Novel Ayahanda ini di cadangkan untuk di baca oleh ayah
saya sendiri, Hj. Mohd Salim b Ahmad (lebih mesra dengan panggilan Cikgu
Salim), yang mana ia adalah antara 3 novel terbaik yang beliau cadangkan untuk
saya baca. Ini adalah novel ke-2 Allahyarham Azizi Haji Abdullah, selepas saya
membaca kisah Seorang Tua Di Kaki Gunung ketika masih bersekolah. Dek
teringat akan kesan mendalam novel tersebut, saya memilih karya Azizi Hj
Abdullah untuk dibaca.
Novel ini mempunyai latar belakang tahun 60an - 80an, di sekitar
Kota Kuala Muda dan Kulim. Budaya masyarakat melayu sememangnya terserlah dalam
novel ini. Saya dapat merasakan penulis mahu membawa pembaca menyelami sosio
ekonomi orang melayu di kampung, di samping fokus diberikan kepada kasih dan
perasaan seorang ayah terhadap anak-anak yang telah membesar dan menjalani
hidup masing-masing.
Seorang bapa, yang berumur 97 tahun, yang telah kehilangan isterinya yang 10 tahun lebih muda. Hidup sunyi tanpa teman hidup di sisi. Anak-anak seramai 12 orang dan yang paling bongsu boleh lah dikatakan hidup lebih senang, bersama isteri di kota. Begitu berlainan sekali hidup bapa ini di hari tua, makan minum tidak lagi disediakan isteri, tapi diganti dengan anak sulung yang sedaya upaya melayan bapa sebagaimana ibunya dahulu. Kasih ibu yang tua menjaga suaminya, menjaga makan minum, dan keperluan suaminya menjadi tauladan kakak sulung dalam menjaga bapa. Penulis juga seolah mahu ketengahkan akhlak anak menjaga ibubapa yang telah tua, agar tidak membantah dan ‘membetulkan’ kesalahan ibubapa mengikut kaca mata kita sendiri, walaupun ada masanya kita tidak bersetuju dengan mereka, melainkan perkara yang menyalahi batas agama. Terlihat akhlak terpuji kakak sulung bila didiamkan sahaja jika bercanggah pendapat, kerana lelaki itu ialah bapa. Menyebabkan saya teringat pepatah ini “Being kind is more important than being right”, apatah lagi denganibubapa yang telah tua.
Abang dan kakak sulung hanya berkerja di kampung dan
tidak hidup senang seperti yang bongsu. Begitulah, akhlak dan pembawaan
diri juga tidak sama. Si Bongsu seorang yang bijak, highly opinionated dan
cenderung memandang tinggi pendapat dan perasaan sendiri. Meski beliau mahu
menjaga bapanya yang tua dan uzur, cita dan citra hidup sebegitu tidak dikongsi
dengan isterinya, yang tidak berapa gemarkan kehadiran bapanya dalam hidup
mereka. Meskipun bapanya yang uzur ini tidaklah terlalu menyusahkan hidup
mereka, kerana beliau boleh dikatakan independent. Namun, resam orang
tidak sayang dan cinta; perkara kecil pun mengundang rasa bungkam, tidak
senang, menyusahkan dan sentiasa merungut. Adengan ini begitu menginsafkan
saya. Saya juga mempunyai ibubapa, mesipun mereka masih sihat dalam usia 60-an.
Saya membayangkan apabila masa tiba, di mana saya perlu menjaga mereka (ibubapa
sendiri ataupun mertua), saya berdoa agar saya tidak melayan mereka umpama kain
buruk; yang mana, kain buruk tidaklah dibenci tapi tidak juga disenangi.
Sayu bila penulis menceritakan, bapanya lari dari rumah
dan balik ke rumah sendiri dengan bas. Kasih bapa yang tidaklah tampak jelas
seperti ibu. Sebagaimana bapa tua ini, lebih senang mencurah rasa kasihnya
melalui tulisan yang disimpan dalam diari. Bapa tua ini menulis menceritakan
tentang setiap anaknya yang seramai 12 orang ini, dari sulung hingga lah ke
bongsu. Membandingkan perasaan yang dicurah dalam diari dengan perasaan yang
ditnjukkan bapa, memanglah amat berbeza. Penulis mengajar kita sebagai anak,
janganlah hanya menilai ibubapa kita secara zahir semata-mata. Seribu satu
perasaan terpendam dalam hati ibubapa, yang tidak mahu, tidak mampu dicurahkan
kepada anak. Sifat ihsan amat diperlukan bila melayan ibubapa. Ihsan
– melakukan kepada orang lain (ibubapa), sebagaimana kita mahu diperlakukan.
Selain dari kritik sosial dalam hubungan kekeluargaan,
penulis juga membawa perihal bagaimana bakat muda seharusnya menghargai bakat
tua. Latar belakang sebagai imam muda dan imam tua di angkat dalam kisah ini,
yang mana jemaah sudah tidak dapat menerima khutbah bapa, yang merupakan imam
tua di masjid yang beliau lazimi.
Novel ini begitu meninggalkan kesan dalam diri saya,
mengingatkan saya tentang bagaimanakah nanti bila Tuhan menguji saya perlu
menjaga ibubapa sendiri atau mertua yang tua dan uzur. Kalau sambil atau
selepas baca, dengar pula lagu Allahyarham Sudirman, “Ayah dan Ibu” , memang
boleh menangis hingga bengkak mata, di buatnya. Kisah ini menginsafkan saya
bahawa; melayan ibubapa dengan baik, bukan sekadar mencukupkan makan minum dan
tempat berteduh, tetapi menyenangkan hati, meringankan beban emosi mereka yang
telah tiada teman hidup, menyokong mereka, membuat mereka rasa mereka lah
paling penting, menghormati pandangan dan pendapat mereka walaupun ia
bertentangan dengan pendapat peribadi. Saya sematkan benar-benar dalam hati
saya, bahawa apabila berhubungan dengan ibubapa, Being Kind is more
important than Being Right!
1 comment:
nak tanya apa kelemahan dalam novel ni?
Post a Comment