.

.

Friday, 25 May 2018

Cabaran Review Kedua - Hari Esok Untuk Islam oleh Afiqah Diana

Tajuk : Hari Esok Untuk Islam
Penulis: Sayyid Qutub
Penerbit: Pustaka Nasional PTE LTD Singapura
Muka surat : 126 muka surat



Pada bulan ini saya telah memilih buku Hari Esok Untuk Islam karya Sayyid Qutub yang mana buku ini telah menjadi pilihan bacaan para pemimpin islam khususnya Tok Guru Nik Aziz iaitu mantan menteri besar Kelantan dan juga pimpinan islam lainnya.

Pendapat peribadi saya, sejujurnya buku kecil ini amatlah wajar dibaca dan dihadam oleh setiap umat islam apatah lagi dalam memilih pucuk pimpinan dalam sesebuah organisasi mahupun Negara. Kerana buku ini amat padat dengan informasi berguna serta bahasa yang amat dekat dengan masyarakat tanpa perlu kepada istilah-istilah berat dan memerlukan kepada penafsiran tempoh panjang. Buku ini mengandungi tujuh bahagian utama iaitu dibawah naungan Al-Quran, Kepuasan Rohani, Hari Esok Untuk Islam, Akidah Dan Kehidupan, Sistem Islam, Potensi Fitrah dan terakhir Jeritan Jiwa.

Saya amat senang untuk mengatakan bahawa tokoh ini iaitu Sayyid Qutub amat bijak membawa masyarakat untuk mengenal Al-Quran di awal proses pembacaan. Penekanan yang beliau berikan di awal muka surat menunjukkan kepada kita betapa pentingnya kalamullah kepada umat islam. Dalam mengenalkan agama kepada masyarakat haruslah terlebih dahulu penganutnya mempunyai iktikad yang utuh terhadap konsep ketuhanan dan kitabullah yang diturunkan.

Kemudian suka juga untuk saya bawakan salah satu pandangan Mr Dulles yang iaitu salah seorang sarjana kenamaan Amerika. Dimana Sayyid Qutub telah menyertakan bahawa Mr Dulles pernah mengeluarkan kenyataan bahawa suatu sistem sosialis itu terbeban di pundak utama pemuka-pemuka agama dan pemimpin-pemimpin spiritual. Daripada kata-kata Mr Dulles ini kita juga mengakui betapa peranan pemimpin amat penting dalam memebentuk colonial masyakarat yang baik dan bertamadun jiwanya.

Saya menggagumi Sayyid Qutub kerana beliau tidak membelakangkan ideologi-ideologi yang dibawa oleh dunia barat. Apabila terhadap percanggahan kita akan melihat bagaimana santunnya beliau dalam membahaskan isu kefahaman ini hingga cerahlah jiwa kita sebagai masyarakat. Hal ini dapat kita telusuri bersama dengan melihat bagaimana usaha beliau dalam mengenalkan kita kepada titik perintah yang dibawa oleh sisi dunia gelap suatu ketika dahulu. Seperti kerajaan jazirah arab, Kerajaan India sebelum 3 masihi dan sebagainya. Semua ini menyedarkan kita betapa konsep spiritual amat penting untuk kepada diri seorang manusia. Tanpa jiwa yang baik kita akan secara tidak langsung menjadi sekadar mayat hidup yang menanti sakaratul maut.

Akhirulkalam, buku ini adalah satu wadah penting untuk kita hadamkan bersama dalam kita mencari satu titik kebenaran dalam diri. Dimana sayyid Qutub berulang kali menegaskan bahawa materialistik, kemasyhuran hanya akan membawa manusia kepada kehancuran tanpa dipandu oleh iktikad akidah dalam akar jiwa agama.

No comments: