.

.

Sunday, 4 March 2018

Cabaran Pertama - Hikayat Abdullah oleh Norziati Mohd Rosman


Judul: Hikayat Abdullah
Penerbit: Pustaka Antara
Tahun: 1997
Muka surat: 361

Hikayat Abdullah merupakan sebuah autobiografi, yakni rakaman hidup Abdullah Munsyi (1796-1854) yang siap dicatat pada 1840 hasil dari dorongan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada orang-orang Eropah yang berada dalam lingkungan Abdullah . Ya yang dicatat ini berkisar kehidupan Abdullah sejak dari kelahirannya, susur galur keluarga, pendidikan ketika kecil, mulanya Abdullah berkhidmat dengan pengembang agama Kristian, pengalaman ketika peristiwa ‘pembukaan Singapura’ dan peristiwa berkenaan diri dan keluarganya yang ditulis tanpa mengikut kronologi.

Catatan Abdullah ini penting kerana menjadi sebuah buku yang keluar dari kebiasaan penulisan persuratan Melayu pada ketika itu yang tidak sama sekali menceritakan perihal diri sendiri, ataupun berkenaan orang lain. Kecenderungan penulisan bersifat individualistik ini amat difahami kerana ketika itu Abdullah berada dalam persekitaran masyarakat yang bercampur-campur di Melaka dan Singapura yang dihuni bukan sahaja orang Melayu tetapi Inggeris, Belanda, Cina dan India seperti yang terakam dalam bukunya (dipercayai ramai lagi warganegara terdapat di Melaka dan Singapura). Justeru, penulisan Abdullah adalah terkeluar dari norma kebiasaan hasil dari pergaulan luasnya dengan orang bukan Melayu yang memberi banyak pandangan baharu yang lebih terbuka dan tidak tertakluk kepada apa-apa kuasa yang mengikat suara. Tambahan pula Melaka tidak berada di bawah kekuasaan Sultan dan ditadbir oleh Kompeni Hindia Timur Inggeris, maka Abdullah bebas menuturkan pemikirannya dan tidak terikat kepada batasan kata-kata.

Oleh kerana itu, penulisan Abdullah bersifat jujur kerana menceritakan keadaan masyarakat pada masa itu dan sekaligus dapat menegur dan menerangkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan dan apa yang perlu dibuat oleh orang Melayu bagi membaikinya. Dia banyak membandingkan pandangannya terhadap orang Melayu dengan sikap orang Eropah yang menjadi tempat dia mencurahkan tenaga, sehingga Abdullah dicemuh kerana tunduk dan terpesona kepada orang Eropah yang menjajah bangsanya, sedangkan niat Abdullah ialah membetulkan keadaan masyarakatnya. Cemuhan yang dialami oleh Abdullah berlarutan hingga kini kerana tidak ramai mengerti mengapa Abdullah menjadi begitu terpikat dengan perangai dan sikap orang Eropah yang lebih terkedepan dan maju dari segala segi.

Antara yang jelas dibicarakan Abdullah ialah perbezaan sikap antara pembesar Melayu dan pentadbir British di Melaka. Abdullah meceritakan bagaimana Stamford Raffles bekerja seawal pagi dengan menulis dan membaca, kemudian mengajak pembantunya melawat sekitar kampung, memerhati orang Melayu bekerja, berbual dengan orang-orang kampung malah tidak langsung ada rasa bongkak atau takbur disebabkan kulitnya yang putih atau bangsanya yang lebih maju. Raffles membiasakan dirnya bercakap bahasa Melayu, beramah mesra dengan penduduk sehingga dia disukai kerana mempunyai sikap yang disenangi. Manakala isteri Raffles dilihat rajin menjahit, mengemas dan memasak, pandai mendandan diri dan menjaga kesihatan badan. Ini berbeza dengan sikap isteri pembesar yang menghabiskna masa dnegan tidur hingga tengahari, berbadan besar, malas berdandan, enggan mengemas rumah sebaliknya mengarahkan pembantunya menyiapkan kerja. Perkara inilah yang menjadi sungutan Abdullah dalam karyanya.

Biarpun bekerja dengan orang-orang Eropah dan para pengembang agama Kristian, Abdullah tidak sekali-kali menggadaikan bahasa dan agamanya. Dia diminta menjadi pengajar bahasa Melayu hasil dari kemahirannya dalam berbahasa, justeru Abdullah amat mementingkan penggunaan bahasa yang betul kepada orang-orang Eropah yang menjadi muridnya. Dia sanggup berpatah arang berkerat rotan sekiranya kaedah dan nahu bahasa yang diajarkan ditolak oleh mana-mana anak muridnya. Beberapa isu yang melibatkan pertengkaran Abdullah ketika mengajar, menyunting dan membaca buku yang diterjemah ke bahasa Melayu memperlihatkan sikap sebenar Abdullah yang mempunyai jatidiri yang kuat terhadap bahasa dan agamanya.

Selain itu, Abdullah turut menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zamannya yang penuh dengan catatan penting sejarah. Antaranya ialah Perjanjian Inggeris Belanda pada 1824 yang menyaksikan Melaka dan Bangkahulu saling bertukar-tukar pentadbiran antara Belanda dan Inggeris. Peristiwa 'pembukaan' Singapura oleh William Farquhar dan Raffles juga dicatatkan dengan jelas dan kita akan dapat menilai sendiri kejadian-kejadian kecil yang membawa kepada terlepasnya Singapura ke tangan Inggeris, yang terhasil dari ketamakan para pembesar Melayu juga. Justeru, tidaklah boleh kita menyalahkan Inggeris kerana menggunakan kelicikan dan penipuan dalam merampas Singapura kerana kelemahan kepimpinan, sifat berlengah-lengah dan pengecut menjadi sebab Inggeris berleluasa meluaskan pengaruh dan kuasa bukan sahaja di Singapura tetapi negeri-negeri berdekatan dengannya.

Hikayat Abdullah bukanlah sekadar biografi yang ditulis oleh Abdullah bagi merakamkan kehidupannya, tetapi menggambarkan kehidupan masyarakat di bawah penjajahan awal British yang tidak berada dalam naungan sultan Melayu. Hakikat yang dipaparkan Abdullah sepatutnya menjadi panduan buat kita dalam mentadbir negara, supaya tidak lagi terlepas mudah seperti Singapura; disamping menjadi teguran dalam memperbaiki sikap dan keadaan diri agar lebih baik dan cemerlang setanding dengan masyarakat lain yang ada di sekitar kita.

No comments: