After Dark, nukilan Murakami bukanlah karya pertama beliau yang saya baca. Sejujurnya, saya lebih selesa bersantai membaca sesebuah buku berbanding menekuninya secara serius, walaupun kadang-kadang ia tetap berlaku secara sendiri. Berbeza sedikit kali ini kerana ia merupakan sebuah novel yang dicadangkn oleh seorang sahabat baik saya, Amira Atiqah. saya fikir, review ini akan ada sedikit percanggahan pendapat yang berat sebelah, maklumlah bukan peminat Murakami. Malah mungkin, sedikit 'membencinya'.
Novel sepanjang 213 muka surat ini, berkisarkan tentang kehidupan Mari, seorang gadis yang selesa hidup tanpa teman yang bakal melanjutkan pelajaran ke China tidak lama lagi. Menariknya kisah ini, segala kejadian di dalamnya berlaku dalam tempoh satu malam. Ditambah pula pembayang jarum jam yang diletakkan dalam hampir setiap permulaan bab.
Mari bertemu dengan seorang pemain trombon muda yang mengenalinya. Mereka pernah bertemu sebelum ini dalam sebuah temu janji yang turut dihadiri kakak Mari, Eri suatu ketika dahulu.
Lenggok bahasa yang tersusun, terang dan jelas memudahkan pemahaman walaupun saya rasa isi ceritanya berkecamuk dan kurang berperasaan. Seolah-olah Murakami mahu menyampaikan makna lain di sebalik tulisannya.
Setiap karekter di dalamnya mempunyai kisah tersendiri, Mari yang dilanda kemurungan selaku adik kepada seorang kakak yang sempurna dan dipuja-puja. Takahashi, pemain trombon yang tidak bercita-cita besar, juga pernah menaruh hati kepada Eri. Kaoru, pengurus hotel bajet yang mempunyai hubungan dengan kongsi gelap di Tokyo. Pelacur dari China yang langsung tidak memahami bahasa Jepun, berserta seorang lelaki teknikal beryoga yang memukul pelacur tempahannya kerana tidak mampu bersama malam itu.
Golongan manusia yang wujud, hidup meneruskan kehidupan biasa dan berubah raksasa saat malam menjelang. Mungkin itu yang Murakami cuba sampaikan melalui tajuk "After Dark", serta perkara-perkara suram yang mengiringinya.
Pada awalnya, saya sedikit keliru dengan watak pemerhati yang tidak pernah dijelaskan bagaimana adanya. Sekejap dia wujud dalam tubuh manusia -bertopeng, sekejap lagi sebagai 'penglihatan' universal sahaja. Kemudian melihat pula di sebalik skrin televisyen yang menyala, malah dari luar angkasa.
Dia mengaku dirinya individu, tapi sebagai sebuah kolektif. Kerjanya memerhatikan sahaja tidur Eri, dan sesekali memanipulasi mimpinya. Pemerhati tersebut seperti turut sedar akan kehadiran pembaca, melalui perbuatannya cuba mengajak kita bersama-sama membayangkan apa yang dilihatnya. Malah mempermainkan minda kita supaya bersamanya menghakimi tidur Eri.
Perbualan antara karekter juga banyak merujuk kepada perkara lepas yang tidak dijelaskan dalam penceritaan suatu malam terbabit. Cuba memberi petunjuk ada perkara yang lebih besar dan di luar isi cerita. Tentang perkara-perkara yang tidak disebut.
Saya fikir novel ini mahu kita mendalami dan melihat bagaimana seseorang individu itu walau bagaimana terasingnya dia, masih merupakan sebahagian daripada organisma hidup bergelar masyarakat. Setiap satunya mempunyai hubung kait rapat dan berpengaruh ke atas seseorang lain walaupun mungkin tidak pernah mengenali antara satu sama lain.
Kesimpulannya, bagi saya, karya ini sangat sedap dibaca oleh semua golongan dan membawa nafas yang... biasa bagi seseorang yang berkaliber seperti Haruki Murakami.
No comments:
Post a Comment