.

.

Monday, 16 April 2018


              Tiada ungkapan yang lebih bermakna ke atas junjungan mulia S.A.W. melainkan selawat. Salam dan ucapan sejahtera ke atas Baginda, serta ahli keluarganya, para sahabat, dan para tabi’in. Sungguh, saya mengenali asas sirah, perkataan Arab yang bermaksud sejarah, sewaktu di zaman persekolahan rendah pada sesi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam.  Kemudian, saya mengetahui lebih lanjut mengenai perihal kehidupan Baginda melalui subjek Sejarah dan Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah (Kini disebut Usuluddin).
              Namun, sudah beberapa kali saya membaca buku sejarah Nabi, dan inilah kali pertama saya berpuas hati. Gembira, tertawa, hiba dan terkasima. Kandungan buku yang ditulis oleh Syeikh Abul Hasan Ali Al-Hasany An-Nadwy bertajuk As-Sirah An-Nabawiyah (ASAN) ini sungguh mengujakan. Buku ini sungguh lengkap dengan fakta yang sahih, malah padat dengan maklumat yang terperinici, hasil kajian dan rujukan beberapa kitab sirah, hadith dan semestinya daripada al-Quran Karim sendiri.
              Buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia yang diberikan tajuk Riwayat Hidup Rasullulah S.A.W. oleh saudara Bey Arifin, seorang linguistik dan pencinta sejarah. Bahkan buku ini terpilih untuk dihadiahkan ke seluruh dunia oleh Yang Mulia Al-Amir Al-Mufdiy As-Syaikh Halifah Bin Hamid Al-Tsany, Kepala Negara (merujuk kepada Perdana Menteri) Qatar bersempena Muktamar Ketiga Sirah dan Sunnah Nabawiyyah di Qatar. Menteri Agama Qatar, Abdullah Bin Ibrahim Al-Anshari berpendapat bahawa buku ini harus dibaca oleh setiap Muslim, sebagai satu pendekatan untuk lebih mencintai Rasulullah S.A.W.
              Buku ini telah dicetak sebanyak tiga kali; iaitu pada tahun 1983, 1984 dsn 1986 oleh Pustaka Nasional Pte Ltd yang bertapak di Singapura. Sesiapa sahaja yang cuba membaca buku ini buat kali pertama akan menemui tiga halangan utama: Halaman bukunya yang tebal, penggunaan bahasa Indonesia dan keseluruhan kandungan buku ini bersifat ilmiah, yakni tiada bahan rangsangan, seperti gambar, carta atau ilustrasi. Ketekunan dan kesungguhan sangat diperlukan seorang pembaca untuk meneliti satu persatu dan menghayati kisah hidup Rasulullah S.A.W.
              Perkara yang membezakan buku ASAN dengan buku biografi Nabi Muhammad S.A.W adalah penggunaan ayat yang mudah difahami, tidak bersifat memaksa dan mempunyai sub-bab – pada setiap beberapa halaman. Penceritaan melalui sudut pandang ketiga yang bersahaja menjadikan bacaan ASAN lebih feeling – seperti pembaca berada di dalam cerita tersebut.
              ASAN terbahagi kepada lima bahagian utama dan disusun rapi ke dalam 25 bab. Lima bahagian yang dimaksudkan adalah: Zaman Pra-Kenabian, Zaman Kerasulan, Peperangan pada zaman Nabi Muhammad, Waktu Terakhir Baginda serta Perihal Isteri dan Akhlak Baginda. Zaman Pra-Kenabian bermula dengan kehidupan dan sifat masyarakat pada Zaman Jahiliyah, Jazira Arabia sebelum kedatangan Islam, faktor pemilihan Mekah sebagai pusat pengembangan syiar Islam, keadaan Mekkah pasca kelahiran Rasullulah S.A.W. dan kehidupan baginda sewaktu kecil. Zaman Kerasulan menceritakan serba sedikit tentang permulaan syariat Islam yang diutuskan Allah ke atas Nabi Muhammad S.A.W., cabaran dan dugaan yang dihadapi Baginda ketika berdakwah di Mekkah, hijrah ke Taif dan Madinah, serta peristiwa yang mendukacitakan buat Baginda. Kesemua perkara ini memberikan emosi dan impak yang mendalam kepada pembaca, kerana pembaca akan dibawa ke masa silam dan merasai pengalaman sebegitu melalui susunan perkataan dan frasa yang menyentuh jiwa.
              Peperangan pada zaman Nabi terbahagi kepada dua bentuk: serangan ke atas kaum yang ingkar setelah diberikan peluang untuk berdamai atau sebagai pertahanan diri. Antara peperangan yang penting pada waktu itu adalah Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandaq, Perang Bani Quraizah dan Perang Tabuk. Pembaca dapat mengetahui sebab-akibat peperangan, serta cara untuk menyelesaikan konflik tanpa perlu bermandikan darah. Penaklukan kota Mekah dibuat setelah mendapat wahyu daripada Tuhan. Selain itu, Nabi Muhammad S.A.W. menghantar utusan atau mengirim surat kepada para pembesar sekitar kawasan Tanah Arab untuk mengajak ke arah kebaikan. Perhatikan bagaimana setiap pembesar memberi jawapan kepada baginda, dan bagaimana baginda membalas jawapan tersebut. Waktu Terakhir baginda sungguh menyayat hati, bahkan saya sendiri terpaksa menangguhkan pembacaaan selama beberapa hari. Hajjatul Wida’ dan saat kewafatan Nabi diceritakan dengan teliti, sehinggakan pembaca dapat merasakan suasana ketika itu.
              Bahagian terakhir buku ini mencerita tiga perkara perihal Nabi Muhammad S.A.W.; keluaraga, perwatakan dan jasa Baginda yang boleh dicontohi. Perihal isteri dan cucu-cucu Baginda dapat diketahu .Dengan mengenali sifat mulia Rasulullah kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira asal usul dan agama, pembaca dapat mencontohi keperibadian Baginda seterusnya mempraktikkan ia di dalam kehidupan seharian.
              Buku ini berusia lebih kurang 30 tahun dan langka kerana bahasa yang digunakan bersifat klasik. Penggunaan kamus amat membantu, selain bertanya kepada mana-mana rakan yang fasih berbahasa Indonesia. Secara jujurnya, membawa buku sejarah setebal 545 muka surat tidak mudah, tetapi dengan kerajinan dan kesungguhan ingin mengenali dan menghayati perihal kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. dari Tahun Gajah hingga saat Nabi menyebut kalimah yang sama berulang tiga kali, sesiapa sahaja pasti tersentuh dan menangisi permergian Baginda. ASAN seharusnya dibacakan kepada golongan muda, khususnya kepada kanak-kanak dan remaja, agar mereka lebih mengenali dan mencintai Rasul Junjungan S.A.W.
              Barangkali semasa resensi ini ditulis, sudah ada terjemahan ke dalam bahasa Melayu dan dicetak untuk edisi kemas kini, beserta ejaan baru. Satu penambah baikan ke atas buku ini adalah dengan menyediakan ruang Rujukan/ Biblografi pada pengujung buku, sebagai satu penghargaan penulis ke atas sumber yang dikajinya sepanjang penghasilan buku bersejarah ini. Jika anak muda masa kini dapat membaca novel cinta cintun atau drama setebal 600 muka surat, semestinya mereka dapat membaca karya ini – jika diberikan tunjuk ajar dan berguru.
Sekian.
Terima kasih.
Haniff.

Sunday, 4 March 2018

Assalamualaikum dan salam sejahtera, semoga kita semua berada dalam limpah rahmatnya. Berikut adalah panduan ringkas yang kami sediakan serta perkara yang perlu dilakukan dalam review.


1. Mestilah melebihi 500 patah perkataan namun tidak melebihi 1500 patah perkataan.


2. Perlu tulis dua perkara yang sama tapi berbeza

1.       Buku ini pasal apa = Kisah yang ditulis dalam buku.

Kita cuba berkongsi kepada pembaca pendahuluan dan sedikit isi yang ditulis dalam buku. Seboleh mungkin tidak menceritakan penamat. Boleh juga tulis tiga perkara menarik dalam buku, nyatakan halaman mana agar mudah pembaca yang berminat rujuk tulisan kita.

2.       Buku ini pasal apa = Disebalik kisah yang ditulis apakah mesej yang cuba disampaikan oleh penulis.

Mesej seperti ideologi yang cuba diserapkan, atau sikap berpantang maut sebelum ajal, apakah semangat yang dibaca oleh penulis. Perkara yang tidak disebut dalam buku secara umum. Kiranya mesej tersirat. Perkara ini membantu kita berfikir secara kritis. Gaya penulisan juga boleh ditulis, memudahkan atau menyukarkan.

3. Review bukanlah kita copy paste apa yang ditulis oleh penulis, kita cuba mengolah mengikut acuan kita dalam masa yang sama cuba memujuk pembaca agar baca buku yang kita baca.

4. Review yang baik bagi kami adalah berjaya menyemarakkan budaya membaca dengan mempengaruhi pembaca membaca buku. Seperti zaman viral sekarang, kita viral kan tempat makan sekejap saja orang berdesup datang nak cuba. Begitulah juga makanan rohani, yakni buku.

5. Tidak lewat menghantar review dari tarikh yang ditetapkan. Periksa jadual agar tidak terlepas tarikh akhir.


Januari

2 Januari – 20 Februari – masa yang diberikan untuk habis baca
Review 21 Februari – 3 Mac
Mac

4 Mac – 20 April – masa untuk baca
21 April – 3 Mei – masa untuk review
Mei
4 Mei – 20 Jun – masa untuk baca
21 Jun – 3 Julai – masa untuk review
Julai
4 Julai – 20 Ogos – masa untuk baca
21 Ogos – 3 September – masa untuk review
September
4 September – 20 Oktober – masa untuk baca
21 Oktober – 3 November – masa untuk review
November
4 November – 20 Disember
21 – 30 Disember tamat cabaran.




Penulis menulis biografi ini sebagai tesis untuk ijazah sarjana muda dalam Pengajian Media, UM. Sewaktu buku ini dihasilkan, allahyarham tuk guru masih lagi menjadi menteri besar kelantan, penulis memilih untuk menghasilkan biografi seseorang yang masih hidup, kerana dia akan dapat memastikan bahawa maklumat yang diperolehi itu adalah benar dan sahih, bukan rekaan kerana kelak karya itu akan dipertangungjawabkan di akhirat nanti. 
Awal bab menceritakan tentang perkaitan keturunan TGNA dengan keturunan diraja Jembal. Nama Jembal itu dikaitkan dengan kisah Raja Bersiung yang dikatakan tumbuh siung atau taring disebabkan tabiat anehnya yang suka memakan makanan dimasak bercampur dengan darah manusia. Setiap hari ada saja rakyat yang disembelih dan dikorbankan untuk dijadikan santapan Raja. Akhirnya rakyat memberontak dan Raja Bersiung telah dihalau ke luar negeri. Sedang beliau berkelana membawa diri, beliau terjumpa seorang bayi lelaki di celah phon bambu dan seorang bayi perempuan yang hanyut di sungai yang kemudiannya dinamakan, Raja Sakti dan Puteri Mani Kemian, lalu baginda bermukim di tempat beliau melepaskan lelah yakni di Pohon Jembal. Menurut Tuk Ku Tijah, bonda tiri Nik Aziz, ayahandanya adalah daripada keturunan keempat dalam susur galur Keluarga Diraja Jembal. 

Kedai Lalat merupakan tempat yang banyak menyimpan sejarah keluarga Diraja Jembal. Lokasi ini juga merupakan tempat TGNA dan adik beradiknya dilahirkan sebelum keluarganya berpindah ke Kampung Jelatang, Pulau Melaka. Raja Muhammad (Nik Mat alim), ayahanda TGNA, banyak berguru dengan ulama sekitar Pulau Melaka. Dikenali sebagai Nik Mat ditambah alim dihujungnya kerana terkenal kerana kewarakannya, dilahirkan sekitar 1890an, suatu era di mana perkembangan sekolah-sekolah pondok di sekitar negeri Kelantan sedang bangkit menuju kegemilangannya selaras dengan pemerintahan Sultan Mansur( sultan yang taat beragama dan warak dalam sejarah raja-raja kelantan). Raja Nik Mat Alim banyak dipengaruhi oleh Tok Khurasan. Ketegasannya dapat dilihat dalam menentang amalan-amalan khurafat dan bidaah di kalangan masyarakat setempat. Beliau pernah mencabar di dalam ceramhnya sesiapa sahaja yang dapat membawakan hadis berkenaan amalan khurafat dengan menawrakan ganjaran berupa wang lumayan yakni rm10 untuk setiap hadis yang dibawakan kepadanya. Kecenderungan NMA terhadap kehidupan beragama ini bukan sahaja dilihat dalam kehidupan sehariannya, tetapi juga kemudiannya mempengaruhi didikan dan tarbiah beliau kepada madrasah keluarga dan masyarakat berlandaskan syariat Islam yang sebenarnya.

Nama TGNA diambil sempena nama anak seorang ulama kelahiran Deobandi (New Delhi, India, Shah Waliyullah Muhaddits Dehlavi (1703-1762), anaknya diberi nama Shah Abdul Azeez. Kedua tokoh ulama ini kuat menentang penjajahan dengan cara berjihad dan tegas mengkritik sultan pada masa itu. Sejak dari kecil, Nik Mat Alim mendidik anak-anaknya dengan disiplin dan ketegasan. Anak2 akan dikejutkan awal pagi untuk menunaikan tahajud, menghafal quran sehingga masuk subuh dan tidak dibenarkan untuk tidur selepas subuh. TGNA merupakan anak yang paling mudah untuk bangun pagi. Sebagai anak sulung, beliau ditugaskan mengejutkan adik-adiknya. Walaupun kepayahan mereka adik-beradik tetap patuh menjalankan suruhan ayahnya.  Asuhan seperti ini memberikan kesan yang mendalam kepada TGNA kerana sehingga harini beliau dikatakan tidak pernah meninggalkan tahajjud. Munajat dan zikrullah dijadikan penawar dalam hidupnya. 

Salah satu keistimewaan TGNA yang cukup ketara sejak kecil ialah kebolehan amat mudah menghafal segala pelajaran yang diajarkan kepadanya (terang hati). Beliau sudah mula membaca dan menghafal Al-Quran  sejak usianya enam tahun. Sifatnya yang tidak banyak soal, sangat menyenangkan hati ayahnya yang begitu bersemangat ingin melihat anak-anaknya mengikuti jejak langkahnya dan mewarisi ilmu di dadanya. Kecergasannya TGNA juga terbukti apabila dapat menghafal buku Matan Alfiah dalam tempoh setahun ( matan Alfiah adalah kitab nahu Arab yang sangat mahsyur dalam pengajian qawaid Arab, sangat sukar dipelajari dan mengandungi 1000 bait syair. Menghafal kitab ini dikatakan mampu membina ketajaman dan kecerdasan minda seseorang). 

Rumah NMA dijadikan serambi untuk menyuburkan pengajian ilmu di Pulau Melaka. Selepas solat subuh, adik beradik TGNA akan dikerahkan untuk mengerjakan tanah kebun di Kebun Limau Langkap, atau di Kg Kedai Lalat sesuai dengan kemampuan dan umur mereka ketika itu disamping mengusahakan penternakan ikan. Mereka juga tidak dibenarkan bergaul dengan budak kampung yang tidak dikenali ayahnya. Pondok Jertih (madrasah Ittifaqiah)  merupakan madrasah pilihan utama NMA untuk menempatkan anak kesayangannya bagi mendalami ilmu agama. Persahabatan yang erat antara NMA dan Tok Khurasan, dan Tuan Guru Haji ABBAs dan Ustaz Lah India (adik TGHA), banyak mencetuskan inspirasi dan membuka minda tentang kedudukan dan peranan Islam sebagai a way of life. Bagi tok-tok guru yang berasal dari India dan Pakistan ini, semangat yang disuntik daripada kisah-kisah perjuangan gerakan-gerakan Islam yang tercetus di tanah air mereka menjadi bahan yang baik untuk menyempurnakan ramuan ilmu yang disampaikan kepada anak-anak murid, kerana dapat dikaitkan kisah perjuangan mujahidin Islam melawan Inggeris di bumi India dan Pakistan seperti juga di Tanah Melayu yang juga sedang tegang akibat pertelingkahan antara Jepun dan Inggeris. 

Walaubagaimanapun, ini bukanlah bermakna NMA inginkan anaknya kelak menjadi seorang pejuang atau pemimpin Islam. Sebaliknya, ketelitiannya terhadap perkembangan TGNA diharapkan dapat mengembangkan potensi anaknya sehingga dapat melanjutkan pelajaran ke Darul Ulum, Deoband di India sekalian memenuhi impiannya yang tertunda.

Sepanjang pengajiannya di Madrasah Ittifaqiah, beliau menuntut kuliah ilmu dari Tuan Guru Haji Abbas, Tuan Guru Haji Shafie, Ustaz Lah India, Tuan Guru Haji Latib dan kadangkala, anak murid yang lebih senior akan diarahkan untuk membimbing pelajar junior. Walaupun bertubuh kecil, ternyata kelebihan TGNA terlihat pada ilmunya yang ketika itu menyamai ilmu seorang tuk guru. Menurut ayah Ngah, imtihannya mumtaz dan mereka menjadi tenaga pengajar bagi pelajar tahun tiga. Kegigihannya menuntut ilmu terlihat tanpa mengira masa dan tempat. Pernah beliau sanggup menunggu Ustaz Lah menggali telaga,  demi mendengar syarah dari sebuah kitab yang sedang dibacanya. Kecintaannya terhadap dunia ilmu juga dapat dilihat melalui sikapnya yang tidak hanya bergantung untuk mendapatkan ilmu apda suatu2 tempat. Kebiasaanya mengikut ayahnya mendengar kuliah-kuliah tok-tok guru dimana sahaja tanpa mengenal lelah.  

Akhirnya usaha gigih beliau tersebut, telah mematangkan TGNA bukan sahaja dari segi memberi penilaian dan hujahan tentang sesuatu ilmu, tetapi juga telah memberi nafas dan gaya tersendiri dalam setiap ceramah dan kuliah yang disampaikannya pada hari ini. Beliau juga menjadi tumpuan dan tempat rujukan rakan sepengajiannya dan menjadi kepala mentelaah semasa mengulangkaji di sebelah malam bersama rakan-rakanya. Beliau juga telah dilatih untuk bersyarah atau berceramah umum selepas solat jumaat di Masjid Kedai Lalat. Ketika itu, hampir tidak ada guru pondok yang “bersyarah”. Tok-tok guru pondok hanya mengajar kiktab2 tradisi. Mereka tidak berucap dihadapan umum. Tabiat ini akhirnya dibawa oleh TGNA ketika menyambung pengajiannya ke India dan Mesir. Antara pelajaran yang digemarinya adalah Ilmu Mantiq (ilmu logika) yang akhirnya membantunya menjadi orator terbaik dalam ceramah, pidato atau dialog-dialog yang disertainya.

TGNA meneruskan pengajiannya ke Bandar Deoband(utara New Delhi), India pada tahun 1952.  Kota ini menghimpunkan pelajar-pelajar dari pelbagai bangsa dan peringkat usia. Tiada batasan usia, Cuma dikhusukan untuk pelajar lelaki sahaja untuk merealisasikan misi utama Darul Ulum untuk melahirkan seramai mungkin pelajar lintas benua untuk menebarkan ilmu mereka ke seluruh dunia. Rutin hariannya berubah. Beliau ditempatkan di asrama bersama pelajar multiracial dan yang istimewanya, pusat pengajian ini akan membekalkan kitab-kitab yang diperlukan selama tempoh pengajian, tidak perlu dipulangkan sehingga pada hari pengajian selesai. 

Di sana, TGNA berpeluang bertalaqqi dengan Maulana Husain Ahmad al-Madani (1897-1957), seorang ulama hadis dan tariqat terkemuka di bumi India yang juga mendokong gerakan al-Madani dalam menuntut kemerdekaan negara India daripada British.Almadani turut dikenali sebagai Asiru Malta kerana pernah dibuang dan disingkirkan selama tiga tahun ke Kepulauan Malta oleh British yang gerun dengan pengaruhnya. Kegigihan Al-Madani sebagai seorang pendakwah jelas terlihat melalui dedikasinya selama bebrapa tahun memberi kuliah hampir 12-13 kelas sehari. Tidurnya cuma dua-tiga jam sahaja sehari. Selebihnya diperuntukkan untuk mentelaah dan membuta persiapan mengajar. Rutin sebegitu merupakan satu bentuk tarbiah (spiritual training) yang kini dilalui dan dirasai oleh Nik Aziz sendiri. Tiada istilah rehat apatah lagi penat dalam hidup seorang pejuang agam daan pendakwah. 

Beberapa ulama lain, turut menjadi inspirasi TGNA, antaranya Maulana Syed Fakhrul Hasan Moradabadi( mengajar kitab sahih Muslim dan Tafsir al-Baizawi), Hazrat Maulana Muhammad Ibrahim Baliyawi (mengajar kitab Sahih Tirmizi), dan Maulana Muhammad Naim mengajar Tafsir Al-Adab Al-Mufrad. Mujahadah ilmunya diteruskan ke bumi Pakistan pada tahun 1958 dan kemudiannya ke bumi Mesir dalam bidang kesusateraan dan bahsa Arab di Kuliathul Lughah Al-Azhar. Persamaan mata pelajaran dan kitab-kitab yang dipelajari di Kelantan dan ilmu yang diperolehi di Darul Ulum, memudahkan TGNA menguasai bahasa Arab dengan baik dan akhirnya beliau berjaya memperoleh ijazah sarjana muda (BA) dalam jurusan Pengajian Bahasa Arab, seterusnya melanjutkan pengjaian dalam kehakiman Syariah dan dalam tempoh dua tahun berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana (MA) dalam jurusan tersebut. Sekembalinya ke tanah air, selain disibukkan dengan kuliah dan seminar, TGNA juga mulai terlibat dengan dunia penulisan dan menjadi penyumbang Majalah Pengasuh sekitar tahun 1970an, kemuncak kepada aktiviti penulisan ini TGNA telah berjaya melahirkan sebuah buku yang bertajuk, Kenapa Aku Tidak Kristian.

Setelah 10 tahun berkelana, akhirnya kepulangan yang dinanti disambut dengan meriah oleh seisi kampung dengan meraikan TGNA dengan bekwah( asal dari big work yakni kenduri kendara). Semuanya begitu ghairah mendengar pengalaman hidup 10 tahun di rantauan sambil membelek-belek sejumlah kitab yang dibawa balim dari tiga benua. Kepulangannya juga diharapkan dan sangat dinantikan terutamanya oleh ayahanda tercinta,NMA untuk meneruskan kerja dakwah dan mendidik di Pulau Melaka. 

Tugas pertamanya untuk meneruskan perjuangan ayahandanya menetang perbuatan khurafat, walaupun pada awalnya ditentang tapi akhirnya seluruh rakyat kelantan dapat menerima apa yang diperjuangkannya. Setiap hari dengan berbasikal, TGNA akan ke SMA Tarbiyyah Panchor, dan keadaan itu berterusan sehinggalah pondok yang diasaskan oleh NMA dinaiktarafkan menjadi Maahad Darul Anwar, TGNA turut mengajar di sekolah tersebut. Beliau turut dipujuk untuk menjadi pensyarah agama di Kelas Dewasa kerana kelebihan ilmu yang dimiliki dan pada ketika itu TGNA tidak menunjukkan sikap pro kepada mana-mana parti politik. Kesungguhan untuk menanamkan kefahaman dan kesedaran agama berlandaskan al-Quran dan AsSunnah dikalagan masyarakat kampung yang buta huruf pada waktu itu, menyebabkan beliau sambut dengan tangan terbuka. 

Tekadnya" Kalau lidah saya ini panjang seperti panjangnya Sg. kelantan, nescaya saya hulurkan sepenuhnya ke negeri Kelantan supaya semua mendapat seruan Tuhan." Kesempatan tersebut digunakan untuk menegur dasar-dasar pemerintahan pusat UMNO yang dilihatnya terbabas daripada landasan Islam. "Menegur dan memberi ingatan kepada satu-satu kumpulan atau pentadbiran, bukan bermakna pendakwah tersebut menyokong dan menyebelahi mereka, ia semata-mata menunaikan tanggungjawab untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sehinggakan akhirnya TGNA mula dituduh sebagai agen PAS yang cuba menyerap masuk ke dalam barisan UMNO, hanya kerana hujah dan pandangan yang dilontarkan mempunyai banyak persamaan dan lebih banyak condong kepada dasar dan hala tuju PAS. Akibatnya, pihak pimpinan UMNO mula menyekat kebebasan TGNA untuk mengeluarkan pandangan dan hujahan dalam siri-siri ceramah dan kuliah, beliau akhirnya meletakkan jawatan daripada menjadi pensyarah kelas dewasa.

Mungkin mampu mengubat rasa kecewa kerana ditolak penuh prasangka oleh golongan yang tidak sehaluan malah langsung tidak mahu mengambil Islam untuk mengubah jalan, gaya pemikiran dan sistem hidup mereka, akhirnya TGNA mengambil keputusan untuk terjun ke dunia politik  dengan menyertai pilihan raya kecil Kelantan Hilir bagi memenuhi kerusi Parlimen yang dikosongkan oleh Almarhum Tuan Haji Ahmad Abdullah pada usianya 36 tahun pada 1967. "Kalau kita tidak menjadi pemimpin, siapa yang mahu mendengar kata kita?". Sepandai dan segigih mana kita beradu di pentas dakwah, sekiranya tiada kuasa di tangan, sekiranya kita tidak duduk dalam barisan saf kepimpinan, mana mungkin kita mampu untuk memartabatkan Islam seperti yang pernah dicatatkan oleh Syed Qutb ketika membicarakan konsep kelahiran generasi al-Quran dalam Maalim FitTariq.

Buku Biografi Empat Serangkai Imam Mazhab ini mempunyai pengisian yang sangat baik dan perinci. Penulis buku bernama K.H Moenawar Chalil. Merupakan hakcipta di Indonesia 1955 oleh PT BULAN BINTANG, Jakarta. Hakcipta di Malaysia 1988 oleh THE THINKER’S LIBRARY SDN BHD. ISBN 967-69-0191-1. Buku ini mempunyai 339 halaman termasuk daftar nama dan istilah.

Buku ini memuatkan sejarah dan riwayat hidup Imam - Imam Mazhab yang empat ( Hanafi, Maliki, Shafie dan Hambali ) secara lengkap. Di dalamnya antara yang dihuraikan, dasar - dasar mazhab dalam Fiqh Islam dan riwayat mula tersebarnya aliran – aliran mazhab tersebut di seluruh dunia Islam. Juga dijelaskan tentang bagaimana cara – cara mereka mengambil istinbat ( kesimpulan ) hukum dari al – Quran dan Hadith.

Buku ini sangat bermanfaat untuk dibaca, disamping untuk mengetahui dengan lebih dekat tentang peribadi mereka, juga yang terpenting untuk dijadikan suri tauladan bagi kehidupan umat Islam, tentang keberanian dan ketangkasan para Imam Mazhab empat dalam menegakkan keadilan dan membela kebenaran yang hakiki, sekalipun harus dengan jalan menderita dan berkorban.

Pada mukasurat 223, menarik perhatian saya dalam tajuk kecil yang menerangkan Cara Imam Syafie bertukar fikiran mencari kebenaran. “ Dengan gubahan ini dapatlah kita mengambil kesimpulan, bahawa kritik atau celaan lawan itu oleh beliau dipandangnya ada gunanya dan besar pula faedahnya. ” Buku ini sangat sesuai untuk dijadikan rujukan bagi pengkaji ilmu dan yang mencarinya.


Buku: Biografi Gemilang Imam Muslim

Penulis: Dr. Muhammad Taufiq Abu Ali

Buku biografi ini dibahagikan kepada tiga bahagian.  Dimulai dengan penceritaan tentang latar belakang Imam Muslim dari awal kelahiran termasuk nasab keturunannya dan huraian mengenai Kitab Sahih. Turut diterangkan mengenai perjalanan hidup beliau dari aspek pekerjaan dan latar belakang pendidikan. Dalam bab ini penulis juga berjaya merungkai kekeliruan tentang persoalan sama ada kitab sahih Muslim mengumpulkan semua hadis sahih. Penulis juga menyatakan perbezaan pendapat mengenai jumlah sebenar hadis di dalam kitab tersebut. Setiap hujah penulis disertakan dengan huraian yang kukuh.
Kronologi kehidupan beliau disusun dengan teratur. Gaya bahasa yang digunakan menarik dan Bahasa yang digunakan adalah ringkas. Namun begitu masih terdapat lenggok Bahasa Arab yang dikekalkan sehingga memerlukan pengulangan bacaan sebelum isinya dapat difahami. Hal ini mungkin disebabkan faktor penterjemahan.
 Penulis menghuraikan setiap peristiwa dengan begitu terperinci. Hal ini dapat dilihat apabila penulis sentiasa memasukkan maklumat tambahan bagi individu yang turut terlibat dalam perjalanan hidup Imam Muslim. Sebagai contoh apabila diceritakan tentang guru-guru dan murid beliau, penulis tidak pernah ketinggalan untuk memasukkan tahun kewafatan individu tersebut termasuk kitab yang pernah dikarang. Petikan ayat dari al-Quran dan hadis juga sentiasa dinyatakan sumbernya.
                Bab kedua menjelaskan kaedah Imam Muslim dalam ilmu sanad. Penulis menerangkan dengan begitu mendalam tentang ketelitian Imam Muslim dalam menjaga sanad hadis agar dapat menghindari illah. Penulis juga memperincikan tujuan Imam Muslim menyebutkan beberapa sanad dan matan hadis dalam satu bab, antaranya adalah agar diketahui bilangan perawi hadis yang bersesuaian dalam satu matan.
                Di dalam bab ketiga penulis menghuraikan kaedah Imam Muslim dalam ilmu matan. Penulis membahagikan kaedah yang digunakan berdasarkan kepada kategori hadis seperti hadis mu’all, mushahhaf dan muharraf.
                Secara keseluruhannya, buku ini berjaya mencapai tujuan seperti yang dijanjikan oleh penulis dalam bahagian pendahuluan. Penulis juga berjaya menangkis kritikan terhadap hadis Sahih Muslim dengan hujah yang kukuh dan bernas.

Alhamdulillah. Akhirnya. Berjaya jugak habiskan buku Bung Karno ikut waktu yang ditetapkan.

Untuk pengetahuan kalian juga, ini merupakan buku pertama aku bagi tahun 2018 ini. Perjalanan yang sangat perlahan sekiranya nak capai target habiskan 60 buku tahun ni. 

Apa-apa pun. Suka untuk nyatakan. Aku sangat jarang baca buku biografi. Jadi, inisiatif yang dibuat oleh team Buku Jalanan Titi sangat baik. 

Aku ambil masa lebih kurang dalam seminggu untuk habiskan buku mengenai Sukarno atau panggilan mesra, Bung Karno. 

Sukarno, Putra Sang Fajar

Pada mukasurat 18 hingga 25 terdapat garis masa perjalanan hidup Sukarno sejak lahir sehingga beliau meninggal dunia.

Sekiranya aku nak kongsikan kesemuanya, resensi ini akan jadi sangat panjang. Aku kongsikan serba sedikit perjalanan hidup beliau.

Pada 6 Jun 1901, Sukarno dilahirkan di Surabaya, dari pasangan Ida Ayu Nyoman Rai Srimben dan Raden Soekemi Sosrodihardjo.

Pada 4 Jun 1927, Sukarno mendirikan Perserikatan Nasional Indonesia (PNI) di Bandung yang merupakan gabungan berbagai gerakan kemerdekaan. 

Programnya: "Mengusahakan Kemerdekaan Indonesia". 
Slogannya: "Merdeka Sekarang Juga". 

Pada kongres 1928, gerakan itu memproklamasikan diri sebagai partai, dengan nama baru; Partai Nasional Indonesia.

18 Ogos 1945, Panitia Persiapan Kemerdekaan Indonesia (PPKI) bersidang dan menetapkan Sukarno sebagai presiden dan Mohammad Hatta sebagai wakilnya. Kelak mereka dikenal sebagai Dwitunggal.

21 Jun 1970, Sukarno wafat di Istana Bogor setelah menderita sakit yang lama di Wisma Yasa, Jakarta. Jenazah Sukarno dimakamkan di Blitar. Hingga akhir hayatnya, Sukarno tak pernah diadili karena tuduhan pro-PKI.

Banyak benda baru yang dapat mengenai Bung Karno. Tapi, sekiranya hendak review dengan lebih detail. Satu buku ni tak cukup. Perlu baca lagi buku biografi Sukarno yang lain. Juga, sekiranya kalian suka baca buku mengenai falsafah, pasti kalian akan lebih banyak faham.

Sejujurnya. Bagi aku, aku perlu baca buku ini berulang kali dan buat lebih banyak rujukan baru aku faham.

Sedikit sebanyak intipati yang aku dapat. Bung Karno seorang yang sangat suka akan seni dan keindahan.

Pada halaman 57, turut dinyatan. Bung Karno bukan hanya pencinta seni, melainkan juga penyelamat seniman.

Pada 1966, ia berpesan kepada Letkol CPM Moessubgayo, penguasa militer tertinggi di Yogya. Kata Presiden, tahanan Peristiwa 30 September yang seniman agar dijaga jangan sampai ada yang mati, karena "membuat seniman itu susah, membuat insinyur itu mudah."

Daripada kenyataan Bung Karno sahaja sudah menunjukkan betapa kasihnya Sukarno terhadap seni.

Untuk falsafah pula. Sekali lagi, sejujurnya aku kurang arif nak huraikan macam mana. Aku tak pernah lagi baca buku falsafah. Juga, aku hanya faham falsafah dari sudut bahasa yang sangat basic. 

Apa-apa pun. Semoga dengan berakhirnya bacaan buku pertama ini, bacaan seterusnya akan lebih proaktif. 

Judul: Hikayat Abdullah
Penerbit: Pustaka Antara
Tahun: 1997
Muka surat: 361

Hikayat Abdullah merupakan sebuah autobiografi, yakni rakaman hidup Abdullah Munsyi (1796-1854) yang siap dicatat pada 1840 hasil dari dorongan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada orang-orang Eropah yang berada dalam lingkungan Abdullah . Ya yang dicatat ini berkisar kehidupan Abdullah sejak dari kelahirannya, susur galur keluarga, pendidikan ketika kecil, mulanya Abdullah berkhidmat dengan pengembang agama Kristian, pengalaman ketika peristiwa ‘pembukaan Singapura’ dan peristiwa berkenaan diri dan keluarganya yang ditulis tanpa mengikut kronologi.

Catatan Abdullah ini penting kerana menjadi sebuah buku yang keluar dari kebiasaan penulisan persuratan Melayu pada ketika itu yang tidak sama sekali menceritakan perihal diri sendiri, ataupun berkenaan orang lain. Kecenderungan penulisan bersifat individualistik ini amat difahami kerana ketika itu Abdullah berada dalam persekitaran masyarakat yang bercampur-campur di Melaka dan Singapura yang dihuni bukan sahaja orang Melayu tetapi Inggeris, Belanda, Cina dan India seperti yang terakam dalam bukunya (dipercayai ramai lagi warganegara terdapat di Melaka dan Singapura). Justeru, penulisan Abdullah adalah terkeluar dari norma kebiasaan hasil dari pergaulan luasnya dengan orang bukan Melayu yang memberi banyak pandangan baharu yang lebih terbuka dan tidak tertakluk kepada apa-apa kuasa yang mengikat suara. Tambahan pula Melaka tidak berada di bawah kekuasaan Sultan dan ditadbir oleh Kompeni Hindia Timur Inggeris, maka Abdullah bebas menuturkan pemikirannya dan tidak terikat kepada batasan kata-kata.

Oleh kerana itu, penulisan Abdullah bersifat jujur kerana menceritakan keadaan masyarakat pada masa itu dan sekaligus dapat menegur dan menerangkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan dan apa yang perlu dibuat oleh orang Melayu bagi membaikinya. Dia banyak membandingkan pandangannya terhadap orang Melayu dengan sikap orang Eropah yang menjadi tempat dia mencurahkan tenaga, sehingga Abdullah dicemuh kerana tunduk dan terpesona kepada orang Eropah yang menjajah bangsanya, sedangkan niat Abdullah ialah membetulkan keadaan masyarakatnya. Cemuhan yang dialami oleh Abdullah berlarutan hingga kini kerana tidak ramai mengerti mengapa Abdullah menjadi begitu terpikat dengan perangai dan sikap orang Eropah yang lebih terkedepan dan maju dari segala segi.

Antara yang jelas dibicarakan Abdullah ialah perbezaan sikap antara pembesar Melayu dan pentadbir British di Melaka. Abdullah meceritakan bagaimana Stamford Raffles bekerja seawal pagi dengan menulis dan membaca, kemudian mengajak pembantunya melawat sekitar kampung, memerhati orang Melayu bekerja, berbual dengan orang-orang kampung malah tidak langsung ada rasa bongkak atau takbur disebabkan kulitnya yang putih atau bangsanya yang lebih maju. Raffles membiasakan dirnya bercakap bahasa Melayu, beramah mesra dengan penduduk sehingga dia disukai kerana mempunyai sikap yang disenangi. Manakala isteri Raffles dilihat rajin menjahit, mengemas dan memasak, pandai mendandan diri dan menjaga kesihatan badan. Ini berbeza dengan sikap isteri pembesar yang menghabiskna masa dnegan tidur hingga tengahari, berbadan besar, malas berdandan, enggan mengemas rumah sebaliknya mengarahkan pembantunya menyiapkan kerja. Perkara inilah yang menjadi sungutan Abdullah dalam karyanya.

Biarpun bekerja dengan orang-orang Eropah dan para pengembang agama Kristian, Abdullah tidak sekali-kali menggadaikan bahasa dan agamanya. Dia diminta menjadi pengajar bahasa Melayu hasil dari kemahirannya dalam berbahasa, justeru Abdullah amat mementingkan penggunaan bahasa yang betul kepada orang-orang Eropah yang menjadi muridnya. Dia sanggup berpatah arang berkerat rotan sekiranya kaedah dan nahu bahasa yang diajarkan ditolak oleh mana-mana anak muridnya. Beberapa isu yang melibatkan pertengkaran Abdullah ketika mengajar, menyunting dan membaca buku yang diterjemah ke bahasa Melayu memperlihatkan sikap sebenar Abdullah yang mempunyai jatidiri yang kuat terhadap bahasa dan agamanya.

Selain itu, Abdullah turut menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zamannya yang penuh dengan catatan penting sejarah. Antaranya ialah Perjanjian Inggeris Belanda pada 1824 yang menyaksikan Melaka dan Bangkahulu saling bertukar-tukar pentadbiran antara Belanda dan Inggeris. Peristiwa 'pembukaan' Singapura oleh William Farquhar dan Raffles juga dicatatkan dengan jelas dan kita akan dapat menilai sendiri kejadian-kejadian kecil yang membawa kepada terlepasnya Singapura ke tangan Inggeris, yang terhasil dari ketamakan para pembesar Melayu juga. Justeru, tidaklah boleh kita menyalahkan Inggeris kerana menggunakan kelicikan dan penipuan dalam merampas Singapura kerana kelemahan kepimpinan, sifat berlengah-lengah dan pengecut menjadi sebab Inggeris berleluasa meluaskan pengaruh dan kuasa bukan sahaja di Singapura tetapi negeri-negeri berdekatan dengannya.

Hikayat Abdullah bukanlah sekadar biografi yang ditulis oleh Abdullah bagi merakamkan kehidupannya, tetapi menggambarkan kehidupan masyarakat di bawah penjajahan awal British yang tidak berada dalam naungan sultan Melayu. Hakikat yang dipaparkan Abdullah sepatutnya menjadi panduan buat kita dalam mentadbir negara, supaya tidak lagi terlepas mudah seperti Singapura; disamping menjadi teguran dalam memperbaiki sikap dan keadaan diri agar lebih baik dan cemerlang setanding dengan masyarakat lain yang ada di sekitar kita.