.

.

Monday, 28 May 2018

Cabaran Review Kedua - Sumpah Tujuh Keturunan oleh Iman Danial Hakim

Ulasan novel Sumpah Tujuh Keturunan



Mungkin Franz Roh melihat dua bulan tergantung di dada langit sewaktu menulis Nach Expressionismus: Magischer Realimus sehingga beliau menggagaskan magic realism sebagai aliran seni yang realis tetapi memiliki unsur magis. Kemudian Gabriel Garcia Marquez tampil pula bersama One Hundred Years of Solitude, naskhah yang menyampaikan cerita-cerita aneh, ajaib dan penuh ketakjuban dengan cara bersahaja. Pemisah antara fantasi dan realiti sudah kabur. Fantasi tidak lagi tertera sebagai ajaib tetapi ditangani sebagai sesuatu yang lumrah dan menjadi sebahagian daripada realiti hidup kita. Itulah realisme magis.

Istilah realisme magis menimbulkan perdebatan hangat di kalangan ahli-ahli kesusasteraan kerana tiada kesepakatan tentang maksudnya. Istilah itu terlalu luas dan licin untuk ditakrifkan. Pada tahun 1973, International Association of Iberoamericanists menganjurkan sebuah perjumpaan sekaligus menyarankan agar istilah ini dibuang sama sekali. Namun sehingga kini, realisme magis kekal hidup dan liat untuk dihapuskan. Mungkin dengan membekalkan unsur magis dan keajaiban pada perkara-perkara harian biasa, realisme magis menawarkan kepada kita perlindungan daripada dunia nyata yang kejam dan menghukum.

Sumpah Tujuh Keturunan merupakan terjemahan novel 100 Years Of Solitude karangan gergasi sastera Amerika Latin, Gabriel Garcia Marquez. Penterjemahan ke bahasa Melayu diusahakan oleh Mokhtar Ahmad dan Zulkifli Ahmad danditerbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1991 (mengapa DBP tidak lagi menterjemahkan karya-karya sastera luar?)

Saya memilih novel ini sebagai menyahut cabaran 32 Buku; tema pada kali ini adalah buku yang dipilih oleh pemimpin. Setelah membuat sedikit pencarian di Google, saya menemui sebuah artikel yang menyenaraikan buku-buku yang pernah dibaca dan dicadangkan oleh Bill Clinton, mantan Presiden Amerika yang ke 42. 100 Years of Solitude termasuk dalam salah satu buku yang disenaraikan.

Novel ini memenangi Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan pada tahun 1982, sekaligus mengangkat nama Gabriel Garcia Marquez menjadi pengarang yang diikuti di seluruh dunia. Mahakarya ini diterbitkan pada 1967 bertajuk Cien Anos de Soledad kini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa seluruh dunia menggambarkan kebangkitan dan kejatuhan sebuah kota bernama Macondo.
Setiap watak yang diketengahkan oleh Marquez sebenarnya cerminan apa yang berlaku kepada senario Colombia era awal 1850an sehingga 1950an. Plot cerita ini mengikut tujuh keturunan salasilah Jose Arcadio Buendia dan Ursula Iguaran, yang disusun secara kronologi, mengikut peredaran masa selama seratus tahun  Salah satu contoh adegan realisme magis adalah apabila Si Remedios Cantik yang lesap di suatu petang ketika angin bertiup kencang dan dia hilang kerana diterbangkan oleh angin bersama dengan kain yang dipegangnya, gadis pemakan tanah, roh yang berkeliaran di bumi dan anak lahir bersama ekor babi.

Sepanjang perjalanan tujuh keturunan itu, mereka ditimpa bermacam-macam bencana dan ia seperti menjadi pengajaran kepada pembaca tentang balasan buruk yang akan diterima sekiranya berkelakuan sumbang. Semua ini telah dapat diramal oleh Marquedes, seorang gipsi yang banyak mempengaruhi hidup pengasas keluarga Buendia dan mencatatnya di atas kulit binatang dengan bahasa Sanskrit. Namun, segala yang ditulis oleh Marquedes itu gagal difahami, sehinggalah keturunan terakhir Buendia, Aureliano II, membacanya dan mengenal pasti apakah yang berlaku kepada ahli keluarganya sebelum ini.

Watak-watak di dalam novel ini mewakili negara Columbia yang mewah pada suatu ketika, tetapi mengalami kemelesetan ekonomi setelah ditimpa bencana. Marquez berhasrat untuk membuka pandangan pembaca terhadap realiti kehidupan lewat teknik sastera yang hebat - realisme magis.

No comments: