah hebatnya pemainan pena dan rangkai cerita Murakami sampai tak tergambar dengan kata-kata oleh peminat buku-bukunya. Tidak mengapa, saya akan cuba ceritakan sedikit tentang buku ini bagi pihak kawan saya.
Buku ini mengenai seorang lelaki yang bernama Tsukuru Tazaki yang diperkenalkan sebagai seorang yang ‘colorless’ kerana namanya tiada bermaksud atau berkaitan dengan warna, sedangkan kawan-kawannya yang lain (lima sekawan) semuanya ada warna mereka sendiri pada nama. Dia sendiri beranggapan bahawa hidupnya juga pucat, suram dan tidak berwarna seperti rakan-rakannya yang lain dek kerana rakan-rakannya itu masing-masing mempunyai bakat yang tersendiri seperti Aka yang membawa warna merah adalah seorang yang bijak dalam pelajaran, Ao- biru seorang atlet sekolah, Shiro-putih pemain piano yang sangat mempesonakan dan akhir sekali Kuro-hitam, juga mempunyai bakatnya yang tersendiri dalam seni dan sukan.
Cerita bermula apabila Tsukuru di ‘buang’ oleh rakan-rakannya atas satu kesalahan yang dia sendiri tidak tahu. Tanpa bertanya akan kesalahannya Tsukuru pasrah menarik diri dan cuba meneruskan hidup yang nyata teramatlah susah kerana dia tidak mempunyai sahabat yang lain. Sahabat yang empat itu adalah dunia dan seperti segala-galanya bagi dia. Dalam waktu-waktu dan saat paling lemah dalam hidup, dibelenggu pula dengan fikiran untuk membunuh diri, hadir seorang teman yang bernama Haida (bewarna kelabu) memberi satu suntikan sebab untuk meneruskan hidup. Tetapi hanya untuk sementara…
Ahh rasanya kalau saya ceritakan semua bimbang jadi ‘spoiler’ pula. Apakata kalian baca sendiri, saya jamin tak mengecewakan. Buku yang mungkin perjalanan ceritanya nampak mendatar ini sebenarnya tersangatlah mengganggu. Maksud saya, dalam cerita yang nampak selamba ini sebenarnya ada petunjuk-petunjuk untuk kau orang fikir sendiri dihujung ceritanya. Murakami tak suap ending kepada pembaca, kena fikir sendiri.
Dan untuk buku ini, saya suka dan saya beri 4/5 bintang!
No comments:
Post a Comment