.

.

Sunday, 30 April 2017


Ini adalah review saya untuk cabaran kedua. Buku yang dicadangkan oleh adik saya adalah sentuhan Al Akh karya Inspector Saahab penerbitan Wahai!


Buku ini adalah tentang persahabatan. Kekeluargaan. Kehidupan. Emosi. Jiwa. Buku ini adalah tentang sentuhan. Bukan sentuhan yang biasa-biasa  tapi sentuhan al akh yang cukup luar biasa. Begitulah antara sinopsis yang dinyatakan dibelakang buku ini. Buku ini terdiri daripada 36 bab dan 243 muka surat. Setiap bab menceritakan tema yang berbeza. Secara generalnya, buku ini mengisahkan tentang suasana dan pengalaman pahit manis serta ‘sentuhan-sentuhan’ nurani mengenai kehidupan tarbiyah seorang al akh. Buku ini juga mengupas sedikit sebanyak tentang permasalahan yang berlaku dalam kehidupan tarbiyah seseorang secara santai dalam bentuk dialog dan monolog.

Pada mulanya apabila adik saya mencadangkan buku ini saya agak sedikit terkesima. Al maklumlah sangat jarang untuk membaca buku-buku versi tarbiyah. Setelah menghabiskan bacaan, banyak peringatan mengenai amalan dan sikap kita lebih-lebih lagi sebagai seorang Muslim yang saya dapati daripada buku ini. Buku ini sesuai dibaca oleh semua orang terutamanya mereka yang berada di ‘jalan dakwah’. Hal ini kerana, setiap bab dalam buku ini mengisahkan pengalaman penulis berada di ‘jalan dakwah’ dan boleh dijadikan panduan pada masa akan datang. Saya boleh katakan buku ini adalah buku nasihat kerana setiap bab menyampaikan mesej bersarat nasihat.

Apabila saya tanyakan kepada adik saya mengapa memilih buku ini, dia menyatakan buku ini antara buku yang berjaya menyuntik semangatnya untuk berbakti kepada agama. Sebagai seorang Muslim,kita mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan atau dalam kata lain berdakwah kepada orang lain mengikut cara masing-masing. Tangungjawab berbakti kepada agama bukan terletak pada mereka yang bergelar ustaz/ustazah ataupun ‘budak usrah’ sahaja tetapi kepada semua yang bergelar Muslim.

Sebenarnya saya agak sedikit terkejut apabila adik saya memilih buku ini kerana dia bukan ‘budak usrah’ dan hanya seorang budak lelaki biasa yang suka menyendiri dalam bilik. Rupa-rupanya dia meminjam buku kawan baiknya yang merupakan seorang yang agak aktif di ‘jalan dakwah. Saya mengenali adik saya sebagai seorang yang tidak kisah akan hal sekeliling kerana sikap introvertnya itu tetapi tidak sangka pula dia mahu berbakti kepada agama!

Akhir sekali, bukan mudah untuk berada di jalan yang tidak dipilih semua orang tetapi pengalaman itu cukup berharga, begitulah apa yang dapat saya simpulkan daripada buku ini. Buku yang ringkas dan santai serta penuh dengan nasihat yang berguna.


Selamat membaca!

Tuesday, 25 April 2017


Namamu..  = Your Name = Kimi no na wa (Makoto Shinkai)


Kali ini, bagi cabaran Kedua Buku Jalanan Titi, saya memilih buku Namamu (Your Name/Kimi no na wa) oleh Makoto Shinkai yang dicadangkan adik saya. Buku ini terdiri daripada 212 muka surat, merupakan terjemahan Bahasa Melayu daripada edisi asal Bahasa Jepun dan diterbitkan oleh Kadokawa Gempak Starz. Pasti anda pernah dengar tajuk buku ini bukan? Ia telah tercatat sebagai salah satu filem animasi yang mencatat kutipan paling tinggi di Jepun tahun lepas. Bahkan muka hadapannya sendiri menunjukkan salah satu babak daripada filem tersebut, saya tidak pasti sama ada poster filemnya atau tidak. Adik lelaki saya ini sentiasa mencipta kejutan, dan saya sebenarnya tidak menyangka dia membaca buku novel kerana kebanyakan bahan bacaannya sebelum ini lebih bersifat komik. Tambahan pula, bacaannya sebelum ini bersifat pengembaraan atau aksi, jadi hairan juga bagaimana dia boleh tertarik untuk membaca buku sebegini. Tidak seperti ahli keluarga lain yang kami berkongsi genre yang lebih kurang iaitu bacaan umum atau motivasi.

Sebelum bermula, mari saya ceritakan sedikit tentang novel ini, ia merupakan kisah tentang parallel world. Bukan kisah tipikal pertukaran badan lalu jatuh cinta tetapi lebih besar daripada itu. Pernahkah anda alami déjà vu? Ia menceritakan di sebalik déjà vu sebenarnya ada lebih daripada itu, pencarian sesuatu yang anda sendiri tidak pasti apakah ia.

Mitsuha ialah seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Itomori, Jepun. Sebuah bandar dikelilingi tasik dan gunung di mana penduduknya mengenali antara satu sama lain. Dia dan adiknya, Yotsuha tinggal bersama nenek mereka yang berpegang teguh pada adat resam keluarga (malah pemilik tokong) sejak kematian ibunya ketika kelahiran Yotsuha.Ayahnya pula ialah Datuk Bandar di Itomori yang tidak percayakan adat resam, mengalami konflik dengan ibu mertuanya dan tegas terhadap anak-anaknya. Baginya adat resam adalah karut dan itu yang menyebabkan dia kehilangan isterinya. Hidup di Itomori sangat tenang buat Mitsuha, bahkan terlalu membosankan sehinggakan dia dan sahabatnya (Sayachin dan Tesshi) mengimpikan untuk keluar ke bandar, tempat yang berbeza  dan meneroka kehidupan baru. Kota yang ada McD, kafe, jaringan internet laju dan mereka boleh capai apa sahaja yang mereka inginkan.

Taki pula ialah seorang pelajar lelaki dari sebuah sekolah menengah di Tokyo. Tinggal bersama rakan-rakan, bekerja part-time di café untuk memperoleh pendapatan, hidup amat sibuk bagi Taki. Sehinggalah suatu hari dia bermimpi menjalani sebuah kehidupan yang jauh berbeza di Itomori, sebagai seorang perempuan! Mimpi yang pelik, malah berulang.

Mitsuha juga beberapa kali bermimpi berkejar ke stesen kereta api dan bekerja di restoran, sebagai seorang lelaki menikmati makanan enak di café seperti yang diharapkannya selama ini. Mimpi yang sangat pelik, terasa sangat benar dan juga berulang.

Semua yang diingatkan mimpi rupanya terjadi nyata dan mereka mengetahuinya melalui reaksi orang sekeliling, tarikh dan diari yang ditulis Taki dalam telefon. Mereka memang bertukar badan dalam tempoh itu, kemudian anehnya, mimpi itu tiba-tiba tidak lagi terjadi. Tapi bagaimana mungkin ini terjadi? Adakah ini yang disebutkan sebagai parallel world, sebenarnya pada dimensi berbeza, ada seorang lagi anda di luar sana? Rupanya takdir menemukan mereka atas satu sebab dan ini pula ada kaitannya dengan kejadian jatuhan Komet Tiamat (komet berskala besar) yang mempunyai ekor bercahaya biru tiga tahun sebelum itu. Tiada siapa menjangka impaknya akan memusnahkan sebegitu banyak benda dan mengorbankan banyak nyawa. Paling terjejas,bandar Itomori yang musnah dan ramai meninggal termasuk Mitsuha dan rakan-rakannya, tapi dia baru sahaja menjadi Mitsuha beberapa bulan lepas, dan itu adalah mustahil! Dan paling malang bila Taki (dan Mitsuha) mula perlahan hilang ingatan tentang peristiwa yang mereka alami dan malah lupa nama masing-masing. Mereka seperti saling tidak mengenali tapi mereka yakin mereka mencari seseorang itu. Tapi siapa dan apa namanya?

Ia sangat diadun dengan baik apabila ada juga pertembungan antara astrofizik (komet), adat resam Jepun (kumihimo) dan hikayat tali merah berkenaan takdir di Jepun. Bagi rakyat Jepun, mereka percaya bahawa dua orang yang ditakdirkan untuk bertemu disambungkan oleh tali merah di hujung jari kelingking mereka. Kumihimo pula ialah gelang tangan tradisi masyarakat Jepun yang dipercayai ada hubungan istimewa dengan dewa, dan roh selain masa yang berlalu.

Ceritanya sangat menarik, maksud saya anda tidak akan dapat menjangkakan apa yang terjadi. Anda berjumpa orang yang baru dan rasa seperti anda telah mengenalinya untuk suatu tempoh yang lama. Persoalan “Pernahkah kita berjumpa sebelum ini?” , “Saya rasa seperti pernah berada di tempat ini” walaupun seingat kita, kita tidak pernah menjejakkan kaki/berjumpa sebelum itu. Tapi perasaan Taki dan Mitsuha, mereka dalam keadaan mencari sesuatu, dan sebenarnya pencarian ini turut membantu mengelakkan sebuah tragedi besar. Terlalu banyak persoalan yang muncul tapi ke akhir cerita semuanya bagai melengkapkan kepingan dari jigsaw puzzle. Pengakhirannya digarap dengan sangat cantik. Berjayakah Taki dan Mitsuha merungkai persoalan yang terjadi dalam hidup mereka sebelum ini? Ini anda kena cari buku ini dan baca sendiri, hehe.

Sebenarnya, perbezaan antara kami ialah adik saya membeli buku ini baru mengetahui kewujudan filemnya, itupun selepas saya memberitahu manakala saya hanya pernah membaca reviu filem di laman muka buku dan sama sekali tidak mengetahui kewujudan buku ini. Kami menonton filem ini bersama tapi hanya selepas adik saya menghabiskan bacaannya dan saya belum pernah membacanya . Biasanya anime dicetak kembali dalam bentuk novel grafik tapi kali ini dalam novel santai. Beberapa kali pula dia khatam buku ini, manakala saya, hendak habiskan satu pun sukar. Terdapat beberapa sebab atas kesukaran itu yang akan saya jelaskan kemudian.

Pertama, sebenarnya saya sudah menonton filemnya sebelum membaca. Jadi, membacanya seperti membaca kembali skrip filem. Agak mendatar, mungkin kerana filemnya sudah meletakkan benchmark yang tinggi. Oh ya, tidak seperti adaptasi lain daripada buku ke filem. Novel ini merupakan adaptasi daripada filem animasi yang sudah dikeluarkan. Kalau biasa kita dengar adaptasi novel/buku ke filem kan? Jadi rasanya mungkin sebab itu novel ini agak mengecewakan saya. Filemnya ada essence atau sinematografi yang sangat cantik, membantu pergerakan jalan cerita. Sedangkan novelnya terasa sangat kering, maksud saya tidak dapat menggambarkan perasaan sama seperti sewaktu menonton filemnya. Jadi saya sendiri agak tidak faham bagaimana adik saya boleh menghabiskannya sehingga beberapa kali, walaupun setelah menonton ceritanya.

Kedua, mungkin kerana ia berbentuk terjemahan jadi banyak perkataan dalam bahasa melayu bagi saya tidak menggambarkan suasana yang sama dalam filemnya. Mungkin untuk memudahkan pemahaman, seperti menonton telenovela yang dialih suara. Mungkin maksudnya sampai tapi entahlah, agak kelakar rasanya. Walau bagaimanapun, saya rasa bertepatan dengan genrenya sebagai novel ringan, cuma filemnya sangat cantik dan membuatkan adaptasi novelnya tidak begitu kena pada jiwa saya. Mungkin juga kerana saya jarang menbaca bacaan sebegini.

Penulisnya, Makoto Shinkai sendiri mengakui bahawa dia tak pernah terfikir untuk menulis novel ini. Walau bagaimanapun, novel versi bahasa Jepunnya terlebih dahulu berada di pasaran sebelum filemnya. Maksudnya dia menulis novel ini ketika dalam proses pembikinan filemnnya. Yang berbeza hanyalah jalan penceritaan di mana novel menggunakan kata ganti diri pertama manakala filem daripada sudut pandang kamera. Mungkin juga kerana filem memerlukan penglibatan banyak pihak dan diiringi muzik yang menghidupkan ceritanya. Sebab kenapa dia menulis novel ini adalah kerana dia mahu menyampaikan visi meneruskan hidup walaupun hilang sesuatu kepada remaja di luar sana, menerusi cara berbeza. Itu juga mungkin yang membezakan saya dan adik saya, remaja tua dan remaja betul, huhu. Penyampaian gaya novel santai nampaknya lebih melekat pada kelompok seusia dengannya.

Tapi sebenarnya novel ini membantu saya mengenali dengan lebih dekat adik saya. Beberapa kali saya bertanya bagaimana adik saya boleh membeli buku sebegini, sedangkan dia tak pernah mendengar atau membaca tentang filemnya. Hanya tertarik pada cover buku dan sinopsis. Jawapannya sentiasa “Tak tahu, tak perlu bagi kakak untuk tahu” *baca gaya adik yang annoying* Ya, hubungan kami bertambah erat selepas dia di smackdown beberapa kali, Haha!

Tidaklah, saya rasa kisah kami seperti Taki dan Mitsuha yang ada ikatan/ tali merah (mengikut hikayat Jepun, dua orang yang berjodoh  sebenarnya diikat oleh satu tali merah panjang yang halimunan dan mereka akan sentiasa terikat walaupun jauh dan ditemukan satu hari oleh tali itu). Ikatan itu akan menjadi kusut atau serabut tapi tidak akan pernah putus.

Dalam konteks ini, saya teringatkan sewaktu adik saya lahir, saya sudah tahu kami akan menjadi kawan baik sepanjang hayat, walaupun itu hari pertama dia lahir. Jadi nanti apa yang akan terjadi, bond/hubungan kekeluargaan itu akan sentiasa membawa kita bersama walau apa pun terjadi. Seperti rakyat Jepun yang ada tali merah, bond itu disimbolikkan dengan air bagi saya. Bak kata pepatah Melayu, air dicincang tak akan putus!


Friday, 21 April 2017

Penulis: Andi Yudha

Cabaran kedua yang diberikan oleh penganjur untuk 32 cabaran buku kali ini ialah ulasan kepada buku yang diminati oleh ahli keluarga kita. Bagi aku, cabaran ini tinggal untuk memilih orangnya sahaja, kerana rata-rata ahli keluarga aku memang suka membaca buku. Jadi, untuk mendapatkan buku dalam masa yang cepat sebelum aku memulakan bacaan, aku memilih kakakku untuk memcadangkan buku kegemarannya kerana lokasi rumahnya yang dekat dengan kampusku.

Pilihan buku kesukaannya adalah buku genre keibubapaan, iaitu buku terjemahan Indonesia yang bertajuk Creative Parenting Today, karya penulis Indonesia Andi Yudha. Minat dan cinta penulis pada dunia kanak-kanak dan hal kreativiti anak-anak mendorong beliau untuk aktif menganjurkan seminar, bengkel, talkshow dan sebagainya untuk berkongsi kepada masyarakat tentang ilmu keibubapaan. Beliau juga adalah pensyarah kreativiti, komik dan pembelajaran serta penulis kepada beberapa buku lain. Jadi, tidak hairanlah isi penulisan buku ini sangat mantap dan padat, penuh dengan bimbingan tip tip praktikal. Apa yang aku sangat suka adalah, buku ini tidak hanya berteori semata-mata. Mendalam, tidak hanya pada permukaan. Begitu jugalah dengan kakakku. Banyak mukasurat buku ini ditanda, tanda bahagian penting untuk dipraktik kepada anak-anaknya.

Buku ini memulakan pengisian bukunya dengan menjelaskan maksud kreatif itu sendiri supaya pembaca jelas akan hala tuju mesej yang ingin disampaikan oleh penulis kerana kita boleh saja mempunyai pentafsiran berbeza-beza. Buku ini juga merangkumi tajuk mengapa ibu bapa perlu kreatif, dasar dasar mendidik anak, mengenal dunia anak, perangsang karakter positif dan kreativiti anak, cara melatih diri untuk berfikir kreatif, pengalaman dan tip-tip praktikal komunikasi yang menyeronokkan dengan anak. Tajuknya pula iaitu ‘Creative Parenting Today’ sangat menarik kerana tajuk ini jelas merujuk kepada cara kreatif  membimbing anak anak pada zaman terkini, terus mengangkat kerelevanan buku ini pada tahap masa sekarang.

Seiring dengan masa dan teknologi, anak-anak kita kita juga membesar dengan cara yang agak berbeza berbanding dengan kita, impak daripada kehadiran gajet dan sebagainya. Tidak sama dengan zaman dahulu baik daripada segi persekitaran, rancangan televisyen, cara bermain, cara pembelajaran dan sebagainya. Ibu bapa tidak boleh terikat dengan cara mereka belajar dahulu dan memaksa anak-anak mereka juga membesar sama seperti mereka membesar. Di sinilah ibubapa perlu kreatif. Mereka tidak boleh bergantung kepada memori mereka untuk membesarkan serta mendidik anak-anak tetapi mengambil pendekatan yang sesuai dengan zaman anak-anak.

Buku ini tampak nipis tetapi berjaya mengalahkan sangka-sangka yang mempersoalkan tentang kualiti dan isinya. Turut dijelaskan, ‘parenting’ serbenarnya bermula daripada saat kita memilih pasangan kita kerana pasangan kita secara tidak langsung atau secara langsung akan membentuk peribadi anak-anak. Seterusnya, pendidikan awal untuk anak-anak bermula ketika bayi itu di dalam kandungan ibunya. Di dalam buku ini, bayangkanlah, berinteraksi dengan janin pun dideksripsikan secara terperinci, tentang cara-cara, bagaimana dan kenapa pentingnya interaksi janin dengan ibubapanya, baik dari segi teknik sentuhan, muzik atau cerita. Malah, cadangan cadangan setiap langkah turut disertakan, bukan hanya sekadar penyataan ayat, tetapi dengan bimbingan terperinci. Sangat sesuai untuk ibu bapa muda dan ibu bapa kali pertama.
Contoh lain adalah memilih alat permainan untuk anak. Aku pun baru sahaja tahu rupa-rupanya terdapat kod untuk alat permainan elektronik seperti EC (early childhood, KA (kids to adult), T (teen) , M (mature) , A (adult) agar mudah kita membelikan alat permainan anak-anak yang sesuai dengan fasa umur mereka. Aku pernah mengajar dan menjaga kanak-kanak di tadika Montessori dan aku tahu betapa susahnya mengawal mereka kerana fokus kanak-kanak ini sangat pendek. Jadi, buku ini sangat berguna untuk kita memahami dunia kanak-kanak seterusnya memudahkan kita menjaga, mendekati dan mengajar mereka dengan nilai-nilai yang baik. 
Aku tertarik dengan petikan kata-kata ulama Imam Ghazali di dalam buku ini tentang bermain, iaitu “anak kecil perlu diberikan kesempatan untuk bermain. sekiranya mereka dilarang bermain dan disuruh belajar sahaja, itu akan mematikan hati, mengurangkan kecerdasan dan menyebabkan mereka bosan dengan kehidupan. akibatnya, mereka akan selalu mencari alasan bagi menjauhkan diri daripada keadaan yang rumit dan sulit”. Betapa bermain adalah satu pekerjaan yang serius untuk kanak-kanak! Ini adalah fakta, kerana ia disokong oleh kajian saintis iaitu otak kanak-kanak yang jarang bermain didapati adalah 30% lebih kecil berbanding otak anak-anak normal yang sebaya dengannya. Bermain sangat membantu sistem motor kasar dan halus, konsentrasi, kosakata dan tatabahasa serta dapat melatih pengurusan diri, kesabaran, imaginasi kanak-kanak.

Walaubagaimanapun, permainan elektronik contohnya, perlulah dikawal kerana terdapat kesan positif dan negatif kepada anak-anak. Contohnya, kesan positif yang didapati pada kanak-kanak ialah pada hal koordinasi, konsentrasi, tindak balas, kecekapan tangan, kecerdasan otak logik dan matematik mereka. Pada sisi negatif pula, bermain permainan elektronik secara berlebihan dapat mengganggu aktiviti sosial dan fizikal anak-anak. Di sinilah peranan ibu bapa dalam memantau anak-anak mereka bermain, dalam masa yang sama, belajar melalui permainan tersebut.

Pendidikan untuk kanak-kanak pula, disesuaikan dengan perkembangan anak-anak, kerana perkembangan anak-anak daripada sudut fizikal, motorik, kognitif dan psikologi juga adalah berperingkat. Di dalam buku ini, penulis menerangkan cara-cara kita mendidik anak-anak yang menitikberatkan setiap sudut fizikal, motorik, kognitif dan psikologi yang sesuai pada setiap fasa umur mereka. Tahap kepandaian kanak-kanak juga bervariasi. Ibu bapa harus memandang luas tentang perihal ‘pandai’ anak-anak. Mungkin kepandaian mereka menyerlah pada sisi ini, tetapi tidak pada sisi yang lain. Ibu bapalah yang berperanan mengenal pasti dan menjadikan bakat dan kepandaian mereka dalam sisi yang tertentu untuk mereka mengenal diri mereka sendiri seterusnya memudahkan mereka belajar pada fasa yang seterusnya. Mudahlah bagi ibubapa untuk mendidik anak-anak apabila mereka tahu kecenderungan anak-anak mereka samada melalui kecenderungan visual, audio atau kinestatik. Formula mudahnya adalah GSG iaitu gambar, suara atau gerakan.

Tips berkomunikasi dengan anak pula dikongsi penulis sehingga panjangnya sebanyak 3 mukasurat! Secara tidak langsung, ini menggambarkan komunikasi ibubapa dan anak-anak sangat penting untuk tumbesaran, pembelajaran dan pendidikan anak-anak. Terdapat pelbagai jenis cara komunikasi ibubapa dengan anak anak iaitu kuku besi, permisif, tidak peduli dan demokratik. Selain itu, pelbagai jenis tips yang dikongsikan penulis dalam buku ini. Antaranya ialah melatih anak menghadapi masalah, melatih gemar membaca dan sebagainya.

Aku sangat suka pada bahagian tentang bagaimana ibu bapa menerapkan budaya membaca pada anak-anak. Contohnya untuk merangsang anak-anak membaca, kita boleh bermula daripada mereka masih bayi dengan cara kita membiarkan mereka memegang, melihat malah menggigit buku! Seiring dengan usia mereka, biasakan anak-anak dengan buku-buku bergambar serta komik untuk merangsang minat membaca mereka.

Rupa-rupanya, melatih anak-anak gemar membaca tidak hanya terikat pada buku fizikal dan cara-caranya tidak terus kepada buku. Bukan hanya pada buku, nota-nota kecil juga boleh kita gunakan untuk melatih mereka membaca, termasuklah menggalakkan mereka mambaca tulisan-tulisan pada kotak atau makanan. Bermain aktiviti silang kata juga membantu meningkatkan minat mereka untuk berjinak-jinak dengan buku. Jika anak-anak kita sangat aktif dan sukakan permainan luar pula, ibu bapa perl​u kreatif untuk  mengaitkan aktiviti harian mereka dengan buku
​.



Novel Ayahanda ini di cadangkan untuk di baca oleh ayah saya sendiri, Hj. Mohd Salim b Ahmad (lebih mesra dengan panggilan Cikgu Salim), yang mana ia adalah antara 3 novel terbaik yang beliau cadangkan untuk saya baca. Ini adalah novel ke-2 Allahyarham Azizi Haji Abdullah, selepas saya membaca kisah Seorang Tua Di Kaki Gunung ketika masih bersekolah. Dek teringat akan kesan mendalam novel tersebut, saya memilih karya Azizi Hj Abdullah untuk dibaca.


Novel ini mempunyai latar belakang tahun 60an - 80an, di sekitar Kota Kuala Muda dan Kulim. Budaya masyarakat melayu sememangnya terserlah dalam novel ini. Saya dapat merasakan penulis mahu membawa pembaca menyelami sosio ekonomi orang melayu di kampung, di samping fokus diberikan kepada kasih dan perasaan seorang ayah terhadap anak-anak yang telah membesar dan menjalani hidup masing-masing.

Seorang bapa, yang berumur 97 tahun, yang telah kehilangan isterinya yang 10 tahun lebih muda. Hidup sunyi tanpa teman hidup di sisi. Anak-anak seramai 12 orang dan yang paling bongsu boleh lah dikatakan hidup lebih senang, bersama isteri di kota. Begitu berlainan sekali hidup bapa ini di hari tua, makan minum tidak lagi disediakan isteri, tapi diganti dengan anak sulung yang sedaya upaya melayan bapa sebagaimana ibunya dahulu. Kasih ibu yang tua menjaga suaminya, menjaga makan minum, dan keperluan suaminya menjadi tauladan kakak sulung dalam menjaga bapa. Penulis juga seolah mahu ketengahkan akhlak anak menjaga ibubapa yang telah tua, agar tidak membantah dan ‘membetulkan’ kesalahan ibubapa mengikut kaca mata kita sendiri, walaupun ada masanya kita tidak bersetuju dengan mereka, melainkan perkara yang menyalahi batas agama.  Terlihat akhlak terpuji kakak sulung bila didiamkan sahaja jika bercanggah pendapat, kerana lelaki itu ialah bapa.  Menyebabkan saya teringat pepatah ini “Being kind is more important than being right”, apatah lagi denganibubapa yang telah tua.

Abang dan kakak sulung hanya berkerja di kampung dan tidak hidup senang seperti yang bongsu. Begitulah, akhlak dan pembawaan diri juga tidak sama. Si Bongsu seorang yang bijak, highly opinionated dan cenderung memandang tinggi pendapat dan perasaan sendiri. Meski beliau mahu menjaga bapanya yang tua dan uzur, cita dan citra hidup sebegitu tidak dikongsi dengan isterinya, yang tidak berapa gemarkan kehadiran bapanya dalam hidup mereka. Meskipun bapanya yang uzur ini tidaklah terlalu menyusahkan hidup mereka, kerana beliau boleh dikatakan independent. Namun, resam orang tidak sayang dan cinta; perkara kecil pun mengundang rasa bungkam, tidak senang, menyusahkan dan sentiasa merungut. Adengan ini begitu menginsafkan saya. Saya juga mempunyai ibubapa, mesipun mereka masih sihat dalam usia 60-an. Saya membayangkan apabila masa tiba, di mana saya perlu menjaga mereka (ibubapa sendiri ataupun mertua), saya berdoa agar saya tidak melayan mereka umpama kain buruk; yang mana, kain buruk tidaklah dibenci tapi tidak juga disenangi.

Sayu bila penulis menceritakan, bapanya lari dari rumah dan balik ke rumah sendiri dengan bas. Kasih bapa yang tidaklah tampak jelas seperti ibu. Sebagaimana bapa tua ini, lebih senang mencurah rasa kasihnya melalui tulisan yang disimpan dalam diari. Bapa tua ini menulis menceritakan tentang setiap anaknya yang seramai 12 orang ini, dari sulung hingga lah ke bongsu. Membandingkan perasaan yang dicurah dalam diari dengan perasaan yang ditnjukkan bapa, memanglah amat berbeza. Penulis mengajar kita sebagai anak, janganlah hanya menilai ibubapa kita secara zahir semata-mata. Seribu satu perasaan terpendam dalam hati ibubapa, yang tidak mahu, tidak mampu dicurahkan kepada anak. Sifat ihsan amat diperlukan bila melayan ibubapa. Ihsan – melakukan kepada orang lain (ibubapa), sebagaimana kita mahu diperlakukan.

Selain dari kritik sosial dalam hubungan kekeluargaan, penulis juga membawa perihal bagaimana bakat muda seharusnya menghargai bakat tua. Latar belakang sebagai imam muda dan imam tua di angkat dalam kisah ini, yang mana jemaah sudah tidak dapat menerima khutbah bapa, yang merupakan imam tua di masjid yang beliau lazimi.

Novel ini begitu meninggalkan kesan dalam diri saya, mengingatkan saya tentang bagaimanakah nanti bila Tuhan menguji saya perlu menjaga ibubapa sendiri atau mertua yang tua dan uzur. Kalau sambil atau selepas baca, dengar pula lagu Allahyarham Sudirman, “Ayah dan Ibu” , memang boleh menangis hingga bengkak mata, di buatnya. Kisah ini menginsafkan saya bahawa; melayan ibubapa dengan baik, bukan sekadar mencukupkan makan minum dan tempat berteduh, tetapi menyenangkan hati, meringankan beban emosi mereka yang telah tiada teman hidup, menyokong mereka, membuat mereka rasa mereka lah paling penting, menghormati pandangan dan pendapat mereka walaupun ia bertentangan dengan pendapat peribadi. Saya sematkan benar-benar dalam hati saya, bahawa apabila berhubungan dengan ibubapa, Being Kind is more important than Being Right!


Saturday, 4 March 2017

Saya membesar dengan membaca rekaan fiksyen yang boleh dirasionalkan dan hampir nyata seperti siri penyiasatan dan ‘thriller’ dengan latar masyarakat yang jelas. Selain tu, otakku bahagian input bacaan fiksyen juga hampir saja rasis kerana banyak membaca penulisan Melayu dan Indonesia berbanding Inggeris. Jadi saya pun ambil keputusan untuk keluar dari zon selesa dan cuba buku yang disarankan oleh rakan baik saya, Morsmode (bukan nama sebenar). Morsmode sukakan buku ini kerana sukakan buku-buku bertemakan ‘surrealism’ dan beliau secara peribadinya menggemari teknik penulisan penulis.


 Don’t judge this book by its cover because its cover doesn’t do the justice!

Walaupun sering menonton filem dengan tema sebegini, bacaan fiksyen surrealisme agak asing bagi saya dan Neil Gaiman berjaya buat saya terkesima selesai membaca! Saya baru tahu beliau agak terkenal bagi pembaca genre sebegini (dan beliau seorang yang sempoi di Twitter).

Buku ini adalah tentang perjalanan Marquis De Carabas mencari kotnya yang istimewa. Dia hanya sesuai dengan kot itu dan kot itu hanya sesuai untuknya. Kot itu yang menjadikan dia ‘Marquis De Carabas’ namun kot itu telah hilang.

Surrealisme yang dibawakan tak buat kita rasa canggung lansung. Di awalnya mungkin saya berasa aneh, “Hmmm kenapa ya watak ni berkepala gajah?” Tapi keganjilan ini menjadi aneh yang paling nyata kerana aduan aneh dan nyatanya begitu nyaman macam secawan Neslo Suam. Yang pahitnya aneh, yang manisnya nyata. Dan mungkin saja saya orangnya suka berangan jadi saya cepat tangkap kebanyakan simbolisme yang dibawakan; siapa ‘The Elephant’ dan apakah maksud ‘the flock’ dan misteri Drusilla di akhir cerita. Jika anda tak dapat tangkap, saya sarankan untuk banyak berangan dan silakan liar berimaginasi memenuhi keperluan fiksyen ini.

Antara yang paling signifikan dalam buku ini adalah penggunaan item sederhana seperti cendawan yang dikirim seorang penjual yang kemudian berkembang sebagai prop untuk sebuah plot penting. Ini kaedah ‘plot-twist’ yang tidak asing bagi penulis fiksyen seperti saya tetapi Neil Gaiman menggubahnya begitu bijak hingga saya pun tak dapat kesan, seperti saya tak dapat dengar bunyi jam bom berdetik sebelum ia meletup.

Keburukan cerita ini? Ia terlalu pendek dan saya rasa tak puas. Tapi rupa-rupanya ia memang cerita pendek yang ditulis khas untuk watak Marquis De Carabas dari novel ‘Neverwhere’. Padanlah ia seperti tergantung dengan limpahan ‘back story’ yang mungkin berasal dari novel asal. Jadi kita harus selalu mengagak, namun tak terlalu menjejaskan pembacaan.

IBRAH
1.    Usai membaca buku ini, saya berterima kasih kepada Allah yang memberikan bakat kepada hamba-hambanya supaya dapat bermanfaat menyampaikan ketakjuban kepada orang lain. Fiksyen yang baik dan berkesan menandakan akal yang ‘fully-optimized’ dan itu mencerminkan seorang insan yang memakai anugerah akal dengan baik. Menginspirasikan saya untuk menjadi penulis yang lebih baik untuk ummah.
2.    Keanehan-keanehan dalam buku ni tidak kurang ganjilnya dengan dunia kita. Saban hari kita dihidangkan dengan keganjilan norma dan sistem kepercayaan kita dicabar kerana itulah adat hamba mengaku beriman, pasti akan diuji (Al-Ankabut: 2).
3.    Pencarian Marquis pulak mengingatkan saya dengan konsep bahawa kita akan dikumpulkan dengan yang kita paling cintai (Bukhari: 6169, Muslim: 2640). Marquis mencintai kotnya, dan dengan dikumpulkan seluruh kekuatan dan fikiran, akhirnya dia berjaya menemukannya. Begitulah juga kita, apa yang kita cintai dan fokuskan yang menentukan apa yang akan kita temukan di akhirat kelak.

Friday, 3 March 2017

Hello Buku Jalanan Titi and the crew,

Below is my review for the first challenge:
 

Dance of Death, 500++ pages written by American authors, Douglas Preston and Lincoln Child is the sixth book of Pendergast series. I am not so sure whether previous books lead to this book and this leads to subsequent books but I’m getting the whole story just fine. This book is about the FBI special agent, Aloysius Pendergast and his partner, Lieutenant Vincent D’Agosta. When Pendergast was buried alive behind a brick wall in Castel Frosco, his alienated brother, Diogenes rescued him and nursed him back to health. Then who is the villain? Mind you, the antagonist is the protagonist’s brother (interesting right?). Diogenes needed his brother alive to carry out his wicked schemes. Gradually, Diogenes killed people who are close to Aloysius (this includes D’Agosta). Pendergast and D’Agosta was beating time to locate Diogenes whereabouts while tried to identify and (if possible, rescue) the next victim even as the dead body count rises. Okay that’s enough. I’m not going to give away everything. Haha

It was my best friend, Atikah Afifah who suggested me this book. She usually picks up Young Adult books but now she claimed she loves detective/thriller genre. She just happened to find this book at one of Big Bad Wolf sales just for RM8. Also, you can find it at Popular as they are not that scarce but probably not all series. She said this is totally a gem after she read it and it was so much worth the price. She tells me that I’m going to fall in love with the authors, the storyline and the characters.

Well, I cannot fall in love when I haven’t met the authors? (obviously choosing looks!) but I do love their work. Looking at the Goodreads rating, I had a good feeling that this book is not going to disappoint me and it’s not. Similarly to my friend, I love this genre as well so I enjoy the serial-killer-oriented adventure.

Technically, my friend is into fast storyline and I am too. The elements of suspense really keep me turning pages because I want to know what will happen next. But you will not expect what will happen next. The story made me drenched in sweat (metaphorically). Sometimes I cursed at the antagonist for being so baddie without knowing the reasons why and sometimes I slapped my forehead many times asking why this is happening and sometimes I prayed that this should not be happening.

Honestly, I think this could be like Sherlock Holmes in US version. However, I do not adore Aloysius Pendergast as much as Sherlock Holmes because he lacks the detective wits and brilliance to outsmart his foe. Hence the little success he had in stopping those murders when Diogenes is smarter than him. But these characters shouldn’t have to be the same like any other novel right? Anyway, the authors know how to get the story engaging so thumbs up!

All in all, I think it’s a fun read. Don’t miss the fun. I recommend it! 


Regards, 
Juwa @ Najwa Hanis

Wednesday, 1 March 2017

Tugasan pertama dalam cabaran 32 buku dalam masa setahun ialah membaca buku rakan baik peserta. Untuk cabaran ini, saya membaca sebuah buku direkomendasi oleh kawan saya, Nur Zahidah Asri. Bukunya ialah buku Lelaki Terakhir Menangis Di Bumi yang ditulis oleh Musa Nuwayri terbitan Dubook Press.

 

 Buku ini berkisahkan tentang travelog seorang pemuda yang mengharungi pelbagai ranjau dari usia remaja sehinggalah berada di sebuah negara Timur Tengah, iaitu Jordan. Penulis telah membina sebuah NGO di sana yang diberi nama Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSBDJ).
                                                      
                                                         **
Untuk pengetahuan semua, Syria terletak di Timur Tengah. Malaysia pula terletak di Asia Tenggara. Mereka bertemu di sebuah negara bernama Jordan.

Isu Syria ini berat dan diperdebat hebat oleh mereka yang memahami isu Geopolitik negara ini. Apa yang pasti, saya tidak akan bercakap tentang Geopolitik sebab itu bukan kemahiran saya.

Akan tetapi, isu kemanusiaan, keberanian, tanggungjawab sesama agama menjadikan buku ini begitu penting dibaca oleh anak-anak muda di Malaysia. Perkara ini perlu dijadikan pedoman untuk semua anak muda yang ingin menyertai apa-apa NGO dalam negara mahupun luar negara.

Apa yang saya dapat dari buku ini, untuk membantu sesama saudara seagama ini, tidak kisahlah apa yang kita ada, kita kena terus membantu. Bermula dengan tangan kosong, sehingga Musa Berjaya membina sebuah sekolah bernama sekolah KITA itu, bagi saya tidak mustahil untuk kita juga. Alasan kononnya, banyak hal, tak cukup peralatan, tak cukup dana itu bukanlah alasan yang munasabah dalam membantu sesiapa di dunia ini.

Di Malaysia terlampau banyak NGO yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan, akan tetapi, hanya beberapa sahaja yang konsisten dalam mengadakan kerja-kerja sukarelawan ini. Itu belum lagi, sukarelawan-sukarelawan Universiti, Kolej Universiti, Politeknik mahupun apa-apa pasukan sukarelawan yang hadir. Tetapi, mencari yang konsisten itu payah. Ada yang hadir sekadar menambah poin-poin penting bagi mendapatkan kolej kediaman.

Perbezaan review saya dan kawan saya, kawan saya lebih berminat lebih detail dalam mengetahui tentang apa yang terjadi di Syria. Saya pula, sudah mengetahui lebih lanjut mengenai Syria ini, melalui team TSDBJ di facebook sebelum buku ini terbit. Tapi, kami amat bersetuju dalam penyampaian penulis ini tentang bagaimana ia bermula dan siapakah sebenarnya dia ketika zaman sekolah itu.

Jarang sebenarnya kita tahu seorang yang nakal itu mampu wujudkan sebuah sekolah untuk anak pelarian. Bukan tak ada, tapi jarang.

Dari segi penulisan semuanya bagus, mungkin kerana editornya ialah Faisal Tehrani. Bacalah buku ini, kerana buku ini cukup bagus untuk semua belia di Malaysia. Salam satu review!