.

.

Tuesday, 21 February 2017

Review Cabaran Pertama Ajarkan Wanitamu surah An-Nur oleh Shafiqah Athirah


Pertama kali mendapatkan tugas bagi buku yang dicadangkan oleh rakan karib, saya sama sekali tidak menyangka bahawa rakan saya, Nur Liyana bt Zainol akan mencadangkan buku Ajarkan Wanitamu Surah an-Nur bahagian satu oleh Nafisah Tahir dan Kamal Ashaari. Kulit buku ini berwarna merah jambu dan mempunyai 267 muka surat serta diterbitkan oleh Aisyah Humaira’ Publication. Penulisnya merupakan pasangan suami isteri yang berpengalaman luas sebagai pendidik dan pengajar ilmu agama. Berbeza dengan genre yang biasa saya gemari, buku ini lebih bersifat serius dan berilmiah. Dan secara jujur, mungkin disebabkan itu saya menghadapi sedikit kesukaran menghabiskan bacaan.

Buku ini asalnya terbahagi kepada dua siri, tetapi Liyana mencadangkan saya membaca siri pertama yang mengulas mengenai 34 ayat pertama surah an-Nur. 34 ayat ini merangkumi beberapa aspek seperti penjelasan mengenai pensyariatan hukum-hakam yang berkaitan dengan jenayah untuk umat Islam, pergaulan dan adab-adab sosial mengenai cara pergaulan masyarakat seperti perintah pemakaian tudung dan penjagaan kehormatan. Tidak ketinggalan, galakan bernikah bagi golongan pemuda turut disertakan.

Walaubagaimanapun, sebelum menerangkan tentang tafsir ayat dalam surah, penulis terlebih dahulu mengenalkan kita kepada surah an-Nur. Permulaan buku ini terdiri daripada maksud, tujuan dan objektif penurunan surah An-Nur, hubungan surah An-Nur dan surah sebelumnya serta huraian topik dan tema dalam Surah An-Nur. An-Nur bermaksud cahaya dan sebab dinamakan An-Nur diterangkan dengan jelas dalam buku ini. Membacanya seperti membaca kembali buku teks pendidikan Islam sekolah menengah, atau Tafsir al-Azhar oleh Hamka, tapi dengan penjelasan yang lebih mendalam dan khusus mengenai surah an-Nur sahaja. Buku ini turut menyertakan rujukan daripada kitab dan tulisan yang muktabar.

Selanjutnya, penulis menerangkan mengenai ayat satu hingga 26 yang mengulas tentang pensyariatan hukum-hakam yang berkaitan dengan jenayah akhlak dalam masyarakat. Kebetulan sewaktu heboh sekarang mengenai himpunan RUU 355, penulis ada menyebut bahawa pendekatan hukum hudud adalah salah satu sebagai kaedah sadd al-zaraie (menutup pintu) dalam memerangi jenayah syariah dari terus berleluasa dan bukan semata-mata bertujuan menyeksa pelaku jenayah seperti yang difahami oleh kebanyakan masyarakat muslim dan bukan muslim pada hari ini. Tafsiran ayat pula dilakukan secara pecahan di dalam buku ini, seperti ayat pertama tentang hukum hudud, sumpah qazaf, li’an dan pengampunan. Terdapat juga kisah mengenai tuduhan terhadap Saidatina Aisyah dan penyucian yang dilakukan Allah kepadanya. Penerangan terperinci dan mudah difahami juga dilakukan dalam hukum melibatkan zina, bagaimana hukuman hadd disabitkan, bentuk hukuman pada zaman Rasulullah, pihak yang terlibat dan persoalan berkaitan. Rasanya seperti berada dalam mahkamah syariah pula apabila membaca bab ini, terutamanya apabila ada contoh kes keruntuhan rumah tangga dan masalah sosial dinyatakan.

Bab yang paling saya gemari ialah pendidikan akhlak dan sosial yang mengulas tentang adab-adab pergaulan sebagai kaedah pencegahan yang membentengi masyarakat dari jenayah akhlak. Bermula ayat 27-29, surah an-Nur menerangkan tentang adab meminta izin, tidak masuk rumah jika tiada jawapan dan hendaklah beredar jika disuruh pulang. Malah adab meminta izin di tempat umum yang dianjurkan turut diterangkan. Betapa halus dan mendalam ayat Al-Quran sehingga sekecil perkara yang sering dilupakan seperti itu turut diterangkan. Menariknya, dalam ayat 27, Islam melarang memasuki rumah orang lain tanpa meminta izin terlebih dahulu. Pengunjung dianjurkan untuk meminta izin dengan isti’nas terlebih dahulu, iaitu pengunjung hendaklah merasakan dan mengetahui terlebih dahulu bahawa tuan rumah sedang senang dan bersedia menerima tetamu. Ini adalah kerana dahulunya dalam masyarakat arab jahiliyah, mereka akan terus memasuki rumah tuan rumah dan berkata ‘Aku sudah masuk’ dan mungkin akan memalukan tuan rumah kerana mereka belum bersedia atau bersama keluarga. Saya pun baru mengetahui tentang itu, selama ini kalau menyebut surah An-Nur hanya terbayangkan mengenai perintah menundukkan pandangan dan aurat.

Kemudian, Ayat 30-31 pula menerangkan mengenai adab-adab pergaulan antara lelaki dan perempuan. Pada permulaan ayat ke-30, adab pergaulan lelaki dan perempuan dimulakan dengan perintah kepada lelaki mukmin untuk menundukkan pandangan (ghaddul basar) dan menjaga kehormatan diri. Maksud ghaddul basar bukanlah menudukkan pandangan sehingga tidak nampak apa-apa tetapi menjaga pandangan agar tidak meliar sehingga ternampak apa yang diharamkan Allah SWT. Persoalan utama yang terlintas di fikiran adalah mengapa ghaddul basar diutamakan daripada menjaga kehormatan dan kemaluan? Ini adalah kerana pandangan yang haram adalah punca awal terjadinya jenayah akhlak terutamanya jenayah zina. Secara tidak langsung saya terus teringatkan betapa meluasnya pornografi sekarang dan merebaknya jenayah berkaitan di media massa. Sebagai seorang guru di sekolah yang majoritinya pelajar lelaki termasuk ada yang pernah mengalami kisah silam didera secara seksual, saya berpendapat alangkah baiknya jika semua lapisan masyarakat didedahkan dengan pengajaran daripada surah an-Nur ini.

Ibnu al-Qayyim Rahimullah pernah berkata : “Pandangan mata adalah asal seluruh bencana yang menimpa manusia. Bermula dari pandangan akan lahirlah keinginan, dan keinginan akan melahirkan pemikiran. Dari pemikiran akan lahirlah syahwat (hawa nafsu) yang pada akhirnya syahwat itu akan mendorong menjadi keinginan yang sangat kuat hingga  terjadi apa yang ia inginkan”

Huraian setiap ayat sangat spesifik dan menyentuh semua aspek berkaitan. Selain itu, saya juga terkesan dengan peringatan bahawa perintah Allah kepada para mukmin agar melaksanakan langkah-langkah pencegahan ini adalah kerana Allah SWT mengetahui struktur jiwa manusia dan kejadian semula jadinya. Perintah hijab (ayat 31) pula adalah bertujuan untuk melindungi aurat wanita dan sebagai lambang kemuliaan wanita. Terdapat banyak lagi penjelasan tentang aurat yang langsung saya tidak pernah terfikir sebelum ini, mengingatkan bahawa betapa saya tidak bersedia dengan jawapan yang proper jika ada yang bertanya tentang aurat. Maksudnya, biasanya jawapan apabila melihat orang yang tidak menutup aurat, yang diketahui hanyalah tak tutup aurat berdosa, masuk neraka. Tetapi sebenarnya terlalu banyak hikmah dan penerangan mengenai aurat, mengapa suruhan itu berlaku dan bukanlah secara terus menghukum tanpa fakta atau bersikap judgemental. Terdapat banyak khilaf ulama’ juga diterangkan, termasuk dalam hukum memakai purdah dan haruman bagi wanita. Paling menarik, turut disertakan info grafik yang memudahkan pemahaman dan panduan bagi isi buku ini.

Pencerahan mengenai perkahwinan dan tanggungjawab itu sendiri ada diulas di mana galakan bernikah perlu difahami bukan sahaja pasangan itu sendiri tetapi semua pihak berwajib dalam komuniti masyarakat. Buku ini berakhir di tafsir ayat ke-34 yang mengangkat tema syariat diturunkan untuk kebahagiaan insan. Penerangan selanjutnya bagi ayat surah an-Nur yang lain dilakukan dalam buku kedua Tafsir surah an-Nur.

Bagi saya, buku ini sangat bagus untuk dibaca semua golongan kerana isi kandungannya sangatlah bermanfaat dan merupakan panduan bagi umat Islam, dan bukan Islam dalam memhami hukum Islam, adab-adab bermasyarakat dan berinteraksi, masalah sosial secara umum serta penyelesaiannya. Benarlah, mencegah lebih baik dari mengubati dalam kes hari ini di mana terlalu banyak masalah sosial yang berlaku. Buku ini, sangat dekat dengan masyarakat sebenarnya. Walau bagaimanapun, pada pendapat saya buku ini sedikit berat bahasa dan kandungannya, dan bersifat ilmiah, jauh daripada genre santai yang biasa dibaca. Secara keseluruhan, saya amat berterima kasih kepada sahabat saya kerana mencadangkan buku yang memberikan banyak input berguna ini dan jika ada peluang, ingin menghabiskan bahagian kedua pula!

No comments: