.

.

Monday, 20 February 2017

Review Cabaran Pertama Langit Vanila oleh Nik Fariz


Buku kegemaran kawan baik anda menjadi cabaran pertama untuk Cabaran Buku Jalanan Titi 2017. Pada mulanya agak sukar untuk mendapatkan kawan yang mempunyai minat membaca dan mempunyai buku kegemaran. Sejujurnya dalam lingkungan persahabatan saya, topik bacaan dan membaca jarang diketengahkan. Namun saya berjaya mendapatkan buku kegemaran dari salah seorang sahabat baik yang telah berkawan selama sepuluh tahun. Setelah memberi ruang dan waktu untuk memutuskan buku kegemaran beliau, beliau mencadangkan sebuah buku puisi kepada saya.

LANGIT VANILLA karya Wani Ardy adalah buku yang disyorkan. Buku terbitan Sang Freud Press yang berhalaman 173 muka surat ini adalah buku himpunan puisi, prosa dan catatan peribadi penulis sendiri. Sebelum memulakan sesi pembacaan , saya ada bertanyakan kepada sahabat aku apa istimewanya buku ini terhadap beliau. Katanya:

“Kadang kadang seperti melihat pantulan cermin tetapi versi virtual tatkala membaca satu persatu mukasurat 'langitvanila' hampir kesemuanya seperti hidup dan nyata. Seakan kamu punya teman fantasi yang sedang bercerita mengenai dirinya yang mungkin ada kandungan celotehnya tentang diri kamu juga. Ada yang meninggalkan tanda tanya untuk diri sendiri . Keseluruhannya sangat molek dan wajar diberi peluang untuk baca setiap isi kandungan.”

Tergamam sebentar selapas membaca review ringkas yang diberi itu. Sejujurnya, buku puisi bukanlah genre forte’ untuk saya. Jadi saya tidak mampu dan yakin untuk meletakkan harapan yang tinggi akan buku ini.  Seingat saya selain dari buku antologi puisi di zaman persekolahan, hanya ada dua buah buku puisi yang pernah dibaca iaitu Seksi Ovari oleh Fazleena Hishamuddin dan himpunan puisi, Pelacur Kata.

Buku Langit Vanilla ini secara dasarnya adalah himpunan pengalaman dan perjuangan hidup penulis ini sendiri yang ditonjolkan melalui puisi,prosa dan catatan-catatan peribadi.  Puisi dan prosa yang terdapat dalam buku ini juga merupakan catatan hati  ikhlas yang  disulam oleh penulis. Tema utama yang boleh didapati dalam buku ini adalah mengenai perjalanan dan ranjau hidup seorang wanita dalam hubungan waima hubungan dengan diri sendiri ataupun hubungan dengan orang lain dan juga hubungan dengan Tuhan.

Pada awal pembacaan, saya tertanya-tanya akan diri sendiri, apa yang saya akan dapat dari buku ini setelah selesai membacanya.Saya sangsi dan ragu. Buku puisi bukanlah kunyahan harian saya. Namun kesangsian dan keraguan saya terjawab sebaik tamat bacaan. Apa yang saya dapat petik dan kutip pada setiap helaian halaman buku ini tidak lain tidak bukan hanyalah sebuah KEIKHLASAN yang diaksarakan. Setiap bait kata puisi,prosa dan catatan yang dikongsi membawa beribu erti kepada penulis. Sebagai pembaca, jelas perkongsian ini melekat di hati walaupun dibaca hanya sekali.
Selain itu, buku ini turut mengajar bahawa perasaan itu haruslah dikongsi walaupun sekadar melalui puisi. Peperangan dan konflik perasaan telah dicatat oleh penulis sendiri. Yang menarik hati lagi, segala koleksi kata dalam buku ini memukul sama rata semua pihak. Tanpa mengira jantina ataupun gender terutamanya.

Secara keseluruhannya, Langit Vanilla adalah sebuah rakaman hati yang penuh dengan seni. Wani Ardy telah menulis dengan jiwanya sendiri. Sebuah buku puisi yang sangat menarik dan pasti akan diulangi lagi. Tidak banyak yang dapat dikongsi kerna puisi ini haruslah dirasai sendiri.

Terima kasih.

No comments: